Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[je.nis] | جنيس

Definisi : 1. golongan benda (binatang, tumbuh-tumbuhan, dll) yg mempunyai sifat-sifat yg sama, bangsa: tikus dan arnab termasuk ~ binatang yg mengerip; 2. = ~ kelamin sifat kelamin (laki-laki atau perempuan): per­kataan-perkataan dlm bahasa Inggeris mempunyai perbezaan ~ kelamin; 3. bagai, macam: barang ini agak mahal harganya kerana drpd ~ yg baik; berbagai-bagai ~ = serba ~ bermacam-macam; 4. kasta, go­longan (dlm masyarakat dll): di Minang­kabau terdapat orang yg tiga ~, iaitu malim, hulubalang, dan menteri; berjenis bp elok (barang, perangai); berjenis-jenis bermacam-macam, berbagai-bagai; menjeniskan membahagi-bahagikan (meng­­golong-golongkan) menurut jenis; penjenisan perihal (perbuatan, kerja, dsb) menjeniskan, pembahagian kpd beberapa jenis: digambarkan dgn rajah pohon yg menunjukkan ~ struktur sintaksis. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[je.nis] | جنيس

Definisi : 1 golongan benda (spt binatang, tumbuh-tumbuhan) yg sama sifatnya atau bangsanya: Pinang dan kelapa termasuk dlm ~ palma. 2 = ~ kelamin sifat kelamin (sama ada lelaki atau perempuan): Apa ~ anak kamu yg baru itu? 3 bagai; macam; kualiti: pelbagai ~ bermacam-macam. berjenis-jenis bermacam-macam; berbagai-bagai. menjeniskan membahagi-bahagikan menurut golongan atau jenisnya. penjenisan perbuatan atau hal menjeniskan. sejenis semacam; sebangsa. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
jenis (kata nama)
1. Bersinonim dengan golongan: kumpulan, kelompok, kelas,

2. Rujuk macam 1

Kata Terbitan : berjenis-jenis, menjeniskan, penjenisan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
saya ingin bertanya tentang tatabahasa. berapakah jenis-jenis ayat tanya yang terdapat dalam penggunaan tatabahasa? dan apakah jenis-jenis ayat tanya tersebut? berharap agar pihak anda dapat memberi penerangan dengan lebih lanjut. kerjasama anda sangat saya hargai.Terima kasih.

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ayat tanya digolongkan kepada dua jenis, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan unsur tanya. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?). Contohnya: Encik Zulkifli pengurus syarikat itu? Ayat tanya dengan unsur tanya ialah ayat yang mengandungi unsur seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila. Ayat jenis ini terdiri daripada tiga golongan, iaitu ayat tanya dengan kata tanya (Contohnya: Hari perkahwinannya bila?) , ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya (Contohnya: Gurunya siapa?) dan ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya (Contohnya: Ali hendak ke mana?). Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk  Tatabahasa Dewan. 

 

 

Tatabahasa30.01.2011
mencari makna jenis-jenis ayat seperti ayat aktif, ayat majmuk, ayat songsang dllSila rujuk Bab 17 halaman 463 dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi untuk mengetahui tentang ayat dan jenis-jenis ayat.Tatabahasa26.07.2010
jenis-jenis bahasa verbalMenurut Kamus Dewan, verbal dikaitkan sebagai secara lisan-Contoh ayat: Ramai yg menguasai bahasa isyarat dan dapat berinteraksi dgn baik walaupun tidak banyak interaksi. Bagi membantu saudara mendapatkan maklumat berkaitan jenis-jenis bahasa verbal, saudara boleh mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu DBP dan membuat rujukan pada buku-buku atau majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.Lain-lain08.08.2007
Bolehkah tuan berikan saya jenis-jenis kata majmuk dalam Bahasa Melayu utk kegunaan diri dan pelajar saya?

Kata majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Jenis-jenis kata majmuk terbahagi tiga iaitu:

1) Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas, contohnya guru besar, tengah hari dan balai raya.

2) Kata majmuk yang juga merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah, contohnya graf terarah, program bahasa dan analisis teks.

3) Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya cakar ayam, lipas kudung dan anak emas.

