1. Kata sendi nama "ke" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan waktu atau masa. Contoh: i. Mereka akan ke Kuantan esok ii. Mereka mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: i. Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat itu ii. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan iii. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. 2. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contoh: i. Angin bertiup kencang dari arah selatan ii. Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi iii.Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi. Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. 3. Perkataan "mengenai" boleh bersilih ganti penggunaannya dengan kata sendi nama "tentang" walaupun sebenarnya perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu melihat konteks ayat. Contoh ayat yang saudara kemukakan itu, perkataan yang betul dan tepat ialah mengenai, bukan kata sendi nama tentang kerana jika ditukar perkataan mengenai kepada tentang, ayat itu tidak mempunyai makna. Untuk keterangan lanjut tentang kata sendi nama ke, kepada, dari, daripada, dan tentang, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. 4. Ejaan yang betul untuk kependekan Yang Berbahagia ditulis sebagai YBhg. (ada tanda titik) bukan YBhg |