Yang mana betul? 1. Dia sampai lewat di sekolah. 2. Dia lewat sampai di sekolah. Soalan: Bagi "sampai lewat" ia adalah FK dengan intinya "sampai" dan keterangannya "lewat". Tetapi kalau kita anggap "lewat sampai" sebagai FA, dengan intinya "lewat"....macam betul juga. | Kedua-dua ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 03.04.2012 |
Assalamualaikum, Saya tertarik dengan hantaran Twitter DBP di mana salah satu daripada intinya adalah kecelaruan ejaan burung legenda iaitu geroda (garuda salah). Mengapakah DBP, apabila menyusun dan menerbitkan Kamus Dewan menggunakan geroda sebagai ejaan baku (Indonesia menggunakan garuda sebagai yang ejaan baku) walhal secara lazimnya dalam percakapan dan penulisan, garuda lebih banyak digunakan. Apakah pewajaran tersebut? Mungkin boleh berkongsi supaya dapat diberi penjelasan kepada mereka yang seakan-akan 'marah' dan 'maki hamun' apabila dibetulkan ejaan garuda ke geroda. | Soalan saudara akan dipanjangkan ke bahagian Perkamusan. Jawapan mungkin mengambil masa dan akan dijawab melalui e-mel. | Lain-lain | 09.03.2018 |
Salam sejahtera. Bolehkan saya bertanya apakah jenis frasa predikat dalam ayat ini: "Datuk mahir membuat gasing." Adakah ia Frasa Adjektif kerana intinya perkataan 'mahir'? Jika ya, bolehkah saya tahu apakah fungsi frasa 'membuat gasing'? Sebagai pelengkap atau keterangan? | "Mahir membuat gasing" ialah frasa adjektif dan "membuat gasing" sebagai keterangan kepada kata adjektif mahir. | Tatabahasa | 22.07.2015 |
apakah yang dimaksudkan dengan frasa kerja dengan objek serta contoh. | Frasa kerja dengan objek ialah frasa kerja yang mengandungi frasa nama sebagai objek yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya dan frasa nama yang mengikuti kata kerja itu sebagai objek atau penyambutnya. Contoh: Budak itu membaca buku / Buku dibaca oleh budak itu. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 390. | Tatabahasa | 07.08.2010 |
1.Pelbagai jenis penyakit? 2.Pelbagai penyakit Ayat manakah yang betul?Mengapa? 3.DBP berusaha (meningkatkan,mempertingkatkan) pemahaman tatabahasa dalam kalangan pengguna bahasa 4.Apa bezanya antara imbuhan awalan MeN.. dan imbuhan apitan MeN ...kan?Intinya bilakah kita mengguna meN dan MeN...Kan.Contoh,kita mengguna atau menggunakan pen untuk menulis? 5.Frasa "Sebagai contoh "atau "contoh",manakah yang persis dan betul? 6.Adakah perkataan "menanda" BETUL?contoh,cikgu Lim menanda kertas bahasa Melayu?atau Cikgu Lim menandai kertas BM | 1.&2.- Kedua-duanya adalah betul dan ayat pertama adalah lebih khusus berbanding ayat yang kedua. 3. meningkatkan 4. meN- ialah awalan kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif. Manakala kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam transitif aktif. Contoh yang betul: Kita menggunakan pen untuk menulis. Sila rujuk Tatabahasa Dewan 5. Kedua-duanya betul dan boleh digunakan. 6. Perkataan 'menanda' adalah tidak betul. Ayat yang betul - Cikgu Lim menandakan kertas bahasa Melayu. | Lain-lain | 06.10.2008 |
Apakah yang dimaksudkan dengan 'Menjelaskan pola ayat frasa perbandingan dengan frasa kerja. Boleh beri contoh. | Frasa kerja ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya kata kerja. Untuk makluman puan, frasa perbandingan tiada dalam rujukan Tatabahasa Dewan. Walau bagaimanpun, terdapat keterangan bandingan dalam frasa adjektif. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 415. | Tatabahasa | 03.01.2021 |
maksud inti frasa | Maksud inti dalam konteks binaan frasa nama mengikut Kamus Tatabahasa Dewan ialah unsur yang diberi penumpuan makna dan mewakili seluruh frasa itu dari segi makna, sementara penerang merupakan unsur yang menerangkan makna dalam inti itu. Misalnya dalam frasa nama 'bapa budak itu', intinya ialah bapa, sementara 'budak' dan 'itu' ialah penerang-penerang yang menerangkan 'bapa'. Sila rujuk Kamus Tatabahasa Dewan untuk maklumat lanjut. Harap maklum. | Makna | 04.10.2007 |
