A)Ali dan keluarga bercuti di Sarawak. B)Ali dan keluarga bercuti ke Sarawak. Mana mana ayat boleh diterima kalau guna "di"dan"ke"ATAU semuanya boleh diterima. A)Ali meletakkan pensel di dalam bekas pensel. B)Ali meletakkan pensel ke dalam bekas pensel. Mana mana ayat boleh diterima kalau guna "di"dan"ke"ATAU semuanya boleh diterima. | Semua ayat yang berikut A) Ali dan keluarga bercuti ke Sarawak. B)Ali dan keluarga bercuti di Sarawak. C)Ali meletakkan pensel di dalam bekas pensel. D)Ali meletakkan pensel ke dalam bekas pensel betul kerana kedua-dua kata sendi nama "di" dan "ke" dalam ayat ini di hadapan kata nama/ frasa nama yang menunjukkan tempat. | Tatabahasa | 29.09.2018 |
Salam tuan,adakah penggunaan -nya di bawah ialah ayat yang gramatis? 1. Semuanya …… ringgit. Ayat tersebut biasa saya dengar apabila beli sesuatu. Saya telah semak Tatabahasa Dewan -nya ialah kata pembenda ataupun kata penekan. Saya rasa “semuanya” di sini memberikan penekanan kepada harga sahaja,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? 2. Suaminya di mana? Ayat tersebut telah saya dengar semasa tonton video. Seorang wanita berkata sedemikian dengan marah apabila ditanya ada suami ke tidak. Dia seorang yang belum ada jodoh. Saya rasa “suaminya” di sini,cuma memberikan penekanan kepada realiti bahawa dia tidak ada suami,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? | 1 “Semuanya … ringgit.” Kata ganti nama orang ketiga –nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. Dalam ayat di atas, kata ganti nama –nya berfungsi sebagai penekan. 2. 2. “Suaminya di mana?” Dalam ayat di atas, -nya berfungsi sebagai kata ganti nama orang ketiga. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 103 dan 296. | Tatabahasa | 23.04.2024 |
Apakah padanan yang sesuai untuk perkataan bahasa Inggeris "torrent", "seeder", "leecher" (semuanya kata nama) dalam bidang teknologi maklumat? Saya masukkan maklumat lanjut ke dalam fail "torrent.rtf" di bahagian "Lampiran fail" dan berharap fail tersebut dibaca sebelum soalan ini dijawab. Saya terpaksa masukkan ke dalam fail kerana keseluruhan soalan beserta penerangan tersebut telah melebihi 1500 perkataan. | Belum ada padanan bagi kata torrent, seeder dan leecher dalam pangkalan data kami. Berdasarkan konsep kata nama tersebut, seeder ialah pemuat naik bahan, leecher ialah orang yang berkongsi maklumat dalam perisian torrent. Dalam penulisan, ketiga-tiga tersebut perlu diitalikkan ejaannya. | Istilah | 03.05.2015 |
1. Apakah kesalahan dalam ayat berikut, mengapa? -Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. 2. Tolong pilih ayat yang betul daripada tujuh ayat di bawah dan terangkan kesalahan berkenaan. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. 3. Manakah frasa yang betul? Kesalahan penagihan dadah, atau kesalahan menagih dadah? Projek menceriakan sekolah, atau projek penceriaan sekolah? Projek melebarkan jalan raya, atau projek pelebaran jalan raya? TERIMA KASIH BANYAK BANYAK | 1. Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. Ayat ini salah, kerana ikan-ikan telah menunjukkan jamak oleh itu, tidak perlu lagi diulang pernyataan jamak dengan perkataan semua. Ayat yan betul, "Ikan-ikan laga peliharaannya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi". 2. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. - salah, kata pemeri "adalah" tidak diletakkan di pangkal ayat. b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. - betul. c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. salah, di gerainya (kata sendi di + tempat) d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. - tidak gramatis, ganti nama dia kali kedua tidak perlu lagi. e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. - tidak gramatis, kata adjektif cantik perlu digandakan. f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. - betul g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. - betul. 3. Kesalahan menagih dadah, Projek menceriakan sekolah, Projek melebarkan jalan raya. | Tatabahasa | 23.07.2009 |
