Adakah perkataan "memeribadikan" betul dari segi tatabahasa?. Atau sepatutnya perkataan yang betul adalah "Memperibadikan"?. Apitan Memper...kan, Men..kan adalah yang biasa saya dengar dan gunakan. Walaupun apitan meN-…-kan juga menerima kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s, tapi adakah perkataan "Memeribadikan" adalah betul?. | Jawapan: Perkataan yang betul ialah memperibadikan yang tergolong di bawah apitan kata kerja meN-…-kan yang membawa maksud benefaktif atau manfaat yang pembentukannya memerlukan dua objek. Lazimnya, apitan meN-…-kan menerima objek tepat yang tidak bernyawa. Contoh ayat: “Pembelajaran berautonomi membolehkan pelajar memperibadikan agenda pembelajarannya berdasarkan kekuatan akademik dan minatnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 190 hingga 207. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
Assalamualaikum Tuan/Puan. Merujuk pertanyaan saya yang bertarikh 24 Mac 2021, mohon penjelasan mengapakah kata kerja dalam ayat (1 hingga 3) berikut salah tetapi dalam ayat (4 hingga 7) betul. Saya keliru dengan penggunaan imbuhan ‘kan’ apabila dua kata kerja digunakan serentak dalam ayat. Adakah kata kerja ‘merancang dan menentukan’ memang tidak boleh digunakan dalam situasi ayat no.4.Terima kasih. 1.Syarikat swasta banyak [mengeluar dan menerbitkan] filem yang bertemakan percintaan. 2.Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Inspirasi sedang [membersih dan menceriakan] kelas mereka. 3.Mereka sepatutnya [mengutama dan meletakkan] kepentingan negara apabila bertindak. 4.Ibu bapa hendaklah [merancangkan dan menentukan] masa depan anak-anak mereka dengan baik. 5.Markah calon yang [menukarkan dan menambahkan] imbuhan dalam ayat ini akan dipotong. 6.Tugas kami ialah [membersihkan dan mengecatkan] dinding bangunan kerajaan itu sahaja. 7.Saya telah [mengutip dan menyerahkan] bayaran yuran itu kepada guru penasihat. | Sebaiknya kata kerja dalam ayat 1 hingga 3 perlu mempunyai pola imbuhan ‘kan’ yang sama pada kedua-dua perkataan tersebut seperti yang berikut. 1. Syarikat swasta banyak [mengeluarkan dan menerbitkan] filem yang bertemakan percintaan. 2. Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Inspirasi sedang [membersihkan dan menceriakan] kelas mereka. 3. Mereka sepatutnya [mengutamakan dan meletakkan] kepentingan negara apabila bertindak. Manakala bagi ayat 4, tidak salah penggunaannya, cuma tidak menjadi kebiasaan menggunakannya dalam ayat. Merancangkan ialah membuatkan sesuatu rancangan. 4. Ibu bapa hendaklah [merancangkan dan menentukan] masa depan anak-anak mereka dengan baik. Seterusnya bagi ayat 5 hingga 7 betul penggunaan ayatnya. | Tatabahasa | 30.03.2021 |
i dan kan bagaimana digunakan dan bila sesuail untuk digunakan | Akhiran -kan digunakan wujud atau digunakan dua jenis ayat tertentu sahaja, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua (Rencana-rencana itu saya bukukan), dan 2. dalam ayat suruhan (Belikan saya sepasang kasut). Seperti akhiran -kan akhiran -i juga wujud atau digunakan dalam dua bentuk ayat, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi orang pertama dan kedua (Perangainya yang baik itu akan kami contohi), dan 2. dalam ayat suruhan (Contohilah teladan yang baik itu). Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, muka surat 183 hingga 190. | Tatabahasa | 21.02.2009 |
Adakah terdapat perbezaan antara sejak kebelakangan ini dengan sejak belakangan ini ? Bagaimana pula dengan penggunaan 2 kata sendi nama dalam ayat berikut : 1a. Semoga anda berbahagia hingga ke anak cucu. Boleh ke sendi hingga digunakan bersama dengan sendi ke secara berturutan dalam ayat yang sama? lazimnya sejak dari, demi untuk salah kan? tq | Yang betul ialah sejak belakangan ini; semoga anda bahagia hingga anak cucu; sejak kecil; demi keselamatan. | Tatabahasa | 03.04.2008 |
