apakah perbezaan penggunaan antara perkataan sedar dan menyedari? Bilakah sesuai menggunakan istilah sedar dalam ayat? | Mengikut Kamus Dewan Bahasa makna sedar ialah 1. tahu dan ingat (akan keadaan yang sebenarnya), insaf, mengerti. 2. ingat kembali, bangun atau jaga (drp. tidur), siuman semula. Contoh ayat: kau pun sedar bahawa penduduk kampung ini sudah lama menyuruh aku menyingkirkan kau dari sini. Menyedari pula ialah mengetahui (dengan rasa insaf), menginsafi. Contoh ayat: dia mula menyedari bahawa perbuatannya itu adalah satu dosa.
| Sastera | 06.04.2013 |
apakah peribahasa yg mempunyai maksud berikut : 1. mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka 2.bertindak dengan yakin kerana berada pada pihak yg bernar 3.apabila menyedari bhw kita telah melakukan kesalahan, kita hendaklah insaf dan berusaha utk membetulkannya | Peribahasa yang sesuai untuk mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka ialah bulan jatuh ke riba. Manakala ertindak dengan yakin kerana berada pada pihak yang benar ialah berani kerana benar. Sila rujuk Kamus Peribahasa Melayu karya Abdullah Hassan untuk mengetahui maksud atau peribahasa yang sesuai. Harap maklum. | Makna | 16.07.2008 |
apakah beza sedar, prasedar dan tidak sedar? | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat makna sedar ialah 1. tahu dan ingat (akan keadaan yang sebenarnya), insaf,mengerti.2. ingat kembali, bangun atau jaga(drp. tidur),siuman semula. Pra- bermaksud sebelum. Oleh itu prasedar bermaksud sebelum sedar. Tidak sedar pula mempunyai maksud yang berlawanan dengan maksud di atas. Oleh itu tidak sedar bermaksud antaranya tidak tahu dan tidak ingat. | Makna | 10.01.2008 |
Perbezaan kata rasa, berasa dan merasa. Contoh ayat 1)Sarah berasa sangat gembira kerana memenangi pertandingan itu. 2)Namun tidak semua merasa gembira dengan pencapaian tersebut. 3)Zetti rasa tercabar kerana selama ini dia merasakan dirinya paling terkenal di sekolah itu. | Rasa ialah apa-apa yang dikecap oleh lidah, apa-apa yang dialami oleh bahagian tubuh dan apa yang dirasakan di hati. Berasa bermaksud mempunyai rasa dalam hati, mempunyai rasa tertentu yang dapat dikesan oleh lidah dan berada dalam keadaan hairan, insaf dan sebagainya dalam hati. Merasa bermaksud mengecap untuk mengetahui (rasa makanan dan minuman) dengan lidah, mengalami (rasa sakit atau panas) pada tubuh dan meraba atau menjamah sesuatu dengan tangan atau kaki. Ayat 1 dan 3 betul. Ayat 2 diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: “Namun, tidak semua berasa gembira dengan pencapaian tersebut.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1826-1827. | Tatabahasa | 03.10.2024 |