Saya ingin mrngetahui perbezaan antara harmoni dengan harmonis. Bolehkah pihak tuan cuba jelaskan yang mana satu betul " sejak belakangan / sejak kebelakangan / Kebelakangan ini. Sekian, terima kasih. | Harmoni dan harmonis kedua-duanya membawa maksud selaras, sesuai, sepadan, seimbang dan sebagainya. Namun dalam konteks di Malaysia, kita menggunakan perkataan harmoni, harmonis digunakan di Indonesia. | Tatabahasa | 11.05.2010 |
selamat petang.saya mahu tahu apa maksud perkataan seperti di bawah: 01.harmoni 02.etnik 03.kuasa 04.autoriti terima kasih | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, antara maksud harmoni ialah selaras dari segi muzik, 2. menunjukkan persesuaian atau persetujuan. Etnik ialah berkenaan bangsa manusia. kuasa bermakna daya atau kemampuan. Autoriti bermakna kuasa atau hak. Untuk keterangan lebih lanjut dan mengetahui maksud sesuatu perkataan bahasa Melayu, sila rujuk Kamus Dewan. | Makna | 03.09.2008 |
Pada minggu peperiksaan ini suasana keluarga perlu berada dalam harmoni kerana anak-anak perlukan persekitaran yang baik dan tenteram untuk belajar. Adakah klausa " anak-anak perlukan persekitaran yang baik dan tenteram untuk belajar" dalam ayat di atas boleh dikelaskan sebagai klausa keterangan ? | Pada minggu peperiksaan ini suasana keluarga perlu berada dalam harmoni kerana anak-anak perlukan persekitaran yang baik dan tenteram untuk belajar ialah klausa utama, manakala kerana anak-anak perlukan persekitaran yang baik dan tenteram untuk belajar ialah klausa tak bebas. Buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga mengklasifikasikan klausa kepada klausa bebas dan klausa tak bebas. Sila rujuk halaman 434 untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 23.02.2018 |
Apakah kesalahan yang terdapat dalam ayat berikut, tolong jelaskan mengapa: 1. Para penduduk Taman Harmoni sangat berpuas hati dengan program Hari Keluarga yang diadakan itu. 2. Ibu saya berpuas hati dengan baju yang dijahit oleh pekerja di Raihan Butik. 3. Usah conteng dinding. 4. Cikgu Raihan perhatikan murid-murid bersenam di padang. 5. Murid-murid dikehendaki supaya menghantar kertas soalan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 1. Penduduk Taman Harmoni sangat berpuas hati dengan program Hari Keluarga yang diadakan itu. 2. Ibu saya berpuas hati dengan baju yang dijahit oleh pekerja di Butik Raihan. 3. Jangan conteng dinding. 4. Cikgu Raihan memerhatikan murid-murid bersenam di padang. 5. Murid-murid dikehendaki menghantar kertas soalan. Sila bandingkan ayat asal dan ayat baharu dan tuan akan dapat mengesan kesalahan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 09.09.2015 |
Selamat sejahtera, Penggunaan kata sendi 'di' adakah sesuai diletakkan pada permulaan ayat seperti berikut: 1) Di Malaysia terdapat pelbagai jenis kaum yang hidup secara harmoni . 2) Di taman itu terdapat sebuah istana yang tersergam indah. 3) Di belakang rumah ada sebatang pokok kelapa . TQ | 1) Di Malaysia terdapat pelbagai jenis kaum yang hidup secara harmoni . 2) Di taman itu terdapat sebuah istana yang tersergam indah. 3) Di belakang rumah ada sebatang pokok kelapa . Ketiga-tiga contoh di pada permulaan ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 15.08.2007 |
penggunaan ialah dan adalah: 1) jika frasa kerja di belakang, kita guna ialah atau adalah? contoh: Antara kepentingan semangat kejiranan (ialah/adalah) melahirkan masyarakat yang harmoni. Hobi saya (ialah) bermain bola. 2) saya difahamkan bahawa 'adalah' digunakan sebelum frasa sendi nama. sebelum perkataan "dapat" atau "boleh" boleh tak guna 'adalah'? | Kata "ialah" dan "adalah" tergolong dalam kata pemeri. "Ialah" menunjukkan persamaan dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala "adalah" menunjukkan huraian dan digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. Kata Pemeri tidak digunakan dalam frasa kerja. Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Ayat betul yang diberikan oleh tuan ialah: 1. Antara kepentingan semangat kejiranan adalah untuk melahirkan masyarakat yang harmoni. 2. Hobi saya bermain bola (tidak perlu kata pemeri). Kedua-dua perkataan "dapat" atau "boleh" tidak boleh digandingkan dengan adalah. | Tatabahasa | 09.03.2018 |
Cadangan terjemahan 'Better Data, Better Lives' adalah a) Data berkualiti untuk kehidupan yang harmoni b) Kehidupan bermakna bermula daripada data yang baik | Cadangan slogan dalam bahasa Melayu bagi frasa "BETTER DATA, BETTER LIVES" ialah "DATA BERKUALITI, KEHIDUPAN SEJAHTERA" jika bersesuaian dengan konsep yang hendak disampaikan.
| Penyemakan dan penterjemahan | 08.05.2015 |
karya-karya puisi melayu yang dilagukan? | Karya puisi Melayu yang dilagukan dalam bentuk album banyak terdapat dalam album Kumpulan KOPRATASA, Kumpulan HARMONI (Zubir Ali) dan lain-lain. Walau bagaimanapun, pihak DBP ada mengadakan sayembara mencipta lagu puisi berdasarkan puisi yang telah terbit. Sekian dan terima kasih. | Lain-lain | 05.02.2009 |
apakah maksud bertunjangkan keharmonian? | Salam sejahtera, Bertunjangkan merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud berasaskan, berdasarkan, bersandarkan manakala keharmonian berasal dari kata dasar harmoni bersinonim dengan bahagia, rukun, sejahtera, mesra, tenang, damai, tenteram, aman, sepakat. Keharmonian menurut Kamus Dewan pula bermaksud, keadaan harmoni (selaras, sesuai, sepadan), keselarasan, kesesuaian, kemesraan. Oleh itu, bertunjangkan keharmonian boleh disamaertikan dengan berasaskan kemesraan, berdasarkan kesejahteraan dan berasandarkan kebahagiaan. | Makna | 01.11.2012 |
Apakah perkataan yang betul atau lebih sesuai untuk menggantikan perkataan berikut: 1) ketidakharmonian 2) ketidakpuashatian | Penggunaan setiap perkataan hendaklah disesuaikan mengikut konteks penggunaannya. Ketidakharmonian dan ketidakpuashatian boleh digantikan dengan perkataan lain seperti keadaan tidak harmoni dan perasaan tidak puas hati. | Tatabahasa | 23.10.2015 |