1) "daripada" sumber haram/"dari"sumber haram? 2) "daripada" / "dari" sumber yang boleh dipercayai? 3) "daripada" / "dari" sumber hasil jenayah? Yang mana satu betul? Mohon penjelasan. | Penggunaan yang betul dalam konteks yang tersebut ialah "daripada". Kata sendi nama "dari" hadir di hadapan tarikh, masa dan arah seperti dari 15 hingga 21 dan dan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. | Tatabahasa | 07.06.2013 |
Haram di sisi syarak atau Haram pada sisi syarak? | Haram di sisi syarak. | Tatabahasa | 21.09.2011 |
ah long atau along ? ( ceti haram ) | Sdr., Ceti haram bermaksud along, oleh itu boleh digunakan sama ada ceti haram atau along, kedua-duanya merupakan kata nama am. Ejaan Ah long adalah salah untuk maksud ceti haram. | Lain-lain | 17.04.2010 |
Saya ingin bertanya keatas ayat iklan: 'DADAH HARAM DISISI ISLAM' atau 'DADAH HARAM DIDALAM ISLAM' Apabila dadah itu hanya berada disisi tapi jika ia berada didalam islam adakah ia dibenarkan? | Ayat yang betul ialah dadah haram dalam Islam. | Tatabahasa | 09.05.2008 |
apakah yang dimaksudkan dengan lumba haram | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan lumba bermaksud perlawanan beradu cepat. Perkataan haram bermaksud ditegah(terlarang) oleh undang-undang, tidak sah di sisi undang-undang. Oleh itu lumba haram bermaksud perlawanan yang ditegah oleh undang-undang atau tidak sah di sisi undang-undang. | Makna | 10.04.2008 |
adakah halal dan haram itu kata adjektif? | Halal dan haram ialah kata adjektif, namun fungsi kedua-dua perkataan boleh berubah menjadi kata nama dan kata kerja mengikut konteks penggunaannya. | Tatabahasa | 21.09.2013 |
Bolehkah anda pastikan kesalahan dalam ayat ini? Alif dan Kumaran membincangkan tentang masalah lumba haram yang berlaku di kampung mereka. | Ayat yang betul ialah : Alif dan Kumaran membincangkan masalah lumba haram yang berlaku di kampung mereka ataupun Alif dan Kumaran berbincang tentang masalah lumba haram yang berlaku di kampung mereka. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, di bawah tajuk Pembentukan Kata Kerja, halaman 150. | Tatabahasa | 13.12.2010 |
Apakah kesalahan ejaan dan imbuhan dalam ayat berikut? 2.Penduduk di Pekan Semenyih membantah tindakan sebuah kilang haram yang terbuang sisa-sisa toksid ke dalam longkang. 3.Hidayah memakaikan selendang berwarna hijau lumut semasa menghadiri majlis perkhawinan sepupunya. 4.Kerajaan akan memperkenal plat nombor pendaftaran pintar bagi mengatasi pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan dinegara ini. 5. Murid sekolah itu tolak menolak ketika menaikki bas ke sekolah. 6. Mereka telah memelawa kami untuk menghadiri majelis yang akan diadakan pada malam ini. 7.Penglibatan rakyat negara kita dalam membantu mangsa gempabumi di negara jiran amat mengalu-alukan oleh pihak kerajaan. 8.Para peserta krusus itu bertukar-tukarkan pandangan bagi menyiapkan tugasan untuk dibentangkan pada hari terakhir nanti. | 1.Penduduk di Pekan Semenyih membantah tindakan sebuah kilang haram yang membuang sisa-sisa toksik ke dalam longkang. 2. Hidayah memakai selendang berwarna hijau lumut semasa menghadiri majlis perkhawinan sepupunya. 3. Kerajaan akan memperkenalkan plat nombor pendaftaran pintar bagi mengatasi pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan di negara ini. 4.Murid sekolah itu tolak menolak ketika menaiki bas ke sekolah. 5.Mereka telah mempelawa kami untuk menghadiri majlis yang akan diadakan pada malam ini. 6.Penglibatan rakyat negara kita dalam membantu mangsa gempa bumi di negara jiran amat dialu-alukan oleh pihak kerajaan. 7.Para peserta kursus itu bertukar-tukar pandangan bagi menyiapkan tugasan untuk dibentangkan pada hari terakhir nanti. | Tatabahasa | 22.03.2013 |
buruh asing mengambil kesempatan dengan mendirikan (penempatan, petempatan) secara haram. tuan, penempatan atau petempatan yang betul? | Petempatan ialah kawasan yang baru dibuka untuk didiami orang, manakala penempatan ialah perihal menempati atau menempatkan sesuatu. Dalam ayat di atas, kedua-duanya boleh digunakan mengikut konteks. | Tatabahasa | 27.01.2012 |
Merujuk Kamus Dewan, perkataan "mahram" = Ar orang (lelaki ataupun perempuan) yg haram dinikahi (mengikut hukum Islam) kerana hubungan kekeluargaan yg rapat, hubungan susuan dsb (spt ibu, anak susuan, adik beradik dsb).; dan perkataan "muhrim" = Ar 1. orang yg dlm ihram semasa ibadah haji atau umrah; 2. mahram. Persoalan: mengapa perlu ada makna kedua bagi perkataan "muhrim" yang diertikan sebagai "mahram"? Bukankah "muhrim" dan "mahram" mempunyai makna yang amat berbeda? | Pendapat tuan mengenai muhrim dan mahram adalah betul. Muhrim dan mahram mempunyai maksud yang berbeza seperti dalam Kamus Dewan. Untuk makna kedua bagi muhrim, iaitu perkataan mahram digunakan dalam bahasa percakapan. Tuan boleh merujuk Kamus Pelajar yang ditandai dengan bp mahram. Bahasa percakapan tidak digalakkan untuk tujuan rasmi. | Tatabahasa | 11.09.2013 |