hubungkait:sepatutnya hubung kait ke (2 patah perkataan)rekabentuk : reka bentuk tanggungjawab: tanggung-jawab? betul ke | Ejaan yang betul:1. hubung kait 2. reka bentuk 3. tanggungjawab | Ejaan | 22.11.2002 |
Adakah Perkataan 'ia' boleh digunakan untuk menggantikan benda dan perkara? Adakah perkataan ini betul,....... hubung kait, antara bangsa, lalu lintas, mata pelajaran, seperti mana. | Ia boleh merujuk kepada manusia dan juga benda/perkara yang dibicarakan. Ejaan yang betul ialah hubung kait, antarabangsa, lalu lintas, mata pelajaran. | Tatabahasa | 08.08.2007 |
1. yang mana satu betul: a) kaya raya / kaya-raya b) disengat / di sengat c) hubungkait / hubung kait 2. apa beza perkataan di bawah dan yang mana penggunaan yang betul? a) peha:paha b) pernyataan : penyataan | 1. Kaya-raya 2. Disengat 3. Hubung kait 4. Ejaan yang betul ialah paha, manakala ejaan peha dianggap tidak baku dan tidak digunakan dalam konteks rasmi walaupun sebutan peha lebih kerap kita dengari. 5. Pernyataan bermaksud kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dan sebagainya tentang sesuatu perkara. Penyataan bermaksud perbuatan menyatakan sesuatu. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1089. | Ejaan | 06.08.2014 |
hubung kait antara kata ganda dan semantik | Pertanyaan saudara ini berbentuk tugasan pelajar. Saudara perlu membuat kajian dan penelitian yang lebih terperinci. Bagi membantu saudara dalam perkara ini, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku Kata Ganda Bahasa Melayu: Tinjauan Bentuk Berdasarkan Data Korpus. Saudara juga boleh membuat kajian di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka atau mana-mana perpustakaan/pusat sumber untuk tujuan tersebut. | Istilah | 04.09.2009 |
Salam. Manakah yang betul, "hubungkaitkan" atau "hubung kaitkan"? Contoh: Hubungkaitkan kandungan haba dengan jisim air. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah hubung kait, hubung kaitkan dan dihubungkaitkan. Apabila menerima apitan barulah disatukan ejaannya. | Tatabahasa | 15.01.2015 |
Apakah hubung kait peranan Bahasa Melayu dengan jati diri rakyat Malaysia dan wawasan negara | Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, ada tiga ciri utama bangsa Melayu; beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Gabungan tiga unsur ini membentuk identiti yang unggul dan ampuh. Aspek kedua yang mesti dipertahankan ialah bahasa Melayu. Bahasa tidak dapat dipisahkan daripada bangsa. Pepatah Melayu mengatakan bahasa jiwa bangsa. Kekuatan sesuatu bahasa terletak pada keupayaannya menjadi wahana ilmu yang dilambangkan menerusi penulisan dan komunikasi pelbagai bidang ilmu. Itulah jati diri Melayu asli, tulen dan murni. Jati diri yang mesti dipertahankan, dicontohi dan diteladani yang memperkembangkan sahsiah, keyakinan diri, keimanan, memperteguhkan semangat, jati diri dan kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanah air. | Lain-lain | 19.07.2007 |
Assalamualaikom, Saya ingin tahu mana satu ejaan yang betul bagi perkataan berikut:- 1. berkait rapat ...atau berkaitrapat... 2. hubungkait... atau hubung kait.... 3. walaubagaimana pun... atau walau bagaimana pun... 4. Bolehkah sesuatu ayat itu dimulakan dengan perkataan Oleh yang demikian... atau pun Dan....... terima kasih. | Ejaan yang betul ialah berkait rapat, hubung kait, dan walau bagaimanapun. Ayat boleh dimulakan dengan "oleh yang demikian" dan tidak boleh dimulakan dengan "dan". | Ejaan | 14.07.2010 |
Yang mana satu betul? 1. anti-lelaki/ anti lelaki/ antilelaki 2. kadangkala/kadang kala 3. rumah tangga/ rummahtangga 4. aruah/arwah 5. saudaramara/saudara mara/ saudara-mara 6. ramah tamah/ ramah-tamah/ramahtamah 7. seringkali/sering kali 8. tanahair/tanah air 9. pasaraya/ pasar raya 10. tengah hari/ tengahari 11. perkapita/ per kapita 12. hubungkait/hubung kait | 1. antilelaki 2. kadangkala 3. rumah tangga 4. arwah 5. saudara-mara 6. ramah-tamah 7. sering kali 8. tanah air 9. pasar raya 10. tengah hari 1. per kapita 12. hubung kait | Ejaan | 07.08.2014 |
Assalamualaikum These results suggest that increase time spent in sedentary behaviour was associated with poorer level of high moecular weight adiponectin while sedentary behaviour was associated with poorer health-related quaity of life among breast cancer survivors. Hasil kajian ini mencadangkan bahawa peningkatan masa yang diluangkan untuk aktiviti fizikal berintensiti sederhana hingga tinggi mempunyai hubung kait dengan peningkatan tahap serum adiponektin bermolekul tinggi (BMT) manakala tingkah laku tidak aktif mempunyai hubung kait dengan tahap kualiti hidup berkaitan kesihatan yang buruk. Terima kasih. | Terjemahan bagi kenyataan bahasa Inggeris yang ditanya ialah: Hasil kajian ini mencadangkan bahawa peningkatan masa untuk tingkah laku sedentari berhubung kait dengan tahap adiponektin bermolekul tinggi yang rendah manakala tingkah laku sedentari berhubung kait dengan hidup yang kurang berkualiti dalam kalangan pemandiri kanser payudara. | Makna | 15.07.2018 |
Mohon penjelasan. Apakah perbezaan antara struktur masyarakat dan struktur sosial? Terima kasih. | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “struktur” bermaksud pola sesuatu (organisasi, masyarakat, dan sebagainya) yang terbentuk atau tersusun daripada pelbagai unsur yang mempunyai hubung kait antara satu dengan lain. Manakala perkataan “masyarakat” membawa maksud kumpulan manusia yang hidup bersama (di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu). Perkataan “sosial” pula didefinisikan sebagai segala hal yang berkaitan dengan masyarakat (kemasyarakatan). Berdasarkan keterangan makna tersebut, “struktur masyarakat” bolehlah didefinisikan sebagai pola kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu yang berkaitan antara satu dengan lain. “Struktur sosial” merupakan sebuah hubungan antara individu dengan orang lain (masyarakat) untuk membentuk sebuah norma, nilai, atau peraturan yang ada di dalam suatu masyarakat demi kepentingan bersama. Untuk kajian yang lebih lanjut, saudara boleh membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau mengunjungi mana-mana perpustakaan/pusat sumber untuk membuat kajian. | Makna | 21.03.2020 |