| Salam sejahtera. Mohon bantuan pihak tuan/ puan untuk tentukan yang mana satukah betul. 1) sejak kebelakangan ini, 2) belakangan ini, 3) kebelakangan ini, 4) sejak belakangan ini, Sekian, terima kasih | Frasa “Sejak kebelakangan ini”, “Belakangan ini”, “Kebelakangan ini” dan “Sejak belakangan ini” betul dan boleh digunakan mengikut konteks penggunaan dalam ayat. Frasa tersebut tidak semestinya diawali dengan perkataan “sejak”. “Sejak kebelakangan ini”, “Belakangan ini”, “Kebelakangan ini” dan “Sejak belakangan ini” bermaksud waktu atau tempoh sebelum ini hingga kini. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 243. | Tatabahasa | 09.09.2025 |
| Assalamualaikum dan hi, saya ingin mengajukan soalan berkenaan tatabahasa: Boleh saya tahu, adakah perkataan "ianya" dan "memperbaharui" betul daripada segi tatabahasa (sumber: Kamus Dewan Perdana)? Jika ya, apakah kaedah penggunaan kedua-dua perkataan ini? Ini kerana jika mengikut tatabahasa, "ia" dan "nya" tidak digunakan sebagai satu perkataan kerana kedua-duanya ialah kata ganti nama ketiga. Manakala, untuk perkataan "memperbaharui" pula, jika tidak silap, penggunaan imbuhan "memper" yang dipadankan dengan kata adjektif tidak boleh diletakkan imbuhan di belakang seperti "i", "kan". Mohon pencerahan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Untuk makluman tuan, fungsi kamus ialah merakamkan perkataan yang lazim digunakan oleh masyarakat. Perkataan "ianya" banyak ditemukan penggunaannya dalam wacana/teks bahasa Melayu dan kamus menghuraikan maksudnya. Walau bagaimanapun, untuk penggunaan yang standard khususnya dalam penulisan rasmi, perlulah merujuk rumus tatabahasa. Kata "memperbaharui" pula terhasil daripada apitan memper- -i dan apitan ini tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Kata "memperbaharui" sama maksud dengan "membaharui" dan kata ini wujud hasil daripada pengembangan bahasa. Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga menghuraikan apitan memper-...-kan dengan kata kerja dan kata nama, tiada rumus yang sedemikian untuk apitan memper-...-i. | Tatabahasa | 16.01.2024 |
| Salam sejahtera, Saya ingin bertanya tentang istilah "dikesampingkan". Adakah wujud istilah ini? Hal ini demikian kerana, saya tidak menjumpainya dalam website PRPM. Sekiranya wujud, apakah maksud untuk istilah ini? Segala perhatian diucapkan terima kasih. Sekian. | Perkataan “dikesampingkan” ada dalam PRPM melalui Kamus Dewan Edisi Keempat yang ditakrifkan sebagai “diketepikan” atau “dikesisikan”. | Ejaan | 15.08.2024 |
| 1.Sejak kebelakangan ini, Bahasa Melayu semakin dipinggirkan. 2. Belakangan ini, Bahasa Melayu semakan dipinggirkan Saya mahu kepastian antara penggunaan tatabahasa ayat nombor 1 dan 2. Adakah kedua-dua ayat ini betul ? | Ayat yang betul ialah “Kebelakangan ini, bahasa Melayu semakin dipinggirkan” dan “Belakangan ini, bahasa Melayu semakin dipinggirkan”. Perkataan “kebelakangan/belakangan” ini tidak perlu diawali dengan perkataan “sejak” kerana perkataan tersebut bermaksud sejak masa-masa yang kemudian ini, akhir-akhir ini. (Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP, 2021, hlm. 151) | Tatabahasa | 21.07.2024 |
| 1. Program ini julang-julang kali diadakan di sekolah ini. 2. Kelas tuisyen secara percuma ini adalah untuk murid-murid tahun lima dan enam sahaja. 3. Kelas tuisyen secara percuma ini adalah untuk murid-murid tahun lima dan tahun enam sahaja. 4. Saya akan memintanya membayar semula ketika dia mempunyai wang. 5. Saya akan memintanya membayar semula wang ketika dia mempunyai wang. Selamat sejahtera encik/puan, adakah 5 ayat ini betul? terima kasih. | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Program ini julung-julung kalinya diadakan di sekolah ini. 2. Kelas tuisyen secara percuma ini adalah untuk murid Tahun Lima dan Tahun Enam sahaja. 3. Saya akan memintanya membayar wang tersebut semula apabila dia mempunyai wang. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 24.08.2025 |
| Betulkah ayat di bawah ini? - 1.saya akan melaporkan kes ini kepada ibu bapa. 2. Saya akan melaporkan perkara ini kepada ibu kerana dia tidak melakukan kerjanya semasa gotong-royong. 3. Saya akan melaporkan perkara ini kepada ibu. Terima kasih | Semua ayat tersebut betul: 1. Saya akan melaporkan kes ini kepada ibu bapa. 2. Saya akan melaporkan perkara ini kepada ibu kerana dia tidak melakukan kerjanya semasa gotong-royong. 3. Saya akan melaporkan perkara ini kepada ibu. Terima kasih.