Tuan/Puan, Sila rujuk lampiran fail. Harap tuan/puan boleh menjawab seawal yang mungkin. Sekian terima kasih. | 1. Frasa adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya. Contoh FA: kacak sungguh. Contoh ayat FN + FA : Orang muda itu + kacak sungguh.2. Burung pucung ialah burung yang tinggi, lemah-lembut dan panjang kakinya. Sebelum menangkap ikan ataupun katak dengan paruhnya yang panjang, burung pucung akan menunggu dengan sabar untuk haiwan itu berenang di depannya. Nya berfungsi sebagai pembenda. Contoh: ...perkataan yang mengikutinya; Ejaannya ialah...3. Ialah untuk kata nama.4. Dalam buku Tatabahasa Dewan, ia ialah kata ganti nama orang ketiga. 5. Rusa itu berlari ke dalam hutan tetapi tanduk rusa tersangkut pada dahan-dahan pokok. Rusa bertambah takut apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat. Rusa cuba melepaskan tanduknya daripada dahan-dahan itu. Akhirnya, kaki rusa yang kuat itu dapat menolong rusa melepaskan diri.Rusa itu berlari ke dalam hutan tetapi tanduk rusa tersangkut pada dahan-dahan pokok. Rusa bertambah takut apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat. Rusa cuba melepaskan tanduk‘nya’ daripada dahan-dahan itu. Akhirnya, kaki rusa yang kuat itu dapat menolong rusa melepaskan diri. 6. Ya. 7. Ayat yang betul adalah seperti berikut:(h) Budak itu pelukis yang handal. (i) Singa haiwan yang memakan daging.(j) Perkara itu menjadi buah mulut orang ramai. | Tatabahasa | 30.07.2011 |
MOHON BERI PENERANGAN BERKAITAN DENGAN PEMBENTUKAN FRASA ADJEKTIF. JIKA BOLEH BERIKAN PENJELASAN ATAU PERBANDINGAN PANDANGAN TOKOH ZA'BA, ASMAH HAJI OMAR DAN NIK SAFIAH KARIM et.al. terima kasih | Dalam ruang dan had masa yang terhad ini, kami hanya dapat memberikan sedikit maklumat yang berkaitan. Yang selebihnya perlu menelaah pelbagai buku rujukan khususnya Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga (antara penyusunnya Nik Safiah Karim),Nahu Melayu Mutakhir (Asmah haji Omar) dan Pelita Bahasa Melayu (Pendeta Za'ba) dan pelbagai buku yang berkaitan dengan pertanyaan puan. Buku Tatabahasa Dewan, menjelaskan bahawa Frasa Adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai kata intinya. Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa Adjektif yang dibincangkan ialah yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai unsur keterangan dalam predikat. Sebagai unsur keterangan, kata adjektif hadir sesudah frasa kerja dan frasa sendi nama. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 405 - 419. Prof. Emeritus Asmah Haji Omar pula membei penjelasan yang hampir sama tentang Frasa Adjektif. Dengan mengekalkan istilah asal kata Melayu, Frasa Sifat ialah frasa yang intinya merupakan kata sifat dan berfungsi pada predikat ayat. Asmah membahagiakn Frasa Sifat kepada Frasa Sifat Selapis dan Frasa Sifat Kompleks. Lihat Nahu Mutakhir, halaman 338 - 357. Pendeta Za’ba pula membahagi sifat kepada sifat nama dan sifat kata. Yang pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang kedua merujuk kepada adverba. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Pelita Bahasa Melayu. | Tatabahasa | 31.03.2014 |
salam.. 1)boleh terangkan penggunaan kata ''melalui'' sebagai kata kerja dengan terperinci. 2)apa itu frasa endosentrik?contoh penggunaan ayat? trma ksih.. | 1. Melalui daripada kata dasar lalu membentuk kata baru yang membawa pelbagai makna. Apa yang fahamkan daripada soalan saudara bukanlah makna langsung dari perbuatan lalu tetapi makna baru seperti melalui yang bermaksud "dengan perantaraan" atau "menerusi", contoh ayatnya: Rancangan Dewan Bahasa di udara seringkali disiarkan melalui radio dan Ahmad telah memajukan tuntutannya melalui peguamnya. 2. Frasa endosentrik ialah frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif kerana frasa-frasa ini mempunyai satu unsur inti yang dapat menjadi wakil bagi frasanya. Frasa nama, misalnya, mempunyai kata nama sebagai unsur intinya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 81 dan artikel bertajuk "Konsep Endosentrik dan Eksosentrik" dalam akhbar Berita Harian, 31 Julai 2000 yang ditulis oleh Nik Safiah Karim. | Tatabahasa | 01.08.2011 |