Saya ingin tahu. Perkataan dalam Bahasa Inggeris, kalau (NAMA KHAS) khas adakah ianya perlu di italic kan atau tidak? Selain daripada (NAMA KHAS) saya rasa ia perlu di italic kan. BETUL ATAU TIDAK. Lihat petikan ini yang saya dapat dalam laman web DBP Minda Tertutup Memori Terhakis Dunia Bahasa, Pilihan Utama Penyokong PPSMI yang hingga kini enggan mengakui kalah, cuba mengelirukan penggubal dasar dan orang ramai tentang penggunaan bahasa Inggeris dengan penguasaan sains dan matematik. SOALAN: 1) Saya ingin tahu. Perkataan bahasa Inggeris. Mana satu penulisannya yang betul. (a) Bahasa Inggeris ATAU (b) bahasa Inggeri. Perkataan bahasa itu ( huruf besar atau huruf kecil). 2) Rujuk kepada sains dan matematik. Perkataan sains dan matematik itu semestinya huruf besar (a) Sains dan (b) Matematik. TETAPI dalam petikan web DBP ditulis dengan huruf kecil? Mohon penjelasan. terima kasih. (Rusli Kamaruddin) PA YB. Dato' Speaker Merangkap Ketua Pelapor Perbahasan Dewan Undangan Negeri PULAU PINANG. 04-2611955 | 1. Berdasarkan gaya penerbitan DBP, nama khas dalam bahasa Inggeris seperti nama tempat, nama orang, nama jalan, nama bangunan dan sebagainya tidak diitalikkan. Walau bagaimanapun, nama buku dan petikan ayat dalam bahasa Inggeris perlu diitalikkan. 2. Sekiranya perkataan tersebut merujuk kepada nama mata pelajaran, perkataan itu mesti bermula dengan huruf besar, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Sekiranya tidak merujuk kepada nama mata pelajaran, huruf 'b' tidak perlu menggunakan huruf besar (bahasa Inggeris). Begitu juga dengan perkataan sains dan matematik, contohnya ahli sains dan ahli matematik. | Ejaan | 11.02.2012 |
saya ingin sah kan bahasa untuk iklan banner perniagaan saya | Untuk makluman tuan, permohonan pengesahan bahasa Melayu untuk papan tanda perniagaan / iklan perlu dibuat melalui dalam talian menerusi laman dbpsahbahasa.my atau melalui kunjungan/kaunter di Aras Bawah, Menara DBP dengan membawa dua (2) salinan visual iklan. Kaunter dibuka pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Bagi mendapatkan id akses dan kata laluan, tuan perlu mendaftar dahulu. Mohon rujuk tunjuk cara pendaftaran dengan mengklik panduan pendaftaran di laman dbpsahbahasa.my. | Lain-lain | 24.07.2018 |
Salam Harap tuan dapat menjelaskan enam permasalahan di bawah. 1) Apakah perbezaan antara `kami' dan `kita' 2) Apakah perbezaan penggunaan imbuhan memper... dan memper...kan. 3) Perbezaan antara `untuk' dan `bagi' 4) Mengapa perkataan `pelaksanaan' tidak dieja sebagai `perlaksanaan' 5) Mana yang betul, ejaan `ketidak adilan' atau `ketidakadilan' 6) Dalam penulisan, angka perlu ditulis dalam bentuk nombor atau perkataan (contoh: 10,000 atau sepuluh ribu) Sekian, terima kasih Izani b. Hj. Daud | 1. Kami merujuk kepada saya sekalian (saya dan rakan-rakan saya semua), manakala kita merujuk kepada kata ganti bagi diri orang yang bercakap serta sekalian yang hadir (mendengarnya). 2. Awalan memper- boleh bergabung dengan kata nama, kata kerja dan kata adjektif untuk membentuk kata kerja transitif aktif, manakala apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kerja untuk membentuk kata kerja transitif. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 177 dan 208. 3. Kata sendi nama untuk dan bagi digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Tetapi untuk maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan, kata untuk tidak boleh bertukar ganti dengan kata bagi. Rujuk halaman 276, Tatabahasa Dewan. 4. Merujuk Kamus Dewan pelaksanaan ialah perihal melaksanakan, manakala perlaksanaan ialah hasil daripada melaksanakan. 5. Ejaan yang betul ialah ketidakadilan. 6. Nombor kosong hingga sembilan hendaklah dieja, manakala nombor 10 dan ke atas ditulis dalam bentuk angka. | Tatabahasa | 04.10.2011 |
