| Saya keliru dengan penggunaan kk transiftif yang bermaksud kausatif iaitu antara meN.... dengan meN...kan. Ada tak cara/formula untuk memastikan penggunaannya. Adakah kk transitif( kata dasar kata kerja) yang menggunakan apitan meN....?manakala kk transitif( kata dasar daripada kata adjektif dan kata nama) mesti menggunakan meN....kan?sila jelaskan. | Formula yang mudah ialah merujuk buku Tatabahasa Dewan. Di bawah tajuk awalan meN- diterangkan golongan kata yang boleh menerima awalan meN- termasuklah kata nama, kata adjektif dan kata kerja. Lihat juga aspek makna awalan meN- antaranya, bagi makna melakukan perbuatan, menuju sasaran dan berlaku seperti atau menyerupai sesuatu. Aspek makna awalan meN- berbeza dengan apitan men-...-kan. Aspek makna meN-...-kan menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya; dan maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek, contohnya: Ayah membelikan adik buku. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 151 dan 191. | Tatabahasa | 07.04.2012 |
| Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
| Merealisasi atau merealisasikan? Tolong berikan contoh apabila me...(diakhiri dengan) kan dan me... tidak diakhiri dengan kan seperti menyepak bola dan alasan kenapa ia begitu. Ada di diakhiri dengan kan ada yang tidak, tolong jelaskan. | Merealisasi atau merealisasikan , keduanya-duanya boleh digunakan. Terdapat sebilangan kecil kata yang menerima apitan meN-…-kan dan meN…-i, penggunaanya silih berganti tanpa membezakan makna, contohnya: Ali sedang membaiki/membaikkan keretanya yang rosak. Kami masih dalam proses merealisasi/merealisasikan cita-cita kami. Perkataan merealisasi sebenarnya terdiri daripada kata dasar realisasi yang menerima apitan meN-…-i (merealisasii) tetapi telah digugurkan satu i. Kata kerja boleh dihasilkan dengan proses pengimbuhan sama ada imbuhan awalan , akhiran, apitan dan sisipan. Kata kerja yang terbentuk daripada imbuhan awalan meN- (variasinya: me-, mem-, men-, meng-) menerbitkan dua makna: 1) melakukan perbuatan atau 2) menyatakan keadaan. Bagi makna melakukan perbuatan dipecahkan kepada lima maksud iaitu i) melakukan sesuatu , contohnya: merayu, membuka, mentadbir, mengheret, menjahit (Emak menjahit baju). ii) mengeluarkan suara, contohnya: mengaum, mengiau; iii) membuang, contohnya: merumput; iv) menuju sasaran, contohnya: menepi, mendarat; v) menjadi seperti atau menyerupai sesuatu, contohnya: membusut. Bagi makna menyatakan keadaan dipecahkan kepada dua iaitu i) hidup sebagai, contohnya: membujang, menjanda; ii) menjadi, contohnya: memanjang. Kata kerja yang terbentuk daripada apitan meN …kan menghasilkan maksud : i) membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, contohnya: Dia merundingkan hal itu tadi. ii) kausatif atau menyebabkan, contohnya: Aril memanjangkan bacaan doanya. iii) manfaat, contohnya: Emak menjahitkan adik baju kurung. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 143 – 223. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
| Acik Nana WED 9:05PM Assalamualaikum & Selamat malam.. Minta maaf sy bertanya.. Saya sedang mencari beberapa buku untuk kursus saya.. Jadi saya tidak pasti pihak DBP di bahagian mana untuk saya bertanya tentang penjualan buku.. Jadi.. Saya sertakan senarai buku yang saya perlu kan.. Ada tak pihak DBP menjual buku² ini? 1. Novel Perawan remaja dlm cenkeraman militer kaya promoedya anantha teor 2. Sastera wangi - cerpen hanya seorang perempuan, cerpen perempuan 3. Cerpen perempuan - shahnon Ahmad. 4. Cerpen perempuan - anis sabirin 5. Novel tulang² berserakan - usman awang 6. Novel TIVI | Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pegawai Bahagian Pengedaran dan Pemasaran DBP, Encik Zulhilmi Baharuddin melalui talian 03-41012409 atau e-mel zulhilmi@dbp.gov.my. Terima kasih | Lain-lain | 21.09.2016 |
| Salam Sejahtera. 1. Bagaimanakah cara yang betul untuk menulis sinkope 'tu', 'ni', 'kan', 'nak'? 2. Ada editor yang meletakkan tanda (') sebelum perkataan kan = 'kan. Apakah fungsi (') 3. Perlukah juga meletakkan tanda (') pada singkatan cu = cucu, nak = anak, pak = bapak? Terima kasih | Salam sejahtera, 1. Untuk singkatan tu, ni, kan dan nak = singkatan tersebut sudah betul. Untuk kan, hanya kan yang berfungsi sebagai imbuhan sahaja dieja bersambung dengan perkataan sebelumnya. Selain itu "kan" dieja terpisah kerana kan dalam percakapan bermaksud bukan atau tidak membawa apa-apa makna. 2. Editor tidak meletakkan tanda (') sebelum perkataan kan. 3. Tidak perlu meletakkan (') pada kependekan cucu, anak dan bapak. Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, mohon rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4. | Tatabahasa | 23.09.2015 |
