Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ka.sar] | کاسر

Definisi : 1. tidak kecil atau tidak halus, agak besar: benang ~; bulu ~; pasir ~; garam ~; 2. tidak licin, kasap, kesat: kertas pasir ini kurang ~; muka Satejo sangat ~ nampaknya; 3. tidak kemas (halus) buatannya dsb: perabot yg tahan lama tetapi ~ buatannya; jahitannya ~; 4. tidak tertib (sopan santun, beradab), tidak lemah lembut: segala percakapan dan kelakuannya terlalu ~; menjawab dgn suara yg ~ menjawab dgn suara yg menengking; bermain ~ berlaku kasar (tidak menurut ke­tertiban dan peraturan); 5. tidak terperinci, belum mengambil kira atau memperhitungkan butir-butir tertentu, secara umum atau pd garis besarnya sahaja: perbelanjaan itu dikira secara ~ saja; jualan ~; untung ~; 6. yg ber­wujud, jasmani: badan (tubuh) ~ badan (tubuh) yg jasmani (bukan batin); 7. keras dan rendah (suara dll), besar: suara ~; 8. berat (bkn kerja dll); buruh ~ buruh yg membuat kerja berat; kerja ~ kerja berat (kerja yg di­lakukan dgn kekuatan tubuh badan seseorang); ~ tangan a) kasar barang kerjanya; b) suka memukul; berkasar berbuat (bercakap dll) dgn kasar: tidak pernah Tasimah ~ dgn suaminya; mengasari berbuat sesuatu dgn kasar pd, mengerasi: dia cuba membantah, akibatnya dia telah dikasari oleh penjual itu; mengasarkan menjadikan kasar; memperkasar menjadikan lebih kasar; kekasaran perihal kasar: rasai olehmu Kahar, balasan ~ tingkahmu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ka.sar] | کاسر

Definisi : 1 tidak halus; agak tebal (ttg benda yg berbiji-biji, spt pasir, atau yg berurai-urai, spt benang): benang ~; pasir ~. 2 tidak licin; kesat (apabila diraba): Kertas pasir ini kurang ~. 3 tidak kemas buatannya (bkn perkakas spt kerusi dan meja); tidak halus: Kerusi itu ~ buatannya. 4 tidak lembut; tidak sopan; biadab (bkn kelakuan dll): Tingkah lakunya ~ benar. 5 keras dan rendah bunyinya (suara dll): Suaranya ~. 6 tidak terperinci; secara umum saja: ujian ~; garis ~. berkasar berlaku (bercakap dll) dgn kasar: Dia tidak pernah ~ terhadap ibu bapanya. mengasari berlaku kasar terhadap. mengasarkan menjadikan kasar. memperkasar menjadikan lebih kasar. kekasaran keadaan kasar; sifat kasar: Dia meminta maaf kerana ~nya itu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kasar (adjektif)
1. Bersinonim dengan kesat: kasap, kematu, gerutu, tidak licin,
Berantonim dengan licin

2. Bersinonim dengan agak besar: tidak kecil, tidak halus,
Berantonim dengan halus

3. Dalam konteks perabot
bersinonim dengan gabas, gubas, gabal, tidak kemas, tidak halus,
Berantonim dengan halus

4. Dalam konteks perangai
bersinonim dengan biadap, kurang ajar, tidak tertib, kurang sopan,
Berantonim dengan sopan

5. Dalam konteks kerja
bersinonim dengan berat, buruh, kontrak,
Berantonim dengan ringan

6. Dalam konteks suara
bersinonim dengan keras, besar, parau, garau,
Berantonim dengan lembut

7. Bersinonim dengan secara umum: tidak terperinci, pukul rata, lebih kurang,

Kata Terbitan : berkasar, mengasarkan, kekasaran,

Puisi
 

Kain kasar kain dibeli,
     Masuk berniaga negeri Jawa;
Kisar di kanan gigit di kiri,
     Salah timbang kecewa juga.


Lihat selanjutnya...(7)
Peribahasa

Seperti biawak,
     masakan hilang kesatnya.

Bermaksud :

Orang-orang yang rendah budi pekerti tentu bahasanya kasar.

