Bolehkan kata penguat bebas amat/sangat/sungguh digunakan bersama-sama dengan kata sekali dalam satu ayat yang sama? Contoh amat cantik sekali. Setahu saya jika kita menggunakan kata sekali dengan paling (contoh: paling cantik sekali) adalah salah. | Kata penguat bebas iaitu amat, sungguh dan sangat boleh digunakan dengan perkataan sekali. Manakala kata penguat hadapan iaitu sekali dan paling, hanya boleh digunakan salah satu antaranya dalam sesuatu perkataan. Contohnya rumah batu di hujung kampung itu paling cantik atau rumah batu di hujung kampung itu cantik sekali. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan hal. 247 dan 397 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 05.12.2006 |
Manakah yang betul di antara kalimat-kalimat berikut? 1. Aku sayang sekali kucingku. 2. Aku sayang sekali pada kucingku. 3. Aku sayang sekali kepada kucingku. 4. Aku sayang sekali dengan kucingku. 5. Aku sayang sekali akan kucingku. Mohon sertakan alasannya. Terima kasih. | Salam sejahtera, Aku sayang sekali akan kucingku jawapan yang betul. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia dan penggunaannya mesti didahului dengan kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 10.01.2020 |
adakah sekali boleh digunakan bersama-sama dengan kata penguat sangat, amat dan sungguh. contoh masakan emak amat enak sekali. masakan emak sangat enak sekali adakah katapenguat bebas boleh digunakan di hadapan atau belakang kata adjektif contoh Budak itu amat sombong budak itu sombong amat adakah ia boleh digunakan untuk manusia sahaja. bolehkah ia digunakan untuk benda dan binatang harap tuan/puan menjawap secepat mungkin. hubungi 0123857124 | Terdapat tiga jenis kata penguat: A. kata penguat hadapan, iaitu yang terletak di hadapan frasa atau kata adjektif. Contoh: terlalu, paling, agak, cukup; contoh ayat: pokok itu terlalu tinggi; masakannya paling enak;pemandangan di tasik itu cukup indah; harga emas makin mahal; jawapannya kurang tepat;B. Kata penguat belakang, iaitu kata yang letaknya di belakang kata adjektif. Contohnya: sekali, benar, betul dan nian. Contoh ayat: kelakuannya baik sekali; lambat benar dia datang; indah nian istana bunian; keputusan peperiksaannya buruk betul; C. Kata penguat bebas, iaitu letaknya boleh di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contoh: amat, sangat, dan sungguh. Contoh ayat: Pakaiannya amat kemas=kemas amat pakaiannya; harganya sangat mahal=mahal sangat harganya; sungguh sedih kisahnya= kisahnya sungguh sedih.Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan hal. 247 dan 397 untuk keterangan lanjut. Kata penguat boleh digunakan pada manusia, haiwan, benda dan sebagainya. | Tatabahasa | 27.06.2008 |
Salam sejahtera. Tolong bantu saya. 1) Kata penguat bebas ; sangat, amat, sungguh boleh diletakkan di hadapan kata adjektif atau di belakang kata adjektif. Jika diletakkan di hadapan kata adjektif,pastinya boleh menerima perkataan sekali. Contohnya, Zali amat baik sekali. Adakah hanya perkataan 'sekali' sahaja yang boleh diterima atau adakah perkataan lain? 2) Bolehkah sungguh, amat dan sangat digunakan serentak seperti ayat ini? Jika boleh, kenapa? Ayatnya : Amir mengalami kerinduan yang amat sangat terhadap neneknya di kampung. 3)Kata penguat belakang ....nian. a)Adakah 'nian' digunakan hanya untuk pemandangan? b)Bolehkah 'nian' digunakan dengan kata penguat bebas;sangat, amat, sungguh?Contoh frasa; amat indah nian, dan sangat dalam nian. Adakah kedua-kedua frasa ini betul? 4)Antara frasa di bawah,yang manakah betul? a) Dedaun berguguran, atau b) Daun berguguran 5)Adakah perbezaan antara 'mengajar' dan 'mengajarkan'. Keadaan bagaimanakah harus kita bezakan penggunaannya? Terima kasih kerana sudi meluangkan masa. | 1) Sekali ialah kata penguat belakang sama seperti sungguh, benar dan nian. Oleh itu, semua kata penguat belakang boleh digunakan selain daripada sekali. 2) Amat sangat bermaksud terlalu atau terlampau dan boleh digunakan secara serentak. 3) Amat indah nian sangat dalam nian, kedua-dua frasa ini betul. 4) Daun berguguran. 5) Mengajar bermaksud menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dan sebagainya) kepada orang lain. Mengajarkan bermaksud mengajar sesuatu (kepada seseorang dan lain-lain), memberi sesuatu pelajaran (ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sebagainya). | Tatabahasa | 03.08.2011 |
Ayat - 'Budak itu amat pandai sekali.' Mohon penjelasan : Mengapa ayat ini betul sedangkan terdapat 2 kata penguat, amat dan sekali. Bolehkah kata penguat hadapan dan akhiran digunakan serentak dalam semua ayat ? | kata penguat bebas iaitu amat, sungguh dan sangat boleh diikuti oleh kata penguat belakang sekali. Hal ini demikian kerana kata penguat bebas tersebut tidak mendukung maksud darjah penghabisan. | Tatabahasa | 30.10.2007 |