Nur Shafadila Gulam DBP buat lawak lak ke?? Martabatkan bahasa melayu?? Di peringkat pentadbiran?? Aiyoo.. Mari tengok.. KKM dah jd MOH.. KPM dah jd MOE.. Tak yah pegi jauh ler, tengok sekeliling dh tau.. Martabat ke tidak bahasa melayu kita.. Lg satu, klo sy tengok penggunaan bahasa melayu yg ditaip utk buat laporan polis, lg berkecai.. Dbp patut dh lama sedar.. Lurrun Aidan UTC, RTC, MOF, MOA, MAGIC, MITI, MATRADE Info-tainment (binatang apa ni? Halal ke?) dan lain lain lain lain lagi..semuanya guna perkataan bahasa inggeris.. Encik KAi ... MinDef | Terima kasih atas keprihatinan puan. | Lain-lain | 22.06.2015 |
Boleh saya tahu penggunaan tanda petik (''....") yang betul untuk ayat dua perenggan? Contoh ayat seperti di bawah: "Dah bermacam ikhtiar saya lakukan, jumpa bomoh, sembahyang hajat, jumpa kaunselor... tapi semuanya tidak berhasil. Pada hal anak saya ini dulu sekolah agama dah..." "Tolonglah encik selesaikan masalah anak saya ni. Kalau boleh saya mahu masukkan dia ke Raudhatus Sakinah." | Penggunaan tanda elipsis dalam ayat betul. | Tatabahasa | 29.06.2013 |
Apakah rasional disebalik ejaan redha yg dimodenkan menjadi reda? Adakah terdapat sebarang peraturan tatabahasa yang menyebabkan ianya lebih baik dieja sebagai reda berbanding redha? | Sebarang ejaan bagi kata serapan daripada bahasa asing ke dalam bahasa Melayu telah dibincangkan dan diputuskan mengikut Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu sempena ulang tahun ke-20 MABBIM. Ejaan Rumi baharu yang huruf lamanya terkandung "dh" menjadi "d" juga dinyatakan dalam Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia (1975, 1987), Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia (1975, 1991) dan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981, 1988). Ejaan bagi kata "reda" juga terkandung dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi - Sebutan - Jawi (2001, 2008) terbitan DBP. Semuanya bertujuan keselarasan ejaan bahasa Melayu, khususnya bagi kata serapan daripada bahasa Arab seperti dharab menjadi darab, kadhi menjadi kadi dan mudharat menjadi mudarat. Dengan peningkatan penguasaan ilmu, masyarakat telah dapat membezakan antara ejaan Rumi dengan ejaan Jawi serta sebutan dalam bahasa Arab dengan sebutan dalam bahasa Melayu bagi kata-kata tersebut. | Makna | 12.03.2024 |
Salam 1Malaysia Saya ingin bertanya apakah perbezaan pengunaan dengan dan bersama? Saya keliru dengan penggunaan perkataan ini. | Bersama boleh membawa maksud bersa-sama atau berserta dan juga semuanya sekali. Manakala dengan ialah kata sendi nama yang membawa maksud bersama-sama atau berserta; cara sesuatu itu dilakukan; memakai atau menggunakan (sebagai alat) dan menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama. Oleh itu, penggunaannya dalam ayat hendaklah sesuai dengan konteks ayat tersebut dan adakalanya perkataan bersama dan dengan boleh bertukar ganti kerana terdapat persamaan makna antara kedua-dua kata tersebut. Contohnya Ayah pergi ke pecan bersama ibu atau ayah pergi ke pecan dengan ibu. | Tatabahasa | 19.04.2013 |
Beza antara perkataan 'melihat' dan 'memandang'. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, melihat bermaksud 1. nampak apabila memandang, tidak buta, celik: ia tidak dapat ~ lagi kerana matanya sudah kabur; 2. memandang (menengok, menonton, dll) dgn menggunakan mata: mereka pergi ke tepi pantai ~ kapal yg terdampar itu; 3. menilik, meramal (nasib dll): ~ nasib; 4. membuat kesimpulan dgn menggunakan pancaindera, memaklumi (mengetahui dsb) dgn atau setelah melihat (mendengar dsb), meninjau: setelah ~ raja murka itu segalanya orang besar-besar semuanya takut gementar tulangnya; dlm hal ini kita cuba ~ beberapa sebab tersebut; dilihat dr sudut bahasa, beliau tidak menyambung pencapaian bahasa dlm cerpen-cerpen Keris Mas; 5. melawat (orang sakit dll), menziarahi: ~ orang sakit; ~ bulan datang haid. Memandang pula ditakrifkan sebagai 1. menggunakan mata utk mengetahui, melihat seraya mengendahkan, memperhatikan, mengamati: dipandangnya bangunan yg tiga tingkat itu; segala perempuan yg ~ itu semuanya tertawa gelak-gelak; 2. menganggap: Wan Derus dipandang sbg seorang ketua; 3. memikirkan, mempedulikan, memerhatikan: keadilan tidak ~ pangkat atau harta; 4. menghormati, menghargai: ia dipandang orang di kampung itu; ~ berat menganggap sesuatu bukan sbg perkara kecil atau tidak penting, memberikan perhatian dgn penuh kesungguhan; ~ enteng (gampang, mudah, ringan, sepi) menganggap enteng (gampang dll), menganggap tidak penting; ~ hina (rendah) a) menganggap hina (rendah); b) menghinakan (merendahkan); ~ jauh (ke hadapan) memberikan perhatian kpd atau memperhitungkan perkembangan (kepentingan dsb) jangka panjang; ~ kpd mengambil kira akan, memperhitungkan, memikirkan; ~ serong menganggap tidak jujur, tidak mempercayai. | Istilah | 03.12.2009 |
Tuan apakah cara mendapat perkataan yang baharu seperti cara yang digunakan oleh para sasterawan untuk menemukan perkataan baharu..saya dah lihat beberapa karya sasterawan semuanya ada kosa kata serta diksi yang tepat.adakah mereka merujuk kamus? Soalan yang kedua..... saya mahu bertanya kosa kata ilmu yang tidak terdapat di mana-mana karya sasterawan. Soalan yang ketiga Adakah penggunaan ayat ini gramatis. 1.Golongan belia pada abad ke-21 ini,patut seimbang bukan sahaja dalam pendidikan malah dalam semua kegiatan yang menjadikan mereka berharga.Rancangan ini pasti dilakukan oleh mereka sebelum mereka melepaskan usia muda. 2.Amalan membaca membawa seribu satu kepentingan.Antaranya,mencanai pelajar berupaya menulis esei yang gramatis.Melalui amalan ini,mereka mendapat pendapat yang logik,tepat dan sesuai.Agar mereka kurang membuat kesalahan bahasa dari segi tatabahasa,ayat,imbuhan,peribahasa,ejaan dan istilah.Contohnya,buku-buku yang berbentuk fiksyen,novel dan contoh karya satirawan dapat membantu menambah kosa kata.Hasilnya.pelajar dapat memperkaya bahasa.Pada masa yang sama,pelajar yang kaya dengan kosa kata mengaplikasikan kosa kata tersebut pada permulaan ayatnya jikalau pemeriksa kertas dapat menyemai perasaan ghairah dan juga pelajar tersebut menghasilkan 'first impression'pada muka pemeriksa tentu mereka memperoleh markah yang terbaik. | Tuan/puan dinasihati membuat penyelidikan tentang perkara melalui pembacaan atau rujukan dalam makalah yang diterbitkan dalam akhbar atau majalah tempatan, atau kertas-kertas kerja atau penulisan ilmiah di perpustakaan ipta/s atau Pusat Dokumentasi Bahasa Melayu, DBP. Penggunaan ayat yang gramatis. 1. Gaya hidup golongan belia pada abad ke-21 ini haruslah seimbang, bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah dalam semua bidang yang menjadikan mereka lebih bernilai. Perkara ini harus dilakukan sebelum melangkau usia muda. 2. Amalan membaca membawa banyak kelebihan. Antaranya termasuklah pelajar berupaya menulis esei dengan gramatis. Melalui amalan ini, mereka akan mempunyai idea yang logik, tepat dan sesuai dan dapat mengurangkan kesalahan bahasa dari segi tatabahasa, ayat, imbuhan, peribahasa, ejaan dan istilah. Contohnya, buku-buku yang berbentuk fiksyen, novel dan contoh karya sasterawan dapat membantu menambah kosa kata. Hasilnya, pelajar dapat memperkaya kosa kata dan meningkatkan penggunaan bahasa yang betul. Pada masa yang sama, pelajar yang kaya dengan kosa kata dapat mengaplikasikan kosa kata tersebut dalam penulisan yang akan memberi kesan kepada pemeriksa kertas dan pelajar tersebut memperoleh markah yang baik. | Lain-lain | 21.06.2018 |