| Lain-lain | 15.07.2024 |
| INI PAPAN TANDA NIAGA/IKLAN PERMIS INI TIDAK MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU SEBAGAIMANA UNDANG-UNDANG DARI AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67 DAN AKTA KERAJAAN TEMPATAN 1976. BAHASA MELAYU WAJIB DIUTAMAKAN DARI SEGI 1. SAIZ 2. KEDUDUKAN 3. DAN WARNA BERBANDING BAHASA ASING. KITA DAH TUKAR JAWI KE RUMI MALAH MASIH ADA YANG ENGGAN BERBAHASA MELAYU DAN MAHU SAMARATAKAN BAHASA KEBANGSAAN INI DENGAN BAHASA ASING TERSEBUT. HAL INI SANGAT SERIUS ! TAK ADA SEPATAH PUN ISTILAH CINA, INDIA, MYANMAR, BANGLADESH DAN SEBAGAINYA DISEBUT DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA. INI BUKAN IDENTITI NEGARA INI ! TAPI INI IDENTITI NEGARA LAIN ! MOHON PERIKSA KESAHIHAN SIJIL KELULUSAN DBP, KERANA ADA KES SEBELUM INI PREMIS MENGGUNAKAN SIJIL PALSU DBP. TAK LOGIK DBP LULUSKAN BILA BAHASA MELAYU DIPINGGIRKAN MALAH ADA YANG TAK ADA BAHASA MELAYU LANGSUNG PADA PAPAN TANDA IKLAN. MOHON PERIKSA PREMIS SEKITAR KAWASAN INI JUGA TERMASUKLAH PAPAN IKLAN/BUNTING/BANNER HARAM YANG LANGSUNG TIDAK MENGGUNAKAN SEPATAH HARAM PUN BAHASA MELAYU. IDENTITI - PERTUBUHAN PEMERKASAAN IDENTITI MALAYSIA | Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih atas keprihatinan tuan terhadap penggunaan bahasa Melayu pada papan premis perniagaan. DBP amat menghargai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Usaha pihak tuan dalam memantau dan melaporkan isu sebegini juga dapat membantu memperkukuh pematuhan bahasa kebangsaan secara bersama. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan peraturan ini terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan undang-undang kecil berkaitan, termasuklah keutamaan bahasa Melayu dari segi saiz, kedudukan, serta warna. Untuk tindakan penguatkuasaan, sila hantar aduan rasmi kepada PBT yang berkenaan berserta gambar, lokasi tepat, dan butiran lain. DBP boleh membantu menyemak kesahihan sijil DBP jika tuan memberikan maklumat lanjut seperti nombor sijil kelulusan papan iklan. Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan dan semangat tuan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. | Lain-lain | 16.01.2026 |
| Salam Sejahtera Tuan/Puan Saya ingin bertanya bahawa kegunaan "Hal ini demikian kerana" dan "Hal ini dikatakan demikian kerana" mana yang satu betul? "demikian" itu kata adverba yang menerangkan kata kerja, kata nama, kata sendii nama dan kata adjektif. Namun, "ini" ialah kata ganti nama tunjuk. Bolehkah "demikian" menerangkan perkataan "ini"? Terima Kasih | JAWAPAN: Kedua-dua frasa yang dinyatakan adalah betul. Frasa “Hal ini” ialah subjek, manakala frasa “demikian” dan “dikatakan demikian” ialah predikat dan membentuk frasa yang betul, iaitu “hal ini demikian” dan “hal ini dikatakan demikian.” Frasa "hal ini demikian" merujuk keadaan atau situasi sebenar yang berlaku, manakala frasa "hal ini dikatakan demikian" pula merujuk sesuatu yang telah dinyatakan, dihebahkan, atau menjadi perbualan umum. Perbezaannya terletak pada penggunaan frasa. Frasa "hal ini demikian" merupakan penyataan fakta, manakala frasa "hal ini dikatakan demikian" merujuk apa-apa yang telah diperkatakan oleh orang lain. JAWAPAN: "demikian" (kata adverba) tidak boleh menerangkan perkataan "ini" kerana kata adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama, bahkan golongan kata tugas, kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat, seperti halnya dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Kata adverba “demikian” berfungsi sebagai predikat dalam ayat yang minimum, iaitu ada bahagian ayat telah digugurkan. Untuk makluman lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, (DBP, 2015), halaman 289 dan 290.
| Tatabahasa | 25.09.2025 |
| Mana satu yang betul: 1. Keenganan dan kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib. 2. Keenganan atau kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib. 3. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib. | 1. Keengganan dan kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib. 2. Keengganan atau kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib. 3. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib. Ketiga-tiga ayat ini betul bergantung pada maksud yang hendak disampaikan dalam wacana tersebut. | Tatabahasa | 13.02.2025 |
| Adakah koma diperlukan selepas "Hal ini demikian" atau ayat ini boleh ditulis tanpa koma? | Tanda koma berfungsi sebagai memisahkan penanda wacana yang hadir di hadapan ayat induk. Oleh itu, penggunaan tanda koma (,) perlu digunakan selepas "Hal ini demikian". Sila rujuk Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023) halaman 109 - 113. | Tatabahasa | 21.03.2025 |