Salam, soalan : gabungan 2 ayat tunggal dengan kata hubung " tetapi" a) Kamu boleh bawa kamera. b) Kamu perlu menjaga keselamatan kamera kamu. Jawapan manakah betul? Sila beri keterangan. Jawapan A. Kamu boleh bawa kamera tetapi kamu perlu menjaga keselamatan kamera kamu. Jawapan B. Kamu boleh bawa kamera tetapi perlu menjaga keselamatan kamera kamu. Adakah subjek " kamu" perlu digugurkan? Kenapa ? Sekian, terima kasih. | Salam, Untuk makluman, ayat yang diberikan ialah ayat dalam bahasa percakapan (lisan) and tidak gramtis. Ayat yang tepat ialah, "Anda dibenarkan membawa kamera. Akan tetapi, kamera tersebut terletak atas tanggungjawab sendiri." | Tatabahasa | 07.10.2015 |
Assalamualaikum. Untuk ayat sumber 'Allow access to your camera' (pemilik telefon perlu membenarkan aplikasi mengakses kamera bagi tujuan tertentu), bolehkah diterjemahkan sebagai 'Benarkan akses kepada kamera anda' atau adakah lebih sesuai 'Benarkan akses ke kamera anda'? Saya ingin tahu perbezaan penggunaan 'akses ke' dan 'akses kepada'. Terima kasih. | Waalaikumussalam. Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ke dan kepada tergolong dalam kata sendi nama. 1. Kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju, dan digunakan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu atau masa. Contohnya: i. Mereka akan ke Kuantan esok. (menunjukkan tempat atau arah) ii. Ali menunggu temannya di perhentian bas dari pagi ke petang. (menunjukkan waktu atau masa) 2. Kata sendi nama kepada menunjukkan terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Oleh itu, berdasarkan huraian di atas, ayat yang betul ialah “Benarkan akses ke kamera anda.” Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 07.02.2017 |
Pembetulan tatabahasa dan struktur ayat: 1.Pada era kamera menggunakan film, jurufoto-jurufoto membeli berbagai-bagai jenis penapis cahaya ketika menghasikan karya mereka, namun pada era digital kebanyakan penapis tersebut telah disediakan dalam kamera ataupun boleh digunakan daripada perisian komputer bagi tujuan suntingan gambar. 2. Apabila mereka berada dalam talian, tidak ada had kepada perkara yang boleh dilakukan oleh para pelajar dengan sejumlah besar maklumat yang boleh didapati oleh mereka malah lebih daripada itu, cara mereka berkejasama dan belajar antara satu sama lain. | 1.Pada era kamera menggunakan filem, jurufoto-jurufoto membeli berbagai-bagai jenis penapis cahaya ketika menghasikan karya. Namun pada era digital, kebanyakan penapis tersebut telah disediakan di dalam kamera ataupun boleh digunakan daripada perisian komputer bagi tujuan suntingan gambar. 2. Apabila berada dalam talian, tiada had kepada perkara yang boleh dilakukan oleh para pelajar kerana maklumat yang banyak dan mereka boleh bekerjasama dan belajar antara satu dengan yang lain. | Tatabahasa | 11.12.2013 |
Selamat petang. Ayat berikut yang manakah betul? a. Bapa Abu merakam gambar Siti dan kawan-kawannya menggunalan kamera sebagai kenangan manis. b. Bapa Abu merakam gambar Siti dan kawan-kawannya sebagai kenangan manis menggunalan kamera. | Bapa Abu merakam gambar Siti dan kawan-kawannya menggunakan kamera sebagai kenangan manis.
| Tatabahasa | 02.07.2016 |
Adakah perkataan selfie merupakan perkataan baharu dalam kamus?? jika benar.. apakah maksud perkataan tersebut serta perkataan selfie merupakan kata dasar bagi apa?? | Berdsarkan dapatan di Internet, Selfie ialah sejenis gambar potret diri sendiri yang diambil menggunakan kamera digital atau kamera telefon, dan biasanya diambil dalam sudut tertentu oleh empunya gambar itu sendiri sebelum ia dimuat naik ke laman sosial. Menurut data perkataan selfie terakam pada tahun 2002 lagi di Australia, namun perkataan ini menjadi popular pada tahun 2013 lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan tokoh dunia. Perkataan selfie hanya ditemukan dalam Kamus Oxford versi dalam talian. Perkataan selfie belum ada dalam data kami, oleh itu penggunaannya dalam tulisan perlu diitalikkan.
| Istilah | 11.01.2014 |
Saya ingin mengetahui istilah CCTV dalam bahasa Melayu dikenali sebagai kamera litar tertutup atau kemera litar bertutup. terima kasih | Encik Nazri, Padanan bahasa Melayu yang betul ialah kamera litar tertutup. | Istilah | 16.01.2010 |
Salam, Mohon pencerahan berhubung penterjemahan yang tepat bagi istilah Closed Circuit Television (CCTV) dalam Bahasa Melayu. Televisyen Litar Tertutup atau Kamera Litar Tertutup? Terima kasih. | Penterjemahan yang tepat bagi istilah Closed Circuit Television (CCTV) dalam Bahasa Melayu ialah Televisyen Litar Tertutup. Namun begitu, untuk konsep boleh diperluaskan kepada penggunaaan Kamera Litar Tertutup. | Istilah | 10.10.2019 |
Assalamualaikum. Saya ingin tahu sama ada kata 'bagi' boleh diikuti dengan kata kerja. Contohnya: Kami memerlukan kamera untuk mengambil gambar bagi mengesahkan identiti anda. Adakah betul penggunaan 'bagi mengesahkan'? Terima kasih atas bantuan tuan. | Ayat yang dinyatakan di atas adalah betul penggunaannya dari segi tatabahasa. | Tatabahasa | 26.09.2017 |
Apakah terjemahan bagi perkataan webcam? Terima kasih. | Cadangan terjemahan web cam ialah kamera web. | Istilah | 12.03.2012 |
24MP AI Camera 5.84 " Honor FullView Display Aurora Glass Design Ultrasonic Fingerprint product color is for reference only | 1. Kamera AI 24MP 2. Paparan Penuh Honor 5.84" 3. Reka Bentuk Cermin Aurora 4. Pengecam Cap Jari Ultrasonik | Lain-lain | 23.05.2018 |