 

Lihat selanjutnya...(4)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Soalan 1. Apakah yang dimaksudkan bahasa tidak sopan atau kasar? 2. Apakah jenis-jenis bahasa tidak sopan atau kasar? 3. Apakah sebab-sebab timbulnya bahasa tidak sopan atau kasar ini? Terima kasih.Bahasa kasar ialah bahasa yang digunakan apabila berhubung dengan teman-teman karib dan setaraf, serta dalam suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dalam suasana yang bersifat peribadi atau ketidakhadiran orang ketiga. Untuk lebih memahami tentang tajuk tersebut, rujuk buku yang berkaitan dengan santun bahasa, artikel atau kertas kerja yang berkaitan dengan tajuk berkenaan.Lain-lain25.09.2011
contoh-contoh bahasa kasarBahasa kasar digunakan apabila berhubung dengan teman-teman yang karib dan setaraf, serta dalam suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dakam suasana yang bersifat peribadi atau ketidakhadiran orang ketiga. Sila buat kajian/penyelidikan dengan  mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka atau mana-mana perpustakaan/pusat sumber.  Istilah26.10.2009
apakah yang dimaksudkan dengan bahasa halus dan bahasa kasar?contoh-contoh bahasa halus dan bahasa kasar?apakah ciri-ciri bahasa halus dan bahasa kasar?dan apakah kesan dalam kehidupan masyarakat kita.memandangkan negara kita semakin maju dan moden dan berada pada alaf baru,agak berbeza penggunaannya dalam kehidupan pada masyarakat sekarang.dan bagaimana ianya dikategorikan memandangkan negara kita ini merupakan negara yang berbilang kaum, berbilang agama dan juga bangsa.Bahasa halus yang saya fahami  lebih ditumpukan kepada kesantunan berbahasa, bahasa halus juga kadang-kala merujuk kepada bahasa istana. Bahasa kasar pula lazimnya digunakan apabila berhubung dengan teman-teman yang karib dan setaraf, serta dalam suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dakam suasana yang bersifat peribadi atau ketidakhadiran orang ketiga. Untuk mendapatkan penerangan yang lebih sila dapatkan buku Prof. Dr. Asmah Hj. Omar yang telah mengupas agak panjang tentang kesantunan berbahsa dan sila buat kajian/penyelidikan dengan  mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka atau mana-mana perpustakaan/pusat sumber.  Lain-lain20.07.2010
apakah maksud garis kasar? adakah bermaksud garisan yang tidak halus atau?Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, garis kasar bermaksud 1. garis yang dilukis secara kasar 2. rangka, catatan ringkas, maklumat utama (yang dikemukakan tidak secara terperinci)Makna10.02.2011
bahasa kasar dan bahasa halusBahasa kasar bermaksud bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan atau ditulis, manakala bahasa halus ialah bahasa atau perkataan yang lebih lembut yang digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain, misalnya bahasa dalam kalangan raja-raja. Makna21.08.2010
perlakuannya yang kasar itu menyakitkan hati rakan-rakannya. tuan, saya berasa kekeliruan antara kelakuan dengan perlakuan. Bolehkah ayat ini digantikan dengan kelakuannya? Tq Kelakuan dan pelakuan membawa maksud yang sama iaitu perbuatan.Tatabahasa18.08.2011
"Aku berubah menjadi lebih baik. Daripada/dari perangai yang kasar kepada perangai yang lemah-lembut." Tuan, yang manakah betul? Dari atau daripada?"Aku berubah menjadi lebih baik. Daripada perangai yang kasar kepada perangai yang lemah-lembut."Tatabahasa25.06.2012
Adakah penggunaan perkataan 'hendaklah' bagi contoh ayat berikut tidak sopan/kasar: "Senarai Semak hendaklah dicetak sebelum difailkan"Partikel -lah pada perkataan hendaklah merupakan penegas  yang memberikan penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat. Ia tidak membawa  makna tidak sopan/kasar.Tatabahasa04.05.2010
Saya melihat banyak lagu dari Indonesia menggunakan lirik(perkataan) 'butuh' sedangkan di Malaysia maksudnya agak lucah dan kasar. Mengapa hal ini dibenarkan?Perkataan tersebut adalah bahasa Indonesia dan kita tidak berhak untuk menghalang mereka daripada menggunakan bahasa mereka sendiri walaupun dalam bahasa Melayu bermaksud lucah dan kasar.  Penyiar radio dan televisyen boleh memainkan peranan untuk tidak menyiarkan lagu-lagu sedemikian kepada pendengar.Lain-lain27.10.2009
Saya ingin mengetahui tentang apakah yang dimaksudkan dengan taboo dalam bahasa melayu?Adakah ia mempunyai kaitan dengan penggunaan bahasa kasar dan bahasa halus dalam bahasa melayu?Adakah ia juga berkaitan dengan kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat?Apakah yang dimaksudkan dengan sosiolinguistik?Taboo dalam bahasa Melayu bermaksud pantang larang (kepercayaan) dan tiada kaitan ddn bahasa halus atau kasar. Sosiolinguistik ialah kajian bahasa dlm hubungannya dgn struktur dan sikap masyarakat.Makna19.07.2007
12345

Kembali ke atas