Saya ingin meminta penjelasan mengenai penggunaan istilah "HOSPITAL PENGAJAR", contohnya Hospital Pengajar UPM (sila lihat: http://www.medic.upm.edu.my/awani_hpupm). Adakah istilah ini betul dan sesuai untuk digunakan untuk membawa maksud "TEACHING HOSPITAL"? Jika disemak daftar istilah MABBIM (DBP), istilah yang bersesuaian dengan "teaching hospital" ialah "hospital pengajaran". Mohon pencerahan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Istilah bahasa Melayu untuk "teaching hospital" ialah hospital pendidikan atau hospital pengajaran. | Istilah | 26.04.2016 |
Selamat sejahtera, 1. Mereka mendapatkan rawatan di klinik atau hospital? (Perlukah kata sendi nama "di" dibubuh di depan hospital? di hospital) | Ayat yang betul ialah "Mereka mendapatkan rawatan di klinik atau hospital?" Kata sendi nama "di" dalam ayat ini menunjukkan kedua-dua tempat iaitu klinik dan hospital. | Tatabahasa | 14.09.2022 |
Perlukan alih bahasa PRE-HOSPITAL CARE | Berdasarkan rekod kami, istilah bahasa Melayu dalam bidang perubatan untuk post-hospital care ialah jagaan selepas hospital. Oleh itu, cadangan pre-hospital care dalam bahasa Melayu ialah jagaan sebelum hospital. | Istilah | 14.04.2017 |
Apakah perkataan dalam bahasa inggeris untuk Hospital Kuala Lumpur? kekal sebagai Hospital Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Hospital? Bagaimanakah cara untuk membuat semakan terjemahan kata nama khas sebegini? | Kata nama khas ialah kata nama yang merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar. Hospital Kuala Lumpur merupakan kata nama khas di bawah kategori kata nama khas tak hidup. Nama khas dalam bahasa Melayu lazimnya tidak diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, melainkan dalam situasi atau konteks tertentu yang memerlukan nama khas ini diterjemahkan. Contohnya, penggunaan nama khas ini dalam teks bahasa asing, seperti penulisan artikel berbahasa Inggeris. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 84 dan 85. | Makna | 04.02.2025 |
definisi - kesihatan - hospital swasta | Kata kesihatan adalah daripada kata sihat yang mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud perihal sihat,kesegaran, kebaikan keadaan (badan dll.). Hospital swasta bermaksud hospital yang ditadbir dan diurus oleh pihak swasta,iaitu bukan milik kerajaan. | Makna | 26.01.2008 |
Ejaan bahasa Malaysia ditulis dengan huruf kecil b pada perkataan bahasa dalam kontes umum yang merujuk bahasa, huruf besarnya hanyalah Malaysia yang merupakan nama khas. Contoh lain: bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina yang ditulis dengan huruf kecil pada perkataan bahasa. Walau bagaimanapun, bagi mata pelajaran di sekolah, Bahasa Malaysia ditulis dengan huruf besar. Jawapan di atas diberikan oleh pihak DBP tetapi persoalannya kenapakah perkataan hospital Ipoh dieja sebagai Hospital Ipoh dan bukannya hospital Ipoh walaupun konteksnya juga sama sperti di atas | Ejaan untuk hospital Ipoh dieja sebagai Hospital Ipoh (bukan hospital Ipoh) kerana huruf besar digunakan sebagai huruf pertama bagi nama institusi. Contoh lain Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Putrajaya dll. Ejaan Hospital Ipoh tidak sama konteksnya dengan ejaan perkataan bahasa Melayu sebagai nama bahasa. Dalam konteks ini, bahasa menjadi kata umum, manakala kata Melayu ialah kata nama khas. | Tatabahasa | 20.12.2010 |
Salam sejahtera tuan/puan, Sukacita sekiranya pihak tuan/puan dapat memberikan terjemahan dalam Bahasa Melayu bagi istilahistilah berikut: 1. Hydrocollator 2. Tympanometer 3. Overchair Table 4. Stand Assist Chair 5. Hospital Recliner 6. Hospital Armoire 7. Blood Drawing Chair | Istilah bahasa Melayu yang dicadangkan adalah seperti yang berikut: 1. Hydrocollator - Hidrokolator 2. Tympanometer - Timpanometer 3. Overchair Table – Meja Boleh Laras 4. Stand Assist Chair – Kerusi Bantuan Berdiri 5. Hospital Recliner – Kerusi Boleh Laras Hospital 6. Hospital Armoire – Almari Hospital 7. Blood Drawing Chair – Kerusi Derma Darah | Istilah | 30.04.2016 |
Bagaimana kita ingin menulis di dalam surat untuk kata nama "Hospital Pakar Kanak-kanak UKM" atau "Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM"? Adakah "Kanak-kanak" atau "Kanak-Kanak". Mohon khidmat nasihat tuan. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah Hospital Pakar Kanak-kanak UKM. | Ejaan | 08.02.2019 |
Menurut Gaya Dewan, kata atau ayat dalam bahasa asing hendaklah ditulis dengan huruf condong. Dalam Kata Nama Khas Hospital Queen Elizabeth (di Kota Kinabalu) dan Hospital Duchess of Kent (di Sandakan) - perkataan Queen Elizabeth dan Duchess of Kent perlu ditulis dengan huruf condong ataupun tidak? Terima kasih. | Kata nama khas tidak perlu ditulis miring, maka cara penulisan yang betul ialah Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Duchess of Kent | Tatabahasa | 07.07.2014 |
Yang manakah betul? 1) Pelajar itu dikejarkan ke hospital kerana luka di kakinya tidak berhenti mengalir atau: 2) Pelajar itu dikejarkan ke hospital kerana luka pada kakinya tidak berhenti mengalir | Jawapan yang betul: Pelajar itu dikejarkan ke hospital kerana luka pada kakinya tidak berhenti mengalir | Tatabahasa | 09.01.2019 |