Tuan, "cuba kata" ialah frasa atau kata majmuk? Adakah "cuba kata" ialah frasa atau kata majmuk (saya tak pasti) yang bertugas sebagai kata hubung (atau frasa hubung?) keterangan syarat? Kata hubung keterangan syarat seperti "jika", "jikalau", "andai kata", "seandainya". Jadi, adakah "cuba kata" ialah kata atau frasa hubung keterangan syarat? | Tidak ada maklumat dan contoh penggunaan "cuba kata" dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan kata majmuk dibina dengan rumus yang tertentu, tidaklah dengan hanya menggabungkan mana-mana dua perkataan untuk menghasilkan kata majmuk. | Tatabahasa | 17.01.2015 |
Tuan/puan, Saya ada beberapa kemusykilan bahasa: 1. Bagaimana membezakan penggunaan "sementara" dengan "manakala"? 2. Bagaimana membezakan penggunaan "Jika" atau "Jikalau" dengan "kalau"? 3. Apakah pola ayat berikut :"Bandar raya Kuching terletak di Sarawak"? Terima kasih | 1. Kata sementara digunakan dalam situasi ayat yang membawa maksud dalam tempoh atau dalam waktu tertentu; seperti contoh ayat - Lebih baik berjagung-jagung, sementara menanti padi masak, dan perkataan manakala digunakan dalam ayat yang membawa maksud waktu atau pada ketika tertentu, seperti contoh ayat - Dia tersenyum manakala melihat adiknya tidur. 2. Kata jika, jikalau dan kalau membawa maksud yang sama. 3. Bandar raya Kuching terletak di Sarawak - ayat penyata (FN + FN) | Tatabahasa | 11.08.2010 |
salam sejahtera,saya ada 2 pertanyaan. 1. saya keliru tentang penggunaan banyak dan ramai. ada yg berkata, ramai hanya untuk manusia. tapi ada juga yg kata banyak untuk manusia kerana ramai hanya hadir sebagai jamak (orang ramai). 2. perkataan jikalau.. wujudkah perkataan tu? adakah sama seperti kes samada (sama ada). dgn kata lain jikalau (jika kalau).. | 1. Ramai menunjukkan jumlah yang banyak untuk manusia, manakala banyak menunjukkan bilangan bilangan atau jumlah manusia atau bukan manusia. Lazimnya penggunaan 'ramai orang' merujuk suasana (keadaan) orang yang ramai di sesuatu tempat, manakala 'banyak orang' merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan. 2. Jikalau sama fungsinya dengan kata jika dan kalau, iaitu kata penghubung yang menyatakan syarat. | Tatabahasa | 02.04.2011 |
(a) Adakah kata adjektif emotif (perasaan) tidak boleh menerima kata penguat depan dan kata penguat belakang dengan serentak, misalnya amat takut sekali / sangat bimbang sekali? (b) Jika kata penguat "amat sangat" diterima, bagaimanakah pula dengan "amat sungguh", ataupun "sungguh sangat"? (c) Adakah kata hubung "jikalau" merupakan singkatan daripada "jika" dan "kalau"? Dan, bolehkah "jikalau" digunakan sebagai bahasa baku? Sekian, terima kasih. | (a) Semua kata adjektif boleh menerima kata penguat depan dan kata penguat belakang dengan serentak, contohnya seperti yang dinyatakan dibawah.. i. se+kata adjektif + gandaan + kata nama - sepandai-pandai tupai, sekeras-keras batu ii. ter+ kata adjektif - terpandai,terbaik iii. paling+kata adjektif - paling lazat, paling cerdik iv. kata adjektif+ sekali - tinggi sekali, cantik sekali Namun begitu, binaan ter+kata adjektif tidak perlu diikuti oleh perkataan sekali, begitu juga dengan binaan paling+ kata adjektif kerana ter, paling dan sekali sudah membawa maksud darjah penghabisan. Awalan ter yang digabungkan dengan kata penguat bebas amat atau sangat dan hadir sebelum kata adjektif merupakan penanda darjah penghabisan. Binaan darjah penghabisan boleh juga menerima kata penguat belakang sekali dengan kata penguat bebas amat, sangat atau sungguh yang hadir sebelum kata adjektif. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244. (b) Dalam tatabahasa Bahasa Melayu, tidak ada kata penguat "amat sangat", "amat sungguh" dan "sungguh sangat", tetapi dari segi penggunaannya adalah salah satu daripadanya dan tidak ada gabungan, contohnya amat, sungguh dan sangat. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244. (c) Betul. Kata hubung"jikalau" merupakan kata penghubung yg menyatakan syarat (janji), kalau: ~ dibenarkan, tentu saya akan pergi; ~ (se)kiranya seandainya; kalau. Perkataan ini terhasil singkatan daripada "jika" dan "kalau". Oleh itu, perkataan ini diterima pakai dalam bahasa Melayu baku. | |