Tuan, Bahagian Perangkaan Tenaga Manusia & Sosial, Jabatan Perangkaan telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan survei iaitu "Penyiasatan Sektor Informal". Ia mengkaji pertubuhan yang beroperasi tetapi tidak berdaftar dengan agensi pendaftaran/penguatkuasaan seperti SSM, Pihak Berkuasa Tempatan dsbnya dan mempunyai pekerja 1 hingga 9 orang sahaja. Adakah perkataan "Informal" tersebut perlu diterjemah kan atau digunakan terus kerana ia lebih jelas. Mohon pandangan tuan dalam perkara ini. Sekian terima kasih | Dalam pelbagai bidang ilmu seperti Antropologi, Sosiologi dan Sains Politik istilah informal diterjemahkan kepada Tak Formal. Oleh itu, frasa "Penyiasatan Sektor Informal" hendaklah diterjemahkan kepada "Penyiasatan Sektor Tak Formal". | Istilah | 08.07.2011 |
APAKAH PERBEZAAN SETAKAT DAN SEHINGGA? BAGAIMANAKAH PENGGUNAANNYA? | Perkataan setakat, yang kata akarnya ialah takat digunakan bagi sesuatu had atau peringkat pada sesuatu ukuran. Contoh: Dalamnya sungai itu takat pinggang sahaja; Setakat itu saja yg dapat saya ceritakan. Setakat manakah hasil yang didapati daripada pengajaran yang telah diberikan? Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa , waktu atau tempat. Contoh : Pegawai itu berjaga hingga pagi. Anak-anaknya belajar hingga peringkat universiti. Manakala sehingga digunakan sama dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Contoh : Kami akan bersama-sama sehingga akhir hayat. Pasangan itu berjanji akan setia sehingga hujung nyawa. | Tatabahasa | 08.05.2015 |
Salam sejahtera. 1. “Azman hendak melihat perarakan tetapi sudah tamat”,”Azman hendak melihat perarakan tetapi perarakan sudah tamat”. Ayat manakah yang betul? Adakah perkataan ‘perarakan’ diperlukan selepas ‘tetapi’? 2.Dalam bahasa Malaysia, kata kerja transitif “men...kan” diikuti oleh objek manakala “men...i” diikuti oleh manusia. Sebagai contoh, “Bapa menghadiahi Ali sebuah buku”,”Bapa menghadiahkan sebuah buku kepada Ali”. Akan tetapi, terdapat sesetengah ayat yang tidak mengikut hukum tersebut. Contohnya, “Mereka menguasai sektor ekonomi”,”Peluru mengenai sasaran”. Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku? 3.Dalam kesusasteraan Melayu lama, terdapat perkataan “sekalian peristiwa”. Apakah maksud sebenar yang didukung oleh perkataan tersebut? 4. Apakah cara penulisan yang paling sesuai untuk kata bilangan berangka seperti kedua(ke-2), kelima puluh(ke-50) dalam tulisan rasmi? Adakah tanda sempang(-) dengan angka mesti digunakan ataupun tulisan dalam perkataan sudah memadai? 5. Penulisan kata bilangan ke-56 ditulis dalam bentuk “kelimapuluh enam” ataupun “kelima puluh enam”? | Jawapan 1. Kedua-dua ayat adalah betul. Akan tetapi ayat pertama lebih gramatis, iaitu tidak perlu mengulangi perkataan “perarakan” 2. Bukan semua kata kerja transitif “men...kan” dan “men...i” harus mengikut peraturan tersebut. Sila lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207: (II) Bagi kata kerja tertentu, perbezaan penggunaan apitan meN- ... –kan dan meN-...-i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan men-...-i menerima objek yang bernyawa. Contohnya: a. Ali memberi kucing makanan b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Apabila disebut bagi kata kerta tertentu bermaksud bukan semua kata kerja. Banyak kata kerja berapitan men...i yang tidak diikuti oleh objek bernyawa: -Mereka cuba melupai peristiwa itu -Hujan membasahi jemurannya. -Air hujan memasuki rumah kami. Untuk lebih faham, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 202 -208. 3. “Sekalian peristiwa” bermaksud semua peristiwa atau keseluruhan peristiwa. 4. Penulisan angka boleh digunakan dengan ejaan penuh atau ditulis angka sahaja dalam tulisan rasmi. Walau bagaimana pun mengikut buku Gaya Dewan apabila menulis dalam ayat, bilangan 1 hingga 9 dieja penuh, (seperti satu, dua....sembilan). Manakala bilangan 10 dan ke atas ditulis dengan angka (10, 12, 20, 31, 105 dsb). Jadi apabila ditambah ke, menjadi kedua, kelapan, ke-10, ke-50. Akan tetapi jika bukan dalam ayat, seperti tajuk atau nama khas sesebuah program atau majlis, boleh ditulis dengan angka sahaja walaupun bilangan itu kurang daripada 10. Contohnya “Anugerah Enovasi Ke-8”. 5. Kelima puluh enam | Lain-lain | 30.10.2014 |