Saya Halimah sedang pelajar pusat bahasa Melayu peringkat dasar ingin bertanya DBP, apakah maksud pantun lapan krat itu terimakasih | Pantun ialah sejenis puisi Melayu lama yang diwarisi oleh orang Melayu daripada nenek moyang mereka sejak zaman silam. Pantun menggambarkan cara berfikir dan nilai-nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui pantun, orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa, seperti dalam bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang indah dan menarik. Pantun juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu seperti pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat dan pantun berkait. Berikut contoh pantun lapan kerat; Bagus rupa bunga melur, Putih rupanya bunga pinang, Berukir bertangkai perak, Permainan raja perempuan; Pahar cerek sudah teratur, Cawan mangkuk sudah terletak, Samalah duduk kita makan. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang ciri-ciri pantun dan syair puan boleh merujuk buku-buku berkaitan puisi Melayu Tradisional yang ada di pasaran. Contoh buku yang disarankan ialah Puisi Melayu Tradisional karya Dr. Harun Mat Piah, terbitan DBP.
| Tatabahasa | 06.11.2013 |
Saya Halimah Musek sedang pelajar pusat bahasa Melayu peringkat dasar ingin DBP, tanya apakah maksud pantun berkait itu ,terimaksih | Pantun ialah sejenis puisi Melayu lama yang diwarisi oleh orang Melayu daripada nenek moyang mereka sejak zaman silam. Pantun menggambarkan cara berfikir dan nilai-nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui pantun, orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa, seperti dalam bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang indah dan menarik. Pantun juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu seperti pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat dan pantun berkait. Contoh pantun berkait ialah seperti berikut: Lebah terbebar terbang sekawan, Hinggap di celah kayu berduri; Alangkah cabar rupamu tuan, Dagangan indah tidak terbeli. Hinggap di celah kayu berduri , Kepayang tumbuh di dalam dulang ; Dagangan indah tidak terbeli , Sayang sungguh nyawanya hilang. Puan boleh merujuk buku Kumpulan Pantun Lisan Melayu "Kurik Kundi Merah Saga" terbitan DBP untuk melihat pantun Melayu. | Lain-lain | 06.11.2013 |
saya ingin mempastikan jawapan bagi soalan berikut adalah betul atau tidak betul. 1.soalan: Ayat aktif : Dinesh membuang sampah ke dalam tong sampah. Jawapan : Ayat pasif: Sampah dibuang ke dalam tong sampah oleh Dinesh. 2. soalan : Ayat aktif :Halimah menghidangi tetamu itu sepinggan kuih. Jawapan : Ayat pasif : Tetamu itu dihidangi sepinggan kuih oleh Halimah. | Ayat pertama kedua-duanya betul, manakala ayat kedua (aktif) telah dibuat pembetulan. 1. Ayat aktif : Dinesh membuang sampah ke dalam tong sampah, Ayat pasif: Sampah dibuang ke dalam tong sampah oleh Dinesh. 2. Ayat aktif : Halimah menghidangkan sepinggan kuih kepada tetamu, Ayat pasif : Tetamu itu dihidangkan sepinggan kuih oleh Halimah. | Tatabahasa | 12.08.2009 |
Ramai wartawan atau pengguna bahasa Melayu sudah terbiasa dengan penggunaan perkataan TERLANTAR yang acap digunakan untuk merujuk kepada orang yang sakit. Contoh ayat : 1. Datin Orkid Abdullah kini TERLANTAR sakit ketumbuhan. 2. Ibu Halimah TERLANTAR sakit di hospital. Jika dilihat dari konteks makna, maksud perkataan TERLANTAR ialah terbiar tanpa penjagaan dalam tempoh yang lama. | Antara maksud terlantar termasuklah dalam keadaan yang tidak dijaga atau dipelihara, tetapi saudara juga perlu merujuk makna terlantar yang pertama, iaitu terletak atau terbaring (di). Berdasrkan makna yang tersebut penggunaan kata terlantar adalah betul tetapi ayat itu perlu diperbetulkan menjadi "Datin Orkid Abdullah kini terlantar di rumahnya kerana sakit ketumbuhan". | Tatabahasa | 02.05.2011 |
Salam, bolehkah saudara/saudari berikan ayat contoh penggunaan kata sendi nama 'pada' yang hadir sebelum manusia dan satu ayat contoh lagi untuk penggunaannya sebelum haiwan? Terima kasih. | Sendi nama 'pada' digunakan dalam beberapa situasi tertentu seperti yang berikut: 1. Untuk menandakan waktu atau masa. Contoh ayat - Pada malam begini, sebuah dua kereta lalu juga di jalan itu. 2. Untuk menandakan sesuatu tempat yang tetap yang mendahului kata nama atau frasa nama. "Tempat" di sini dapat merujuk kepada orang ataupun objek. Contoh ayat untuk manusia: Penjahat itu merampas semua duit yang ada pada Halimah. Contoh ayat untuk haiwan: Sungguh hairan melihat anak anjing itu menggesel-geselkan badannya pada kucing hitam itu.