|
| Tatabahasa | 25.06.2008 |
Salam, bolehkah para Pakar DBP dan tokoh bahasa Melayu hari ini mempertahankan bahasa Melayu dengan mengurangkan peminjaman istilah-istilah asing seperti bahasa Inggeris dan Eropah sebab bahasa-bahasa itu bukan rumpun Melayu. Jika tiada perkataan atau istilah yang sesuai untuk menterjemahkan sesuatu istilah Inggeris, ada baiknya jikalau para pakar DBP dan tokoh bahasa Melayu meminjam istilah serumpun seperti bahasa Melayu Indonesia, bahasa Jawa, Arab, Filipina dan lain-lain serta ada baiknya juga jikalau dipinjam daripada istilah-istilah loghat negeri atau daerah seperti loghat Kelantan, Kedah, Johor dan jikalau tiada sekalipun, cubalah untuk mereka dan mencipta istilah baru. Untuk itu saya memberi contoh, bahasa Melayu tiada istilah "Bicycle" dalam bahasa Inggeris, lalu dipinjam menjadi ''basikal'' dan itu memang kerja menjengkelkan serta kerja mudah. Apa kata, para DBP dan tokoh bahasa Melayu berfikiran terbuka dan berdaya cipta sedikit . Jadi, dalam loghat kedah ''basikal'' disebut ''gerek''. Jadi, apa salahnya jikalau digunakan ''gerek'' untuk ''basikal'' dalam bahasa Melayu dan boleh juga mencipta istilah lain seperti ''bi'' dalam bahasa Inggeris dan ''dwi" dalam bahasa Melayu serta ''cycle'' dalam bahasa Inggeris dan ''kitar'' dalam bahasa Melayu. Jadi, tak salahkan jikalau digabungkan dua perkataan Melayu itu seperti "dwikitar'' untuk ''bicycle'' dalam bahasa Inggeris. | Kami ambil maklum pandangan tuan. Walau bagaimanapun suka untuk kami berkongsi maklumat bahawa peminjaman bahasa sememangnya berlaku secara tabii apabila dua komuniti, bahkan juga dua komuniti dialek, bertemu antara satu sama lain. Ini bermakna akan berlaku pengambilan unsur bahasa daripada suatu bahasa lain ke dalam bahasa sendiri. Contohnya, perkataan fikir (bahasa Arab), ayu (dialek Jawa) dan almari (bahasa Portugis) telah lama diterima pakai dalam bahasa Melayu sehinggakan perkataan tersebut dianggap sebagai kata jati Melayu. Penggunaan kata pinjaman ini bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut terutamanya penggunaan dalam bidang khusus (peristilahan). Kata serapan pula ialah kata daripada bahasa asing yang diambil masuk dengan hanya menyesuaikan bunyi dan ejaannya (jika perlu) supaya sesuai dengan bunyi dan ejaan Melayu. Peminjaman usur-unsur bahasa asing merupakan kelaziman atas beberapa alasan tertentu, iaitu: i. tiada perkataan dalam bahasa Melayu dan keperluan memberikan nama am atau khusus kepada benda atau perkara; ii. perkataan bahasa Melayu belum ada yang dapat menepati maksud semantik bahasa asing; dan iii. Perkataan asing sesuai dan kelihatan lebih bergaya berbanding dengan bahasa Melayu sedia ada yang mungkin sudah lapuk atau jarang-jarang digunakan, misalnya perkataan matematik menggantikan ilmu hisab. Dalam dunia tanpa sempadan, hakikat yang perlu diterima ialah peminjaman bahasa ini juga berlaku dalam semua bahasa dan semakin meluas. Bahasa Inggeris sendiri banyak meminjam bahasa daripada bahasa Latin, Greek dan Perancis. Berdasarkan semakan kami, perkataan bicycle itu sendiri merupakan gabungan daripada bi- (bahasa Inggeris) dan kuklos (bahasa Greek), diasimilasikan menjadi bicycle. Bahasa Arab juga meminjam perkataan bahasa Inggeris khususnya dalam bidang teknologi. Bahasa Melayu yang mempunyai ciri-ciri bahasa moden tidak dapat lari daripada fenomena sejagat ini. Penggunaan bahasa asing dalam bahasa Melayu juga dilihat semakin berleluasa dan tidak terkawal kerana sifat sesuatu bahasa itu sendiri yang sentiasa berkembang seiring dengan perubahan dari semasa ke semasa. DBP, melalui Jawatankuasa Istilah dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim) hanya menerima perkataan asing sekiranya mematuhi proses peminjaman unsur asing ke dalam bahasa Melayu. | Istilah | 06.11.2015 |
