apakah yang dimaksudkan dengan gubir? | Menurut Kamus Dewan, gubir membawa maksud gelambir iaitu : kulit yg kendur pd leher lembu (orang tua dll), gedabir;bergelambir 1. mempunyai gelambir, kendur kulitnya atau isinya: perut Tuk Wan yg tidak berbaju itu berlipat-lipat isinya dan ~; 2. = menggelambir menyerupai gelambir, terayun-ayun spt gelambir. | Makna | 21.02.2013 |
apakah maksud "waima" | Waima ialah perkataan Arab yang membawa maksud sama ada, walaupun: apa pun yg dibuat manusia, waima dgn perang meledakkan dunia dan isinya, manusia tidak akan berjaya membunuh kebenaran dan keutamaan. | Makna | 10.05.2013 |
bagaimana membeza perkataan "mengopek dan mengupas"? mengopek durian atau mengupas durian? | Dalam Kamus Dewan mengopek sama maksudnya dengan mengupas, iaitu membelah buah untuk mendapat isinya. | Makna | 13.01.2013 |
Salam, saya ingin bertanya berkenaan penghasilan soalan klon mengikut kertas peperiksaan. Saya merupakan seorang editor, saya ingin tahu dari segi apa yang dikatakan sebagai soalan klon?Adakah melalui isinya yang ditiru hampir dengan soalan kertas peperiksaan, atau dari segi format, atau dari segi jenis atau struktur soalan?Acapkali definisi soalan klon yang saya dapat melalui penulis agak berbeza-beza. Atau sebenarnya soalan klon itu bergantung kepada penulis itu sendiri untuk 'meniru' bahagian2 tertentu atau sebenarnya selama ini para penulis kami silap tafsir dalam definisi soalan klon kertas peperiksaan?Dan jika sudah namanya soalan klon, adakah ini bermakna setiap penggunaan tatabahasa seperti imbuhan 'kan', atau sebagainya perlu sama seperti kertas peperiksaan?Harap2nya soalan saya ini jelas dan semoga DBP dapat membantu. Sekian, terima kasih. | Dalam Kamus Dewan klon bermaksud produk yang dihasilkan menyerupai model asal dari segi fungsi, ciri dan sebagainya. Walau bagaimanapun tidak ada tafsiran yang jelas tentang soalan klon yang saudara perlukan dalam pangkalan data kami. Hal ini perlu dirujuk kepada pihak yang lebih arif termasuklah dalam hal perundangan, sedangkan kamus hanya dapat memberikan makna kata tersebut dari aspek umum. | Tatabahasa | 14.08.2012 |
Dia mengisikan borang atau dia mengisi borang? | Dia mengisikan borang atau dia mengisi borang? Perkataan mengisikan bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam bekas atau ruang; memasukkan sesuatu sebagai isinya; Sementara, mengisi bermaksud menjadikan sesuatu bekas atau ruang berisi atau memberi isi. Penggunaan 'mengisikan' dan 'mengisi' yang betul adalah seperti contoh yang berikut: (1) Pelajar-pelajar diminta mengisikan maklumat peribadi dalam borang. (2) Pelajar-pelajar diminta mengisi borang dengan maklumat peribadi. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, muka surat 589. | Tatabahasa | 04.10.2013 |
Bapa sedang ______ durian. ( mengopek / mencekah / membelah / mengupas ) Jawapan yang mana betul? | Saudari/saudari, Mengopek berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud membuang kulit buah-buahan, mengupas, mengopak (utk mengambil isinya). Mengupas sedikit: ~ buah-buahan dgn hujung pisau. Mencekah pula bermaksud 1. = bercekah; 2. memecahkan (dgn mengapit kedua-dua belah tangan): ~ buah manggis; 3. melebarkan (membuka) sudut (kangkang dll), membelah, menguakkan: cekahlah tulang itu dan dedahkan alat-alat pembiakannya; ~ buah durian. Manakala membelah membawa maksud, memotong atau memecahkan sesuatu menjadi dua bahagian: Selepas ~ buah tembikai itu, ia memberikan sebelah kpd kawannya dan sebelah lagi utknya sendiri. 2 mengerat dan memecahkan sesuatu menjadi beberapa bahagian: Selepas minum teh, saya menolong ayah saya ~ kayu api. 3 memotong bahagian tubuh orang sakit utk menyembuhkannya; membedah. Mengupas merujuk kepada, membuang atau menanggalkan kulit sesuatu: ~ kelapa; ~ limau. 2 menghuraikan sesuatu dgn teliti; mengulas. Jawapan yang betul ialah mencekah. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk maklumat lanjut. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. | Tatabahasa | 14.08.2012 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Emak (mengalas) kari itu dengan rempah-ratus. (b) Orang buta itu menggunakan tongkat supaya (laku) berjalan. (c) Daging lembu itu menjadi (larut) setelah dimasak. (d) Durian itu (diputuskan) untuk mendapatkan isinya. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |
Assalamualaikum. Saya melihat ada jawapan DBP yang tidak konsisten di ruangan khidmat nasihat. Perbezaan jawapan begini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna terutamanya dalam kalangan pelajar. Ingin saya bertanya, jawapan manakah yang paling tepat? Warna kegemaran saya ialah warna biru. atau Warna kegemaran saya adalah warna biru? Terima kasih atas maklum balas daripada pihak DBP. Saya sangat berharap agar DBP sentiasa membuat semakan jawapan agar pengguna tidak bercelaru. Jika rujukan pun kucar kacir, apatah lagi pengguna. Hidup dengan rujukan yang bercelaru ibarat menjunjung buku tanpa kertas. Kulitnya ada tetapi isinya tiada. | Pihak kami ambil maklum berkenaan perkara ini dan akan mengambil tindakan yang selanjutnya. Jawapan yang betul ialah “Warna kegemaran saya ialah warna biru”. Kata pemeri “adalah” tidak betul jika digunakan dalam ayat tersebut kerana kata pemeri “adalah” hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. | Tatabahasa | 10.08.2022 |
Salam. Mohon tuan / puan memberi pencerahan dan contoh bagi "mengisi masa" dan "mengisikan masa"? Terima kasih. | Perkataan mengisikan bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam bekas atau ruang; memasukkan sesuatu sebagai isinya, manakala mengisi bermaksud menjadikan sesuatu bekas atau ruang berisi atau memberi isi. Dalam konteks ayat diberikan mengisikan masa tidak sesuai digunakan. Contoh ayat yang sesuai ialah Ayah mengisi masa lapang dengan mempertajam parangnya. | Makna | 17.03.2018 |
apakah yang dimaksudkan dengan adab? apakah yang dimaksudkan dengan kesusteraan melayu?adakah ia terdiri daripada cerita-cerita,pantun sahaja.boleh nyatakan apakah kompenan yang terdapat dalam kesusteraan melayu? | Adab mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud tingkah laku serta tutur kata yg halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yg halus, kesopanan: 2. cara seseorang berkelakuan dlm sesuatu situasi tertentu termasuk budi bahasa dan tingkah laku (yg halus dan sopan); Perkataan kesusasteraan terbentuk daripada akar kata 'susastera'. Perkataan ini berasal daripada perkataan dalam bahasa Sanskrit. 'Su' bermaksud indah, baik, lebih faedah. Manakala 'sastera' bermaksud kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Oleh itu Kesusasteraan Melayu bermakna semua karya yang berkaitan dengan alam Melayu sama ada mengenai kosmologi atau pun kosmografi alam Melayu. Kompenan dalam kesusasteraan ialah 1. Puisi 2. Cerpen, 3. Novel, 4. Drama. | Lain-lain | 26.03.2009 |