adakah dua ayat ini betul,jika tdk berikan yg betul. i) talib melempari anjing itu dengan sebatang kayu. ii) tidak terkejar olehnya layang-layang yang terputus tali itu. mohon beri jawapan ,,,,tuan. t.kasih. ..... Lee Koi | Jawapannya ialah; i) Talib melempar anjing itu dengan sebatang kayu. ii) Tidak terkejar olehnya layang-layang yang terputus tali itu. | Tatabahasa | 03.08.2009 |
Assalamualaikum, Merujuk kepada jawapan yang tuan berikan terhadap pertanyaan saya bagi maksud "engineered timber", "engineered wood" dan "mass timber." Bolehkah saya simpulkan seperti di bawah? i) "Engineered timber" = balak tereka bentuk ii) "Mass engineered timber" = balak besar tereka bentuk iii) "Engineered wood" = kayu tereka bentuk Sekain, terima kasih. | Cadangan kami: i. engineered timber - kayu balak tereka bentuk ii. engineered wood - kayu tereka bentuk iii. mass timber (mass engineered timber) - kayu besar tereka bentuk | Istilah | 24.01.2019 |
Mohon penjelasan terjemahan bagi istilah "baton". Saya dapati terjemahan Khidmat Tesaurus atas talian DBP bagi istilah tersebut ialah 'baton', sedangkan terjemahan ke bahasa Melayu dalam Kamus atas talian Dr Bhanot's ialah 'cota'. Dalam hal penggunaan bahasa terjemahan, saya lebih cenderung untuk mengurangkan penggunaan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Boleh saya tahu kenapa DBP tidak menggunakan 'cota' sebagai terjemahan untuk istilah 'baton'? Terima kasih. | Baton bermaksud (i) kayu pendek yang diawa dan diserahkan oleh seorang pelari kepada pelari yang lain dalam pertandingan lari berganti-ganti; (ii) tongkat kecil yang digunakan oleh pemimpin orkestra untuk memberi arahan kepada pemuzik. manakala cota ialah kayu pendek dan berat yang digunakan sebagai senjata, belantan dan martil. | Makna | 19.07.2009 |
Salam sejahtera, saya kadang-kadang mempunyai masalah membezakan penggunaan ke, pada, kepada, dari dan daripada. Diharap saya boleh mendapatkan penerangan berkenaan perkara ini. Sekian, terima kasih | Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contoh: i. Angin bertiup kencang dari arah selatan ii. Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi iii.Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi. Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh ayat: Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat ini, peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan, keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama "ke" pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan tempat, arah atau masa dan ditulis terpisah contoh ke dalam sungai, ke tepi. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: 1. Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi. 2. Wang itu ada pada ibu. | Tatabahasa | 20.01.2013 |
Ayat yang betul ialah Puan Lee pandai menganyam tikar daripada buluh. bolehkah terangkan penggunaan daripada..... kalau ayat "tikar diperbuat daripada buluh" memang betul, kenapa kita tidak boleh gunakan " Puan Lee pandai menganyam tikar dengan buluh". boleh terangkan penggunaan dengan dan daripada. sekian terima kasih. | Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.) ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.) iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.) | Tatabahasa | 04.09.2013 |
1. Mohon penjelasan tentang perbezaan penggunaan 'ke' dan 'kepada'. 2. Juga tentang perbezaan penggunaan 'dari' dan 'daripada'. 3. Betulkan penggunaan perkataan 'mengenai' hanya boleh digunakan untuk ayat yang membawa maksud kena dan tidak lagi boleh digunakan untuk membawa maksud tentang? Contoh: Tembakan penjenayah itu mengenai dada pengawal keselamatan. 4. Singkatan perkataan selalunya ditulis dengan titik, contoh salinan kepada ditulis s.k. Mengapakah perkataan yang berbahagia dato di tulis YBhg Dato' (tanpa titik)? | 1. Kata sendi nama "ke" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan waktu atau masa. Contoh: i. Mereka akan ke Kuantan esok ii. Mereka mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: i. Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat itu ii. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan iii. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. 2. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contoh: i. Angin bertiup kencang dari arah selatan ii. Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi iii.Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi. Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. 3. Perkataan "mengenai" boleh bersilih ganti penggunaannya dengan kata sendi nama "tentang" walaupun sebenarnya perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu melihat konteks ayat. Contoh ayat yang saudara kemukakan itu, perkataan yang betul dan tepat ialah mengenai, bukan kata sendi nama tentang kerana jika ditukar perkataan mengenai kepada tentang, ayat itu tidak mempunyai makna. Untuk keterangan lanjut tentang kata sendi nama ke, kepada, dari, daripada, dan tentang, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. 4. Ejaan yang betul untuk kependekan Yang Berbahagia ditulis sebagai YBhg. (ada tanda titik) bukan YBhg | Tatabahasa | 18.02.2010 |
Salam sejahtera. Mohon kepastian penggunaan yang betul bagi perkataan dari/daripada dalam ayat-ayat ini; Hasil dari persetujuan-persetujuan tersebut atau hasil daripada persetujuan-persetujuan tersebut | Saudara, Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata atau frasa nama untuk menunjukkan tempat, jarak dan masa atau tempoh. Kata sendi nama daripada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan sumber, perbandingan, asal kejadian dan manusia. Contoh penggunaan adalah seperti yang berikut: i. Saya datang dari Ipoh. ii. Dari masa ke masa mereka menerima maklumat tentang perkara tersebut. iii. Adik mendapat hadiah daripada ibu. iv. Jabatan mendapat bantuan kewangan daripada kementerian. v. Ali lebih tinggi daripad Ahmad. vi. Meja dibuat daripada kayu. Ayat yang betul ialah : Hasil daripada persetujuan tersebut. | Tatabahasa | 13.10.2010 |
Boleh saya tahu adakah DBP ada buku atau buku istilah tentang "bunyi" sesuatu perkara dalam bentuk perkataan? Contohnya bunyi binatang, atau "pong" merujuk kepada "bunyi barang dll yg jatuh di air." Terima kasih | Setakat ini DBP tidak ada menerbitkan buku berkaitan bunyi. Yang ada segelintir jenis bunyi dalam kamus.Contoh: siut I 1. bunyi spt bunyi wisel yg nyaring; 2. bunyi spt bunyi orang menyiuk (kerana kepedasan dll); 3. bunyi spt bunyi rotan dll disebatkan di udara; 4. bunyi spt bunyi api disiram dgn air; bersiut berbunyi siut, berbunyi spt orang menyiuk (kerana kepedasan dll); siutan bunyi siut yg berkali-kali. Kamus Dewan Edisi Keempat lentung Ibunyi spt bunyi kelentung (loceng dll); ~-lentang = lentang-~ bunyi spt bunyi orang bertukang dll, bunyi berdentang; melentung berbunyi spt bunyi kelentung; lentungan bunyi melentung: di bawah keriang-keriut dan ~ roda pedati. Kamus Dewan Edisi Keempat mad Ar pemanjangan bunyi, bunyi pendek dijadikan bunyi panjang; maddah. Kamus Dewan Edisi Keempat lepuk bunyi spt bunyi orang bertepuk tangan, bunyi yg lebih besar drpd bunyi lepak; ~-lepak bunyi lepuk yg berulang-ulang: kemudian aku dengar juga ~-lepak bunyi lembu kena pukul; melepuk memukul, menampar; ®lapuk II. Kamus Dewan Edisi Keempat gedebuk bunyi spt bunyi benda berat jatuh; bunyi spt bunyi pukulan pd belakang seseorang dll. Kamus Pelajar Edisi Kedua lentang bunyi spt bunyi tin dipukul; ~-lentung bunyi kuat spt bunyi tin dipukul berulangulang, bunyi berdentang-dentang. Kamus Dewan Edisi Keempat uak II bunyi spt bunyi kerbau (katak dll); menguak mengeluarkan bunyi spt bunyi kerbau (katak dll): kambing mengembek, kerbau ~; uakan bunyi uak: seekor kuda meringkik diiringi ~ beberapa ekor lembu. Kamus Dewan Edisi Keempat rak I 1. bunyi spt bunyi pena yg digoreskan; 2. bunyi spt bunyi kayu patah dll; ~-rok bunyi pokok yg patah; ® derak. Kamus Dewan Edisi Keempat siul = siulan 1 bunyi spt bunyi suling yg dibuat dgn mulut. 2 bunyi burung. bersiul 1 membuat bunyi spt bunyi suling dgn mulut. 2 berbunyi (bkn burung). Kamus Pelajar Edisi Kedua lengking bunyi spt bunyi besi dipukul, bunyi yg kuat: sebanyak desus dan ~ kereta api sebanyak itu pula debar jantung Poniem; melengking berbunyi dgn kuat (bunyi besi dipukul, orang menjerit, dll): sebentar kemudian terdengar benda jatuh dan berikutannya ~ pula suara jeritan seorang perempuan; lengkingan suara atau bunyi melengking (jeritan dll): bunyi ~ kapak sayup-sayup terdengar dr pondokku; tiada kedengaran ~ anak-anak muda yg bergumal. Kamus Dewan Edisi Keempat | Lain-lain | 09.05.2014 |