Adakah susunan ungkapan "sebahagian daripada" sama dengan susunan "selain daripada"? Jikalau benar, "daripada" dalam ungkapan itu mesti digugurkan? Terima kasih. | Kedua-dua ungkapan mempunyai susunan yang sama tetapi berbeza makna. Jika yang dimaksudkan ialah sebahagian daripada atau segolongan daripada, kata daripada tidak dapat digugurkan. Hal ini berbeza dengan ungkapan selain daripada kerana dapat digantikan dengan frasa selain itu. | Tatabahasa | 15.08.2011 |
Mohon bertanya, jikalau deep-fry adalah goreng celur, dan stir-fry pula goreng kilas, apakah pula istilah Bahasa Melayu yang sesuai digunakan untuk pan-fry? Sekian, terima kasih | Tiada maklumat pan fry dalam pangkalan data kami. Adakah pan fry juga merujuk kaedah memasak atau kuantiti yang dimasak menggunakan peralatan tersebut. Jika kaedah memasak, terangkan kepada kami kaedah pan fry tersebut, | Istilah | 17.09.2017 |
A)nama saya ialah Alice B) nama saya Alice ayat mana yang betul? terima kasih | Cik Puan Shuit Sew, Jika dilihat sepintas lalu, kedua-dua ayat ini betul. Dalam ayat (a) perkataan ialah boleh digunakan dan tidak salah jikalau kita tidak mahu menggunakannya (pilihan). Walau bagaimanapun, ayat yang lebih gramatis sifatnya ialah: (a) Nama saya ialah Alice. ( Nota: perkataan ialah dalam ayat tersebut merupakan kata pemeri/tugas yang berfungsi sebagai penerang atau memerihalkan namanya ialah Alice ). | Tatabahasa | 01.06.2009 |
Adakah arahan penggunaan nama bahasa Malaysia sudah ditarik balik (dimansuhkan)? Jikalau benar, mohon nyatakan pihak yang mengeluarkan arahan pemansuhan itu dan tarikhnya. | Tidak isu tentang pemansuhan penggunaan istilah bahasa Malaysia kerana mengikut Perlembagaan Malaysia istilah yang betul ialah bahasa Melayu. Tidak ada pindaan kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan. Walau bagaimanapun kabinet Malaysia telah mengeluarkan arahan agar istilah bahasa Malaysia digunakan menggantikan istilah bahasa Melayu bagi tujuan perpaduan. Dalam hal ini kami berpendapat penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia perlu disesuaikan mengikut konteks penggunaannya. contohnya, jika penggunaan ini bagi tujuan ilmu maka istilah bahasa Melayu yang paling tepat digunakan kerana bahasa itu disandarkan kepada peradaban Melayu. | Lain-lain | 23.12.2012 |
SAJAK HARI GURU Adakah sajak ini mengikut peraturan seterusnya dipandukan jasa seorang guru kepada murid-murid? Saya bersesuaian dengan balasan munsyi jikalau yang diterima memberi jawapan yang memuaskan. TERIMA KASIH CIKGU (diabadikan kpd semua warga guru) Jasamu setinggi gunung, Baktimu terus disanjung, Khidmatmu semua junjung, Ilmumu agung tak berpenghujung. Sumbanganmu banjaran, Nafasmu ajaran, Lafazmu mantera jaran, Ilmumu tiada ganjaran. Pengorbanan insan guru, Di sinilah ilmu diburu, Guru lama ilmu baru, Tanpamu negara celaru. Tanpamu di manaku? Tiadamu bangsa beku, Tanpamu negara kaku, Kau pereka tingkah laku. Kau melahirkan ilmuwan gagah, Kau menjana ilmiawan penggah, Kau mencanai cendekiawan pegah, Keranamu bangsa megah. Hadirmu bangsa merlip, Bimbingan guru murid kerlip, Tanpamu segalanya selip, Sentuhanmu cukup ghalib. Guruku menabur jasa, Pembentuk anak bangsa, Ilmumu bangsa sasa, Keranamu nusa perkasa. Ilmumu cukup cermat, Segalanya sempurna nikmat, Guru pusaka warisan hikmat, Selamat bertugas selamat berkhidmat. | Pihak kami mencadangkan pihak tuan untuk menghantar sajak ini ke majalah Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Tunas Cipta dan yang seumpamanya. Sajak tuan akan dinilai seterusnya jika memenuhi kriteria yang ditentukan akan diterbitkan dalam salah satu majalah tersebut. | Sastera | 09.07.2018 |