| Imbuhan 'MeN..i/kan' amat mengelirukan.Apakah formula terbaik nak bezakan keduanya? Apa beza..1.memberi/kan 2menjauhi/kan 3.menjahit/kan 4.menemui/kan?TQVM | Apitan meN...i diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN...kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 191. Awalan kata kerja meN-... mendukung maksud melakukan sesuatu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan. Topik ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam halaman 158-160. Untuk melihat perbezaan makna antara kata terbitan dengan awam meN-... dan kata kerja meN-...kan rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
| Salam, Harap berikan sedikit tip tentang penggunaan imbuhan "kan'. Saya perhatikan bahawa sama ada imbuhan itu ada ataupun tidak ada, perkataan masih berbentuk kata kerja. Jadi, saya sedikit keliru sama ada nak tambah "kan" ataupun tidak. Terima kasih. | Kata kerja tidak semestinya mempunyai imbuhan kerana kata kerja terdiri daripada empat bentuk, iaitu kata kerja tunggal, kata kerja terbitan, kata kerja majmuk dan kata kerja ganda. Kata kerja tunggal ialah kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Contohnya, terbang. Kata kerja terbitan ialah kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, sama ada awalan, akhiran, apitan atau sisipan. Contohnya, memasak, bukukan, membesarkan dan menggeletar. Kata kerja majmuk terdiri daripada rangkaian dua morfem bebas atau lebih. Contohnya, kenal pasti. Kata kerja ganda pula merupakan proses yang hanya menggandakan kata dasar tanpa melibatkan sebarang imbuhan. Contohnya, geleng-geleng. Berdasarkan bentuk kata kerja tersebut, akhiran -kan membentuk kata kerja terbitan. Golongan kata yang boleh bergabung dengan akhiran ini ialah kata nama, kata kerja tak transitif, kata kerja transitif, kata adjektif dan kata tugas. Akhiran –kan membentuk kata kerja transitif yang biasanya menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja yang menerima akhiran –kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat, iaitu dalam ayat pasif dan ayat suruhan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam beberapa imbuhan lain, iaitu meN-…-kan, beR-…-kan, mempeR-…-kan, di-…-kan dan dipeR-…-kan. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 143-223. | Tatabahasa | 28.06.2021 |
| Bagaimana mahu menentukan sama ada perkataan itu perlukan apitan men-kan / di-kan? Apakah bezanya sekiranya kita meletakkan akhiran -kan pada satu satu perkataan itu? | Apitan kata kerja meN-...-kan untuk ayat aktif, manakala apitan di-...-kan untuk ayat pasif. Aspek makna yang terkandung dalam kata kerja ini diterangkan dengan panjang lebar dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 197. Akhiran -kan lazimnya digunakan dalam ayat pasif dan ayat suruhan. Rujuk halaman 183. | Tatabahasa | 11.10.2011 |
| 1)apakah perbezaan antara pelbagai dan berbagai 2) jika ada perkataan mem.....kan tak perlu ada perkataan "tentang" 3) memperluas atau memperluaskan 4) bagaimana penggunaan mem...per...kan | 1. Pelbagai sama makna dengan berbagai-bagai. 2. Terdapat beberapa peraturan dalam penggunaan apitan meN-...-kan, iaitu: i. bentuk apitan meN-...-kan, ii. golongan kata yang boleh bergabung dengan meN-...-kan, iv. jenis kata kerja yang terbentuk, dan iv. aspek makna apitan me-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Sementara itu, salah satu makna tentang ialah mengenai, dan penggunaan kata tentang perlu disesuaikan dengan makna yang tersebut. 3. Kata terbitan yang betul ialah memperluas. 4. Kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan untuk membentuk kata kerja, contohnya: isteri (kata nama) - memperisterikan, dengar (kata kerja) - memperdengarkan. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 209. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
| Cikgu, maksudnya segala kata kerja majmuk yang menerima bentuk awalan termasuk semua awalan meN-, ber- dan di- perlulah dijarakkan perkataan atau dipisahkan perkataannya. Seperti: mengulang kaji dan bersatu padu? Dan segala kata kerja majmuk yang menerima bentuk apitan termasuk semua apitan seperti ke-...-an, peN-...-an, pe-...-an, meN-...kan, meN-...-i, TIDAK PERLU dijarakkan atau dipisahkan perkataannya seperti pengemaskinian (peN-...-an), pengulangkajian (peN...an), menguatkuasakan (meN-...-an), dikuatkuasakan (di-...-kan), mengurusniagakan (meN-...-kan) dan menyatupadukan (meN-...-kan)? Ada contoh kata kerja majmuk yang diimbuhkan "ke-...-an" yang tidak perlu dijarakkan atau dipisahkan perkataannya tak? Natijahnya, kata kerja majmuk yang menerima bentuk awalan perlu dieja terpisah, manakala kata kerja majmuk yang menerima bentuk apitan perlu dieja bercantum? | Kata majmuk yang menerima awalan (seperti di-, ber-) atau akhiran (seperti -nya, -kan) dieja sebagai dua perkataan, seperti berterima kasih dan urus setianya. Walau bagaimanapun kata majmuk yang menerima apitan (seperti peN-...an, ke-...-an, meN-...-kan) dieja sebagai satu perkataan, seperti pengemaskinian, keluarbiasaan dan mengurussetiakan. | Tatabahasa | 07.05.2014 |