PALING CANTIK SEKALI ADAKAH AYAT INI BOLEH DIGUNA | Salam sejahtera, Kata penguat bebas iaitu amat, sungguh dan sangat boleh digunakan dengan perkataan sekali. Manakala kata penguat hadapan iaitu sekali dan paling, hanya boleh digunakan salah satu antaranya dalam sesuatu perkataan. Contohnya rumah batu di hujung kampung itu paling cantik atau rumah batu di hujung kampung itu cantik sekali. Untuk ayat yang dikemukakan 'Paling cantik sekali' salah digunakan dalam ayat sebaliknya yang betul ialah 'paling cantik' atau 'cantik sekali'. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan hal. 247 dan 397 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 13.11.2012 |
apakah perbezaan antara hujung dan penjuru | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, Hujung ialah 1. bahagian yg terakhir dr sesuatu yg panjang (spt jalan, tali, dll), punca, lwn pangkal: rumahnya terletak nun di ~ jalan; ~ galah; 2. akhir (bulan, minggu, tahun, dll): saya akan bercuti panjang pd ~ tahun ini; ia pulang ke kampung tiap-tiap ~ minggu; yg paling ~ yg kemudian (penghabisan dll) sekali; 3. kesudahan (percakapan, mesyuarat, dll): kedua-dua pihak telah mengeluarkan suatu kenyataan bersama di ~ pertemuan; 4. tempat yg terjauh dr orang yg bercakap, tempat yg terjauh dr pusat, yg dekat dgn tepi (bandar, kampung, dll): saya tinggal di ~ bandar Kuala Lumpur; suara azan dr langgar di ~ kampung sudah hilang; 5. bahagian yg tajam (lancip): ~ hidung (kepala, lembing, panah, pensel, pokok, tanduk, dll); 6. bahagian tanah (daratan) yg menganjur ke laut dll; ~ tanah bahagian selatan sekali dr Semenanjung Malaysia; 7. tujuan (maksud) perkataan dll: barangkali tuan-tuan dapat menangkap ~ percakapan saya itu; ~ lidah a) bahagian lidah yg di hadapan sekali; b) = sambungan ~ Mn orang yg menyampaikan ucapan (pesanan dll) orang lain pd sesuatu majlis dll; ~ mata a) penjuru mata yg di sebelah luar, ekor mata; b) bahagian yg tajam pd alat pemotong (kikir, pisau, dll); ~ Subhanallah bp di hujung yg jauh (tidak tahu hujungnya); ~ sut hujung sekali; mengadu ~ lidah berbahas (bertengkar dll); mengadu ~ penjahit (dgn) a) bertemu muka atau mulai berkenalan (dgn); b) saling menunjukkan keahliannya, kepintarannya, kepandaiannya, dll); c) berusaha mendapatkan nafkah dgn susah payah; nyawa tinggal di ~ rambut hampir-hampir mati, tidak ada harapan lagi (sakratulmaut); se~ rambut = (sampai ke) ~ rambut (sampai kpd yg) sekecil-kecilnya (sangat berkira); tidak tentu (ada, tahu) ~ pangkal tidak tentu hala tujuannya (hubung an satu sama lain); jadi ~ (penghujung) lidah prb jadi jurubicara dlm sesuatu perundingan dll; Pejuru pula ialah pojok, sudut; ~ sudut tepat (Mat) penjuru yg luasnya 90º. Penggunaannya bergantung kepada konteks ayat. | Lain-lain | 11.10.2010 |
Apakah hukum penggunaan dua kata penegas dalam ayat ' sangat jelas sekali ' ? terima kasih | "Sangat" ialah kata penguat bebas yang boleh diletakkan sama ada di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contoh penggunaan dalam frasa (sangat + kata adjektif = sekali) “sangat jelas sekali” adalah betul. Contoh ayat: Suaranya sangat jelas sekali. | Tatabahasa | 02.06.2020 |
1. “Pemuda itu tertarik akan kecantikan kakak.”, “Pemuda itu tertarik dengan kecantikan kakak.” Ayat manakah yang betul? 2. “Bunyi itu begitu jelas sekali”, “Bunyi itu jelas sekali”. Ayat manakah yang betul? | 1. Bagi menjawab soalan tuan ini, kesemua jawapan seperti akan, pada, kepada, oleh, dengan merupakan kata sendi nama yang mempunyai fungsi yang berbeza-beza mengikut konteks ayat (rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga tentang penggunaan kata sendi nama hlm 272 hingga 285). Oleh yang demikian, jawapan yang betul ialah akan. Hal ini kerana, kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Kata adjektif kecantikan atau kejelitaan dapat menimbulkan sifat suka atau asyik apabila seseorang itu melihat wajah pelakon tersebut. 2. Frasa "begitu jelas sekali" betul, dua unsur penguat boleh juga hadir berderetan sebelum kata adjektif, contohnya: sungguh amat indah dan terlalu amat pedih. | Tatabahasa | 27.02.2015 |
adakah ayat baju itu terlalu amat mahal sekali adalah benar? adakah boleh saya menggabungkan dua kata penguat hadapan dalam satu ayat, contohnya terlalu amat cantik? dan bolehkah saya menggunakan lebih dari satu kata penguat belakang dalam satu ayat dan bolehkah saya guna lebih dari satu kata penguat bebas dalam satu ayat yang sama ? terima kasih | Ayat "baju itu terlalu amat mahal sekali", tidak betul kerana kata penguat hanya boleh digunakan sekali sahaja dan tidak boleh digunakan serentak dengan tiga kata penguat. Untuk makluman, kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam frasa atau frasa adjektif. Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu i. kata penguat hadapan ii. kata penguat belakang iii. kata penguat bebas. Oleh itu, penggunaan yang betul ialah sungguh cantik, cantik sungguh, cantik amat, amat cantik. Contohnya: 1. Pakaian wanita itu sungguh cantik. 2. Pakaian wanita itu cantik sungguh. 3. Pemandangan di kawasan itu amat cantik. 4. Pemandangan di kawasan itu cantik amat. | Tatabahasa | 10.08.2015 |