perkataan Inggeris Mission membawa maksud Hala Tuju. Ejaan sebenar halatuju atau hala tuju sebab saya jumpa kedua-duanya digunakan. Ada perbezaan dari segi penggunaan atau hanya kesalahan ejaan? | Ejaan yang betul ialah hala tuju. | Ejaan | 12.06.2014 |
Salam, Mohon bertanya tentang yang mana satukah perkataan yang betul/sebenar terdapat dalam daftar perkataan bahasa Melayu HALATUJU (1 perkataan) atau HALA TUJU (2 perkataan) | hala tuju | Ejaan | 11.06.2014 |
1. Ulang cetak atau ulang cetakan 2. halatuju atau hala tuju? 3. perkataan sisio di awal perkataan lain perlu digabung atau disempang atau diasingkan? Wassalam. Terima kasih. | 1. ulang cetak 2. hala tuju 3. Perkataan sisio tiada dalam data kami tetapi terdapat perkataan sosio. Sosio merupakan awalan berkaitan dengan faktor sosial (kemasyarakatan), contohnya, sosioekonomi dan sosiopolitik yakni dieja satu perkataan. | Tatabahasa | 24.06.2013 |
Betulkan ejaan Selamat Tahun Baharu atau Selamat Tahun Baru. Peruntukkan ke atau peruntukan. Sepertimana ke atau seperti. Hala tuju ke atau halatuju | Kedua-dua frasa Selamat Tahun Baharu atau Selamat Tahun Baru, betul kerana baharu dan baru dianggap sebagai varian dalam bahasa Melayu. Ejaan yang betul ialah peruntukan, seperti mana dan hala tuju. | Tatabahasa | 27.12.2011 |
SALAM, MINTA DITERANGKAN MAKSUD HALATUJU SECARA TERPERINCI. | Hala tuju ialah matlamat atau sasaran, iaitu sesuatu yang hendak dicapai dalam sesebuah organisasi. | Makna | 17.10.2010 |
Askm.. mohon penjelasan berkenaan maksud : 1. Mantan - dikatakan memberi maksud bekas penjawat yang tiada hala tuju. Penggunaan perkataan mana lebih baik utk: A) Bekas guru besar B) Mantan guru besar. Terima kasih | Menurut Kamus Dewan terbitan DBP, mantan bermaksud dahulunya pernah menjawat jawatan tertentu, tetapi sekarang tidak lagi atau bekas. Sebagai contoh Tun Dr. Mahathir Mohamed, mantan Perdana Menteri Malaysia. Kedua-dua jawapan A dan B adalah betul. | Makna | 14.01.2018 |
Chandra Cikgu Apakah kekurangan Bahasa Malaysia? Hanya usaha diperlukan untuk mewujudkan istilah Bahasa Malaysia dan bukan sekadar mengambil jalan mudah meminjam bahasa asing sebagai bahasa Malaysia. Pelbagai alasan boleh diberikan, tetapi tujuan dan hala tuju perlu diteliti agar dapat mengekalkan Bahasa Malaysia jangan sampai ditelan zaman. Alasan yang diberikan memang tidak munasabah dan tidak wajar mengikut peredaran masa kini. Masih ada lagi perkataan baru digunakan untuk merujuk sesuatu benda baharu di akhbar Metro dan media massa termasuk menteri-menteri kabinet menggunakan perkataan mereka-meraka dan dari masa ke semasa. Kemungkinan besar DBP tidak mempunyai kuasa terhadap perkara tersebut. Pemikiran yang matang dan berpengalaman dapat menyelamatkan bahasa Malaysia hancur di persada dunia. Kita tidak perlu menjadi pak turut ahli-ahli politik Malaysia sebaliknya berjuang dalam memartabatkan bahasa Malaysia. Walaupun saya seorang bukan Islam, namun kesetiaan saya terhadap bahasa Malaysia sangat utuh tidak akan membenarkan sama sekali bahasa Malaysia dijadikan Jorgan oleh kebanyakan pihak. Jangan hanya membalas soalan dari pejabat sahaja, tetapi pergilah melawat sekolah-sekolah di Malaysia dan mengetahui masalah penggunaan bahasa Malaysia. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. | Terima kasih Cikgu Chandra. Malaysia pasti memerlukan lagi orang seperti cikgu untuk bersama-sama DBP memartabatkan bahasa Kebangsaan. | Lain-lain | 20.01.2014 |
