| 1)Hasratnya kami faham 2)Semoga dia mencapai kejayaan yang cemerlang.(ADA SALAH TAK AYAT TERSEBUT?) | Ayat contoh tersebut tidak gramatis, contohnya subjek ayat pertama (hasratnya) tidak lengkap. Ayat gramatis seperti hasratnya hendak bekerja di Kuala Lumpur kami faham. | Tatabahasa | 26.09.2012 |
| Puan, Salam sejahtera. Sila puan semak apa-apa kesalahan yang terdapat dalam ayat yang berikut : 1) Kami tidak tahu hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. 2) Kami tidak perlu nasihatnya. Harap puan boleh perbetulkan. Terima kasih. | Berikut ayat yang telah dibetulkan: 1) Kami tidak mengetahui hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. 2) Kami tidak perlu menasihatinya./ Kami tidak memerlukan nasihatnya. | Tatabahasa | 07.05.2013 |
| 1) Dia membatalkan hasratnya untuk menunaikan 'Solat Subuh' atau 'solat Subuh' di masjid. 2) Saya ingin bertanya makna 'triggered' bagi dua konteks ayat ini. "Abang ingatkan adik 'triggered' pasal Mak Long dera kita dulu" dan "Adik dah lama lupa tentang Mak Long melainkan tiba-tiba adik kena pukul balik. Tu mungkin boleh jadi PTSD adik 'triggered' semula.” | 1. Waktu solat merupakan kata nama am dan dieja dengan huruf kecil sekiranya bukan pada permulaan ayat. Contohnya solat subuh, solat zuhur, solat asar, solat maghrib dan solat isyak. 2. Mengikut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, perkataan "trigger" membawa maksud "mencetuskan". Perkataan ini boleh digunakan mengikut konteks dan situasi yang sesuai, salah satunya ialah "menjadi marah". | Tatabahasa | 08.12.2020 |
| Assalamualaikum tuan. Saya berhasrat dan bercita-cita untuk menghasilkan penulisan karya sendiri. Namun begitu, pendekatan saya ialah ingin menggunakan tulisan jawi secara total dalam karya dan terbitan saya. Hasratnya mudah, saya ingin mempelbagaikan bahan bacaan jawi dan tidak terhad kepada penulisan kitab agama sahaja. Buku buku berkaitan travelog, pemikiran, idea, fiksyen, komik dan buku-buku moden. Selain itu, hasrat saya, melalui pembacaan buku yang menarik seperti ini, masyarakat akan terdedah dengan daftar kata jawi yang luas dan juga bahasa moden yang kadang kala susah dieja dalam jawi. Kerisauan ini berlaku kerana sepanjang lawatan saya ke kedai buku, terdapat seksyen khas untuk buku mandarin, karya mandarin. Bagi saya, sekiranya karya jawi moden diperbanyakkan, sudah pasti masyarakat tidak rasa asing lagi warisan ini. Pendeknya, sekiranya saya diberikan kemudahan suatu hari nanti untuk menerbitkan buku tersebut, adakah pihak DBP sedia untuk memberi khidmat semak karya jawi saya, untuk menjamin ketulenan tulisan jawi. Dan soalan tambahan, bagaimana saya ingin mendapat kursus panduan penulisan jawi. Sekian, terima kasih. Salam hormat. | Salam tuan budiman, Tahniah dan terima kasih atas hasrat untuk menghasilkan karya sendiri, sehubungan dengan itu, bersama-sama ini dilampirkan maklumat untuk penghantaran manuskrip ke DBP untuk makluman selanjutnya. PENGHANTARAN MANSUKRIP Sebarang permohonan manuskrip dari luar seperti novel/cerpen/puisi dan lain-lain bolehlah dihantar ke: Pengarah Jabatan Penerbitan, Aras 10, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50460 Kuala Lumpur. Permohonan tersebut perlulah disertakan dengan: - Salinan lembut (soft copy) manuskrip dalam bentuk cakera padat (CDRW)
- Satu salinan keras manuskrip berserta biodata ringkas penulis yang mengandungi maklumat asas seperti nama/nombor telefon/alamat surat-menyurat terkini, untuk tindakan selanjutnya.
Berkaitan dengan Kursus Panduan Penulisan Jawi, pihak tuan bolehlah mendapatkan maklumat senarai Kursus Akademi DBP 2020 melalui: Laman sesawang: http://akademi.dbp.my/ Nombor telefon: 03-2147 0220/0230 Faksimile: 03-2147-0231 | Lain-lain | 04.01.2020 |
| tolong terangkan kesalahan dalam ayat ini - 1. Begitu juga dengan pelancong dari dalam dan luar negeri yang sentiasa membanjiri kawasan Putrajaya tanpa mengira waktu. 2. Berikut ialah nama murid yang akan menyertai lawatan ke Langkawi. 3.Semoga hasratnya tercapai untuk melanjutkan pelajaran di menara gading. 4. Mi segeralah kita makan pada malam ini. 5. Terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang mulia ini. 6. Baginda akan mengurniai rakyat yang banyak berjasa sempena Hari Keputeraan baginda esok. | 1. Luar negeri sepatutnya luar negara. 2. Ayat ini betul. 3. Melanjutkan pelajaran ke menara gading bukan di menara gading. 4. Dialog ini betul. 5. dalam majlis sepatutnya pada majlis. 6. Ayat sepatutnya Baginda mengurniakan pingat kepada rakyat yang banyak berjasa. | Tatabahasa | 14.04.2010 |