Encik, Pertanyaan Tentang Kekeliruan Bahasa Melayu Dengan segala hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk. 1. Setelah tiga tahun meninggalkan pelajaran bahasa melayu, saya telah menyedari bahawa saya masih lemah dalam memberikan makna tentang kata sifat. Hal ini telah menyebabkan kesukaran bagi saya untuk memahami sesuatu ayat. 2. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menanyakan beberapa kata sifat kepada pihan tuan. Kata-kata sifat tersebut adalah acap, gonjo dan dumba-dumba. Kata-kata sifat tersebut sering digunakan oleh guru bahasa melayu saya dan menyukarkan saya untuk memberi tindakbalas apabila disoal tentang maksud kata-kata sifat tersebut. Saya berharap agar pihak tuan dapat menjelaskan lagi makna sebenar kata-kata sifat tersebut kepada saya. Jasa dan ilmu daripada pihak tuan amatlah saya hargai. Saya akhiri dengan ucapan jutaan terima kasih. Sekian,terima kasih. | Untuk makluman tuan, kata sifat dalam buku Tatabahasa Dewan, dikenali sebagai kata adjektif. Kata adjektif boleh diuji dengan menyertakan kata penguat seperti amat dan sangat sebelum atau selepas kata adjektif. Contohnya, perkataan sayang boleh didahului kata amat menjadi amat sayang. Berdasarkan perkataan yang dilampirkan, perkataan acap boleh didahului kata penguat menjadi amat acap. Perkataan gonjo ialah dialek Negeri Sembilan yang tergolong dalam kata kerja. Dan tidak ada maklumat dalam pangkalan data kami tentang perkataan dumba-dumba. | Tatabahasa | 07.04.2014 |
Salam. Adakah makna perkataan BM "tentatif" dan BI "tentative" sama? adakah "tentatif" digunakan sebagai kata nama atau kata sifat? Jika ianya berbentuk kata sifat, adakah penggunaan 'tentatif' berikut betul - jadual tentatif? Terima kasih. | Padanan tentative dalam bahasa Melayu ialah tentatif yang bermaksud sementara. Melihat kepada makna sementara jelas menunjukkan fungsinya sebagai adjektif. Oleh itu, frasa 'jadual tentatif' adalah betul. | Tatabahasa | 25.03.2011 |
Berikan beberapa contoh kata kerja dan kata sifat dalam konteks sinonim.TQ | Contoh kata sifat : cantik = indah, cepat =pantas Contoh kata kerja : pulang= balik, berbual=berborak | Istilah | 12.05.2009 |
Saya Ismail Wa-leng Sedang Belajar di Pusat Bahasa Melayu Dasar, Universiti Pattani Thailand, Ingin Bertanya DBP apakah kata sifat Terimakasih | Kata adjektif atau kata sifat ialah kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu benda. | Tatabahasa | 12.11.2013 |
Perkataan "mempertahankan" boleh dipakai? ini kerana dalam tatabahasa dewan imbuhan "memper...kan" tidak boleh menerima kata dasarnya, kata adjektif. Bukankah "tahan" ialah kata adjektif? SEKIAN, HARAP DAPAT TERJAWAB MASALAH INI. | Walaupun "tahan" merupakan kata sifat tetapi kata ini abstrak. Kata sifat yang abstrak mempunyai makna yang khusus. | Tatabahasa | 20.09.2007 |
baru/baharu | kata sifat - baru/baharu kata bantu - baru | Tatabahasa | 04.12.2008 |
APAKAH PERBEZAAN PERKATAAN BAHARU, BARU DAN BAHRU? JELASKAN JUGA CONTOH PENGGUNAAN AYAT. | Perkataan baharu atau baru sebagai kata sifat digunakan dalam konteks tahun baharu atau tahun baru, kereta baharu atau kereta baru, orang baharu atau orang baru. Perkataan bahru digunakan bagi nama bandar Johor Bahru. Walau bagaimanapun perkataan baru hanya digunakan dalam konteks baru tiba, baru selesai atau baru-baru ini. | Tatabahasa | 31.12.2008 |
Tuan, minta lihat di bawah terlebih dahulu. 1. Bas ini bergerak dengan lajunya. Dalam ayat (1), frasa sendi nama "dengan lajunya" bertugas sebagai keterangan cara dalam frasa kerja "bergerak dengan lajunya". Soalan saya jika kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" digugurkan, adakah ayat di atas masih betul? Setelah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat "lajunya" berlaku, ayat akan berubah menjadi berikut: 1. (a) Bas ini bergerak dengan laju. Adakah ayat 1. (a) betul? Adakah pengguguran kata pembenda -nya dalam kata sifat akan menjejaskan ayat? | Kata –nya dalam ayat Bas ini bergerak dengan lajunya berfungsi sebagai kata penekan. Ayat Bas ini bergerak dengan laju betul. | Tatabahasa | 29.12.2014 |
Apa persamaan antara kata adjektif dengan kata adverva? | Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat. Kata adjektif boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat seperti amat sakit dan indah sekali. Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat. Kata adverba boleh hadir di hadapan atau belakang frasa. Contohnya Kami selalu memperkatakan hal itu dan Olahragawan itu sihat sentiasa. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 225 dan 289. | Tatabahasa | 01.11.2012 |
Tuan, saya mendapati bahawa kata "cinta", "kasih" dan "sayang" dapat bertaraf dua, iaitu kata nama dan kata sifat. Jika "cinta", "kasih" dan "sayang" sudah berdarjat nama yang bermaksud rasa suka sangat, mengapakah ditokokkan apitan ke-...-an pada ketiga-tiga kata nama tersebut untuk membentuk kata nama "kecintaan", "kekasihan" dan "kesayangan" lagi? Saya berpendapat bahawa "kecintaan", "kekasihan" dan "kesayangan" tidak diperlukan kerana "cinta", "kasih" dan "sayang" sudah sedia kata nama, jadi "kekasihan", "kecintaan" dan "kesayangan" terbitan lebihanlah. Mungkin orang salah menganggap bahawa "cinta" hanya bergolongan satu, kata sifat, jadi untuk menamakan sifat "cinta", apitan ke-...-an ditokokkan pada "cinta" untuk membentuk nama "kecintaan". Sebenarnya pengimbuhan ke-...-an itu tidak diperlukan sama sekali kerana "cinta" sudah sedia nama dan juga dapat bekerja sifat bergantung pada cara penggunaan dalam ayat. Kesimpulannya, "cinta", "kasih" dan "sayang" berdwigolongan kata, iaitu sifat dan nama. Betulkah faham saya ini? | Ketiga-tiga perkataan yang dikemukakan terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Sekiranya tuan tidak bersetuju dengan kewujudan perkataan tersebut, sila kemukakan pertanyaan kepada Bahagian Perkamusan, DBP. | Tatabahasa | 18.12.2016 |