Apakah peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan apakah masalah yang timbul di kalangan masyarakat hari ini tentang penggunaan Bahasa Melayu | Memang banyak peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu. Ini diterjemah dan dimanifestasikan dalam hala tuju DBP sendiri seperti yang dinyatakan dalam fungsi dan dasarnya. Antaranya menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Masalah dan kekangan yg timbul ialah terdapat golongan yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang maju dan bersifat saintifik. Tetapi kita jangan lupa bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu yang dituturkan dan digunakan sebagai bahasa komunikasi oleh golongan pedagang, golongan agama, golongan pemodal di nusantara ini. Bahasa Melayu kini telah dituturkan oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa komunikasi, bahasa perpaduan dsb. T.kasih. | Lain-lain | 12.07.2008 |
Apakah istilah Roadmap dalam Bahasa Melayu? | Terjemahan langsung bagi ‘roadmap’ ialah peta jalan; sekiranya dalam bidang pentadbiran ‘roadmap’ ialah hala tuju. Sila berikan ayat penuh untuk mendapatkan padanan yang bersesuaian dengan makna konteks penggunaan dalam ayat. | Istilah | 05.12.2014 |
Tuan, Terima kasih atas jawapan tuan kepada soalan saya sebelum ini. Soalan hari ini. Saya sedang menulis satu kertas kerja pelaksanaan yang isi kandungannya tentang "mengadakan satu perbincangan /roundtable talk dengan pelbagai agensi daripada kpm, industri , ipta dan agensi/kementerian yang ada peruntukan bantuan atau tabung untuk usahawan. objektifnya adalah untuk mengadakan satu kerjasama agar para pelajar lepasan kolej vokasional diberi ruang untuk terus diambil bekerja di industri berkaitan, atau boleh terus melanjutkan pelajaran dan akhirnya jika mereka ingin jadi usahawan, ada quota dalam tabung usahawan sedia ada untuk buat pinjaman. Semua ini tertakluk kepada kelayakan yang juga akan dibincangkan. Saya beri tajuk DIALOG INTEGRASI HALA TUJU DAN LALUAN KERJAYA DALAM PENDIDIKAN VOKASIONAL tetapi ditegur seperti tidak menepati apa yang ingin disampaikan. Atau adakah perkataan integrasi itu yang tidak sesuai? Pohon pencerahan dan cadangan. terima kasih. | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat integrasi bermaksud penggabungan dua atau beberapa kaum (unsur,bahagian dan lain-lain) menjadi satu kesatuan, penyatuan. Tajuk yang dicadangkan daripada dua ayat iaitu, (1) Integrasi Hala Tuju dalam Pendidikan Vokasional; dan (2) Integrasi Laluan Kerjaya dalam Pendidikan Vokasional. Ayat (1) boleh difahami sebagai penggabungan matlamat atau sasaran pelbagai agensi seperti KPM, industri, IPTA dan kementerian yang mempunyai tabung usahawan yang berkaitan dengan Pendidikan Vokasional. Ayat (2) boleh difahami sebagai penggabungan Laluan Kerjaya dalam agensi seperti KPM, industri, IPTA dan kementerian yang mempunyai tabung usahawan yang berkaitan dengan Pendidikan Vokasional. Jelasnya, ayat (1) relevan dan boleh dicapai, manakala berbeza dengan makna ayat (2) ...penggabungan laluan kerjaya yang berkaitan dengan Pendidikan Vokasional di pelbagai agensi. DBP mencadangkan tajuk yang lebih umum, iaitu DIALOG HALA TUJU DAN LALUAN KERJAYA DALAM PENDIDIKAN VOKASIONAL. | Makna | 05.03.2014 |