Sila rujuk Tatabahasa Dewan halaman 131.

Tatabahasa16.01.2008
apakah yang dimakudkan dengan genre sastera serta jenis-jenisnya?

Genre ialah istilah yang digunakan bagi menyatakan jenis-jenis hasil sesuatu kesusasteraan.Istilah genre ini sebenarnya berasal daripada perkataan Perancis yang bererti ' jenis' atau 'macam'.

Secara umum pembahagian genre ini dibuat mengikut bentuk, teknik dan persoalan dalam sesuatu hasil kesusasteraan itu. Jika mengikut konteks kesusasteraan Melayu pada hari ini, sebanyak lima genre dibahagikan dalam kesusasteraan Melayu, iaitu genre puisi, genre cerpen, genre novel, genre drama dan genre kritikan sastera. Dalam setiap genre itu pula dapat pula dibahagikan kepada jenis-jenis yang kecil lagi, contoh genre puisi dibagaikan pula kepada Puisi Melayu Tradsional dan Puisi Melayu Moden. Jenis-jenis Puisi Melayu Tradsional seperti pantun, syair, gurindam, nazam, seloka dan seumpamanya. Puisi-puisi Melayu Tradsional ini biasa ditentukan berdasarkan bentuk, teknik dan persoalan yang ingin dikemukakan dalam sesebuah puisi itu. 

 

Lain-lain11.04.2008
apakah definisi dan jenis-jenis sampah dan apakah definisi sisa pepejal.Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, sampah ialah benda-benda yg dibuang, kotoran (daun-daun kering, kertas-kertas kotor, dll.) manakala sisa pepejal ialah apa-apa yg tertinggal (sesudah dimakan, dipakai, dll) yang berbentuk pejal, tidak berubah-ubah, benda padat. Sila rujuk syarikat yang berkaitan untuk mengetahui jenis-jenis sampah, cth. syarikat pelupusan sampah.Makna22.09.2007
salam sejahtera, (a) maksud mobiliti. (b) jenis-jenis mobiliti ?huraikan setiap jenis ? (c) peranan dan kesan terhadap masyarakat ? (d) bagaimanakah mengawal mobiliti?Mobiliti ialah perihal sesuatu yang mudah bergerak atau digerakkan : perihal mudah berpindah tempat tinggal. Jenis mobiliti : bidang perusahaan, saham, projek,dll. Kesan terhadap masyarakat ialah mempertingkatkan atau memajukan taraf hidup hasil daripada projek kemajuan yang dipindahkan ke sesuatu kawasan. Antara cara mengawal mobiliti ialah membuat R & D dan pemanatauan yang berterusan. Sila rujuk Bahagian Perancanagn Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri bagi mendaparkan maklumat lanjut.Makna16.03.2007
jenis-jenis frasa

Frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama

Tatabahasa17.06.2010
apakah jenis-jenis bahasa tidak sopan
Bahasa tidak sopan atau bahasa kasar antaranya digunakan apabila berhubung dengan teman-teman yang karib dan setaraf, serta dalam suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dalam suasana yang bersifat peribadi atau ketidakhadiran orang ketiga. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berserta contoh sila rujuk buku, makalah dan kertas kerja yang berkaitan dengan  mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau mana-mana perpustakaan yang berhampiran.  
Makna21.10.2011
Berikan jenis-jenis kesantunan secara luas dan juga definisi kesantunan secara am.

Assalamualaikum Encik Saipudin,

Kesantunan ialah perihal (sifat dsb) santun, kesopanan, kehalusan (budi bahasa atau budi pekerti): baik dlm bahasa lisan ataupun tulisan, ~ itu sama pentingnya;

Dalam kalangan orang Melayu, kesantunan dapat dilihat melalui pelbagai perkara. Malahan sejak kita kecil lagi kita telah diajar bagaimana untuk bersopan santun apabila bercakap dengan orang yang lebiah tua, bagaimana hendak membahasakan diri dan juga bagaimana hendak menegur sapa mengikut peringkat umur seseorang.

Encik juga boleh mendapatkan maklumat ini melalui laman web dan juga buku-buku yang banyak dijual di kedai-kedai buku.

Makna19.02.2010
12345678910...

Kembali ke atas