| Lain-lain | 09.04.2014 |
Ejaan bahasa Malaysia ditulis dengan huruf kecil b pada perkataan bahasa dalam kontes umum yang merujuk bahasa, huruf besarnya hanyalah Malaysia yang merupakan nama khas. Contoh lain: bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina yang ditulis dengan huruf kecil pada perkataan bahasa. Walau bagaimanapun, bagi mata pelajaran di sekolah, Bahasa Malaysia ditulis dengan huruf besar. Jawapan di atas diberikan oleh pihak DBP tetapi persoalannya kenapakah perkataan encik Ali dieja sebagai Encik Ali dan bukannya encik Ali walaupun konteksnya juga sama sperti di atas. | Ejaan untuk encik Ali dieja sebagai Encik Ali (bukan encik Ali) kerana huruf besar digunakan sebagai huruf pertama unsur sapaan (encik, puan, tuan) yang diikuti dengan nama orang. Contoh lain Encik Ahmad, Puan Halimah, Tuan John dll. Ejaan Encik Ali tidak sama konteksnya dengan ejaan perkataan bahasa Melayu sebagai nama bahasa. Dalam konteks ini, bahasa menjadi kata umum, manakala kata melayu ialah kata nama khas. | Tatabahasa | 01.12.2010 |
Saya ingin tahu tentang: 1. Perbezaan perkataan a. mengandung denagan mengandungi b. boleh dengan dapat c. banyak dengan ramai 2. Sama ada betul atau salah frasa a. ....sehingga kepada anak cucu b.......sehingga ke malam c....sehingga anak cucu d. .....sehingga malam. Terima kasih | Encik Ishak, Jawapan soalan tuan adalah seperti yang berikut: 1 (a). Untuk makluman tuan, kata mengandung dan mengandungi mempunyai perbezaan makna dan fungsi. Kata mengandung membawa maksud, iaitu hamil. Contohnya, Halimah sudah mengandung kira-kira dua bulan. Manakala mengandungi membawa maksud berisi, memuat, atau membawa sesuatu dalam bekas dan sebagainya. Contohnya; Dokumen yang dibawa oleh Ali itu mengandungi maklumat yang rahsia. 1 (b) Kata boleh dan dapat merupakan golongan kata bantu yang menyatakan atau menerangkan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan. Walau bagaimanapun, kedua-kedua kata bantu ini mempunyai makna dan tugas yang berbeza. Kata dapat membawa maksud kemampuan atau keupayaan apabila kata dapat digunakan sebelum kata kerja, seperti dapat datang, dapat berlari dan dapat menendang. Oleh itu, kata dapat bermaksud perbuatan tertentu dan berupaya dilakukan atau berjaya dilaksanakan. Manakala boleh membawa maksud keizinan digunakan sebelum kata kerja, seperti boleh dimakan, boleh dipegang, boleh dibawa. Hal ini bermakna, dapat ialah kemampuan melakukan sesuatu, manakala boleh ialah diizinkan melakukan sesuatu. 1 (c) Ramai merujuk suasana orang yang ramai di sesuatu tempat manakala banyak orang merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan. 2. C. sehingga anak cucu D. sehingga malam | Tatabahasa | 13.05.2009 |
Perbezaan makna kukus, rebus, bakar dan goreng. | Assalamualaikum, Merujuk kepada soalan puan, perbezaan makna perkataan kukus, rebus, bakar dan goreng dijawab berdasarkan penggunaan kata dalam bidang masakan: 1. kukus (makna ke-4 lihat mengukus) Makna mengukus - memasak atau memanaskan sesuatu dengan menggunakan wap air mendidih Contoh ayat - Memasak dengan cara mengukus dapat mengekalkan rasa dan zat bahan yang digunakan dalam sesuatu makanan. 2. rebus (makna ke-2 lihat merebus) Makna merebus - memasak (sesuatu) dalam air yang mendidih supaya masak, empuk dan sebagainya Contoh ayat - Nenek merebus jagung yang sudah dibuang kulitnya. 3. bakar (makna ke-2 lihat membakar) Makna membakar - memasak (sesuatu) dengan meletakkannya di atas api atau di dalam alat yang mengandungi haba, misalnya ketuhar Contoh ayat - Zamri sedang sibuk membakar sate bersama pekerjanya. 4. goreng (makna ke-3 lihat menggoreng) Makna menggoreng - memasak (telur, ikan, ayam dan sebagainya) dengan memasukkannya ke dalam kuali atau periuk yang mengandungi minyak Contoh ayat - Kak Halimah menggoreng pisang nangka. Puan disarankan merujuk Kamus Dewan Perdana untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai kata. Terima kasih. | Makna | 02.11.2024 |