Selamat pagi; Ayat berikut mana satu yang betul'; 1. Para pelancong kagum akan keindahan alam semula jadi Malaysia. 2.Para pelancong kagum dengan keindahan alam semula jadi Malaysia. apakah perbezaannya?? Jasa baik tuan amat dihargai. Terima kasih. Daripada Cikgu Tan ( SJK(C ) Tai Thung ) | 1. Para pelancong kagum akan keindahan alam semula jadi Malaysia. 2.Para pelancong kagum dengan keindahan alam semula jadi Malaysia. Kedua-dua contoh ayat ini betul, ayat yang pertama ialah bentuk yang lazim digunakan, dan ayat yang kedua bersifat emotif. | Tatabahasa | 20.04.2009 |
i ckp kagum krn DBP telah wujud lama sehingga buku sej pun ada rekodnya dgn motif memelihara bhs kebangsaan ngr.namun kalau sering kali berubah2.maka bkn saje menyusahkn malahn mewujudkn jurang perbezaan atr pengguna bhs. | Terlebih dahulu, terima kasih diucapkan kepada saudara atas pandangan menarik yang diberikan berkaitan bahasa kebangsaan negara. Sebenarnya untuk makluman saudara, setiap bahasa yang ada di dunia berubah mengikut peredaran masa dan turut berubah selagi manusia berbudaya. Bahasa Inggeris juga turut berubah mengikut perkembangan. Mohon jasa baik saudara untuk mengemukakan apakah perubahan yang dimaksudkan agar pihak kami dapat sama-sama berkongsi maklumat untuk bersama-sama kita mengangkat martabat bahasa kebangsaan negara kita. Terima kasih. | Lain-lain | 27.10.2006 |
Salam, saya ada terjumpa satu ayat ini : 1)Lihan turut melahirkan kekaguman dengan semangat Randy. betulkah ayat ini?bolehkah perkataan "kekaguman" digunakan dalam ayat ini? ataupun ia perlu digantikan dengan "rasa kagum". situasi yang bagaimana perkataan kekagumaan boleh digunakan dalam ayat? 2) Serupa juga dalam permohonan mendapatkan biasiswa yang membabitkan anak-anak di kawasan luar bandar, yang mana ibu bapa mereka tidak brpelajaran serta tidak tahu bagaimana untuk memohon biasiswa. banyak kesalahan yang terdapat dalam ayat ini,minta tolong betulkan kesalahan-kesalahn tersebut dan terangkan mengapa? terangkan secara terperinci maksud "di dalam" dan "dalam" beserta contoh. | 1. Ayat tersebut betul kerana kekaguman bermaksud keadaan atau hal kagum. Walau bagaimanapun, perkataan tersebut boleh digantikan dengan rasa kagum. Penggunaan kekaguman lebih sesuai digunakan untuk menerangkan perihal kagum, contoh faktor kekaguman. 2) Ayat tersebut dibetulkan begini: Masalah bagi permohonan mendapatkan biasiswa yang membabitkan anak-anak luar bandar ialah ibu bapa mereka tidak berpelajaran dan tidak tahu cara memohon biasiswa tersebut. 3) Penggunaan kata sendi "di" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, misalnya di Kuala Lumpur dan di lapangan terbang, manakala "dalam" di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak seperti perkara, peristiwa dan sebagainya. Sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 265. | Tatabahasa | 07.08.2010 |
Pelancong asing itu kagum melihat "kesabaran" wanita Melayu yang masih mengekalkan adat ketimuran walaupun dunia semakin maju. "kesabaran" adalah salah diguna. Apakah perkataan yang sesuai diguna di sini? keteguhan? kecekalan? ... terima kasih. | Cekal dan teguh (hati) kedua-duanya membawa maksud yang sama, iaitu tabah dan boleh menjadi jawapan kepada ayat tersebut. | Tatabahasa | 12.08.2013 |
Ingin mengetahui sama ada wujud atau tidak perkataan 'wow' dengan 'fuyoo' dalam penggunaan bahasa melayu. | wujud perkataan wau iaitu suara untuk melahirkan rasa kagum, terkejut, atau seronok. | Tatabahasa | 26.11.2007 |
Adakah terdapat perbezaan makna antara kata seru ` wah` dengan ` amboi `? Terima kasih. | Kata seru "wah" ialah kata seru untuk menyatakan kehairanan (terkejut, kagum, dan sebagainya), contoh: Wah, dahsyat sungguh!. Manakala kata seru "Amboi" ialah kata seru untuk menyatakan rasa hairan (kasihan dan sebagainya) atau untuk mengusik seseorang: Amboi, lajunya kereta ini! Amboi cantik sungguh awak hari ini! dan sebagainya. | Tatabahasa | 03.05.2009 |
perbezaan pengunaan perkataan ( Amboi ! ) dan ( Wah ! ) | Kata amboi merupakan kata seru untuk menunjukkan rasa hairan(kasihan dll.) atau untuk mengusik seseorang. Kata wah merupakan kata seru untuk menyatakan kehairanan(terkejut), kagum,dll.) Perbezaan penggunaan kedua-dua kata seru ini dapat dilihat dalam ayat yang berikut: i. Amboi, lajunya kereta ini! ii. Amboi, cantik sungguh awak hari ini! iii. Wah, dahsyat sungguh! iv. Wah, bukan main banyaknya wang masuk! Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Istilah | 10.04.2010 |
wah /amboi ,comelnya kucing awak!wah /amboi , kayanya pemilik banglo itu!kedua-dua soalan ini mana satu jawapan baru betul?wah atau amboi?terima kasih | Kedua-dua ayat tersebut betul. Wah menunjukkan rasa kagum, manakala amboi menunjukkan pujian. | Tatabahasa | 11.07.2009 |
Terima kasih atas bantuan. Seterusnya saya ingin kepastian tentang jawapan bagi soalan-soalan yang berikut: 1. Abu berasa _____ apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. A kaget B takjub C kagum D pelik 2. Masih ada ____ pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. A kekelituan B kegusaran C perselisihan D perbandingan 3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. A AMAT TERINDAH B SUNGGUH AMAT INDAH C AMAT SUNGGUH TERINDAH 4. Biasiswa itu DIBERI KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka. A DIBERI KEPADA PELAJAR B DIBERIKAN PADA PELAJAR C DIBERI UNTUK PELAJAR Terima kasih | 1. Abu berasa kaget apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. 2. Masih ada perselisihan pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. 3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. 4. Biasiswa itu DIBERIKAN KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka. | Tatabahasa | 19.10.2010 |
apakah perbezaan antara kata seru wah dengan amboi | Kata amboi merupakan kata seru untuk menunjukkan rasa hairan(kasihan dll.) atau untuk mengusik seseorang. Kata wah merupakan kata seru untuk menyatakan kehairanan(terkejut), kagum,dll.) Perbezaan penggunaan kedua-dua kata seru ini dapat dilihat dalam ayat yang berikut: i. Amboi, lajunya kereta ini! ii. Amboi, cantik sungguh awak hari ini! iii. Wah, dahsyat sungguh! iv. Wah, bukan main banyaknya wang masuk! Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Tatabahasa | 27.02.2009 |