| apakah perbezaan penyenggaraan dan penyelenggaraan. mohon bantuan untuk sertakan bersama contoh, kesesuaian ayat digunakan dan info terperinci. Terima kasih. | Kata penyenggaraan dan penyelenggaraan mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun penyelenggaraan mempunyai makna tambahan. Makna sesuatu kata di dalam kamus dipecahkan mengikut konteks penggunaannya oleh masyarakat. Berikut merupakan makna berserta ayat contoh bagi kata penyenggaraan dan penyelenggaraan dalam Kamus Dewan Perdana: senggara سڠݢارا [səŋ·gɑ·rɑ] menyenggarakan مڽڠݢاراکن [mə·ɲəŋ·gɑ·rɑ·kɑn] [psf: disenggarakan, senggarakan] kt memelihara atau menjaga (bangunan, kenderaan, jalan raya dan lain-lain) secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Kos menyenggarakan taman laut itu agak tinggi, maka caj terpaksa dikenakan kepada pengunjung.◆Setiap jurutera akan menyenggarakan pesawat yang mengalami kerosakan dengan bantuan mekanik.◆Landskap boleh direka secara ringkas supaya senang untuk disenggarakan. penyenggaraan ڤڽڠݢاراءن [pə·ɲəŋ·gɑ·rɑ·ɑn] n perbuatan menyenggarakan sesuatu: Penyenggaraan itu dijalankan di hangar Malaysia Airlines. selenggara سلڠݢارا [sə·ləŋ·gɑ·rɑ] menyelenggara مڽلڠڬارا [mə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ] ktt memelihara atau menjaga bangunan, kenderaan, jalan raya dan sebagainya secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Kerja-kerja menyelenggara akan dimulakan segera. menyelenggarakan مڽلڠݢاراکن [mə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ·kɑn] [psf: diselenggarakan, selenggarakan] 1 kt memelihara atau menjaga (bangunan, kenderaan, jalan raya dan sebagainya) secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Sepuluh orang pekerja ditugaskan untuk menyelenggarakan kawasan taman istana ini setiap hari.◆Landasan kereta api diselenggarakan oleh pekerja mahir. 2 kt mengatur dan mengurus (pertandingan, pameran dan lain-lain) supaya lancar dan sempurna: Pegawai ini telah ditugaskan untuk menyelenggarakan pameran buku agama Islam.◆Kursus kepimpinan ini diselenggarakan oleh Jabatan Perdana Menteri. 3 kt mengurus dan mengerjakan (ladang, kilang dan lain-lain) supaya berjalan dengan baik Syarikat menghabiskan banyak wang untuk menyelenggarakan kilang dan peralatannya.◆Ladang yang luas wajar diselenggarakan mengikut pengetahuan sains. 4 kt menjalankan atau melaksanakan (rancangan, perintah dan lain-lain) Parlimen harus menyelenggarakan tanggungjawab secara berkesan. penyelenggaraan ڤڽلڠݢاراءن [pə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ·ɑn] 1 n hal atau perbuatan menyelenggara atau menyelenggarakan: Pengetahuan dan kemahiran penyelenggaraan komputer sangat penting pd masa kini. 2 n hal atau perbuatan mengawasi atau menjaga kesihatan, keselamatan dsb: Para doktor terlatih bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan kesihatan pesakit yang mendapatkan rawatan di sini. | Makna | 08.08.2025 |