Salam sejahtera, Saya ingin bertanya tentang perkataan "di samping itu" akan dikira sebagai dua perkataan manakala "ke sekolah" akan dikira sebagai satu perkataan kerana penggunaan kata sendi "di" dan "ke" dalam rumusan bahasa Malaysia SPM. Walau bagaimanapun, adakah panduan mengira perkataan ini juga diaplikasikan dalam Karangan bahasa Malaysia? Terima kasih | Perkataan di samping itu dikira sebagai tiga patah perkataan. Ke sekolah dikira sebagai dua patah perkataan. Hal ini kerana setiap perkataan tersebut mempunyai makna. | Istilah | 21.08.2010 |
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat terdapat banyak ungkapan dan ayat contoh “hingga ke”. Antara ungkapan itu ialah “panjangnya hingga ke pinggang” (di bawah masukan blaus, hlm. 195), “dari selatan hingga ke utara” (di bawah masukan daksina, hlm. 305) dan “dari pinggang hingga ke paras lulut” (di bawah masukan samping II, hlm. 1382). Antara ayat contoh yang mengandungi “hingga ke” terdapat pada halaman 617 (di bawah masukan jejak, menjejaki), 1418 (di bawah masukan selak, menyelak) dan 1392 (di bawah masukan sara, menyara). Susunan berturutan “hingga ke” dalam ungkapan dan ayat contoh itu gramatis atau tidak? | Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa. Contoh: Pegawai itu berjaga hingga pagi. Anaknya belajar hingga peringkat universiti. Berdasarkan contoh tersebut, kata sendi nama tidak berdampingan dengan kata sendi nama (ke) yang lain. Oleh itu, penggunaan hingga ke berdampingan dalam satu ayat dianggap tidak gramatis. | Tatabahasa | 06.12.2009 |
apakah maksud mahupun? kd edisi4 mengatakan mahupun maksud dia walaupun? Persoalan ialah perkara sampingan di samping tema sama ada tersurat mahupun yang tersirat. penggunaan 'mahupun' dlm ayat di atas betul ke? | Mahupun bermaksud meskipun, walaupun, ataupun. Oleh itu, penggunaan mahupun dalam ayat tersebut betul. | Lain-lain | 31.05.2010 |
minta terjemah ayat "quit smoking centre" dalam bahasa malaysia, bolehkah mengguna "pusat berhenti merokok"? sila maklumbalas ke emel xenexmail@gmail.com, terima kasih | Jika diterjemahkan secara langsung 'Quit smoking centre' dalam bahasa Melayu ialah 'Pusat Berhenti Merokok'. Walau bagaimanpun terjemahan ini terlalu umum dan kami mencadangkan diberi nama lain yang lebih indah di samping tidak mengaitkan pusat 'pemulihan' tersebut dengan kegiatan merokok. | Istilah | 02.04.2011 |
Saya rasa istilah bahasa Melayu telah ditukar semula menjadi bahasa Malaysia selepas sambutan kemerdekaan ke-50 tahun lepas. Tetapi Pelita Bahasa Februari 2008 masih menggunakan istilah bahasa Melayu. Adakah masih kekal sebagai bahasa Melayu? Huruf 'B' pada perkataan bahasa dalam huruf kecil atau besar? Terima kasih. | Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia boleh digunakan di samping istilah bahasa Melayu. Ejaan bahasa Melayu yang menggunakan 'B' digunakan untuk mengeja nama mata Pelajaran : Bahasa Melayu. | Lain-lain | 26.02.2008 |
Saya ingin bertanya, apakah kepentingan penguasaan bahasa asing untuk kemajuan negara? Bagaimanakah cara untuk mengekal dan mendaulatkan bahasa Malaysia di samping menguasai bahasa asing sperti bahasa Jepun, Rusia dan Inggeris? | Bahasa asing perlu juga dikuasai untuk menambahkan pengetahuan dan ilmu dalam pelbagai bidang. masih terdapat banyak buku rujukan dalam bahasa asing yang belum lagi diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Cara yang terbaik untuk mengekalkan dan mendaulatkan bahasa Melayu adalah dengan mengamalkannya dalam urusan harian kita dan juga di peringkat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berasa bangga dengan bahasa kebangsaan kita dan mengamalkannya seharian hingga ke peringkat antarabangsa. | Lain-lain | 27.04.2008 |
Tuan,bolehkah penanda wacana hadir di permulaan ayat di karangan? | Penanda wacana boleh hadir pada permulaan ayat seperti namun, tambahan pula, di samping itu. Contoh ayat: Ali dan keluarganya berpindah ke bandar pada akhir tahun lalu. Namun hatinya masih teringat akan kampung halamannya. Untuk lebih menguasai aspek penanda wacana, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 524. | Tatabahasa | 30.01.2011 |
Jika ingin berkhidmat dengan DBP, di manakah biasanya iklan jawatan kosong diiklankan? Bagaimana untuk memohon sebarang jawatan jika ingin berkhidmat dengan DBP? Terima kasih. | Sdr Shafarila, Bagi setiap jawatan kosong, kami akan mengiklankannya di dalam akhbar Mingguan Malaysia. Di samping itu, perincian butiran iklan juga akan kami paparkan di dalam laman web kami. Sdr boleh mengemukakan permohonan dengan mengisi borang permohonan yang boleh dimuat turun melalui laman web kami, atau datang sendiri ke pejabat kami di alamat seperti yang berikut: Bahagian Pengurusan Personel, Tingkat 17, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Sdr juga boleh mendapatkan borang permohonan jawatan dengan mengemukakan sampul surat berukuran 38cm x 25cm bersetem RM0.40 dan beralamat sendiri ke alamat seperti yang dinyatakan di atas. Pertimbangan akan dibuat berasaskan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam skim perkhidmatan bagi sesuatu jawatan. | Lain-lain | 24.10.2009 |
bagaimanakah saya boleh memulakan karier sebagai seorang penulis? | Terima kasih atas soalan yang dikemukakan. Antara syarat-syarat penting untuk memulakan karier menjadi seorang penulis yang berjaya ialah: 1. Perlu mempunyai minat yang mendalam dan azam yang kental untuk menjadi seorang penulis. 2. Rajin membaca pelbagai bahan bacaan seperti buku, akhbar dan majalah. Juga membaca karya-karya bermutu (novel, drama, cerpen, puisi, rencana dan esei/kritikan) oleh penulis terkenal dan memenangi pelbagai hadiah/peraduan. 3. Mengikuti bengkel penulisan (novel, drama, cerpen, puisi, rencana, dll) yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. 4. Menjadi anggota persatuan penulis. Melaluinya sdr. boleh mengikuti pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di samping dapat bertukar-tukar idea dan pendapat dengan penulis pelbagai kaum dan peringkat umur. 5. Rajin berkarya/bereksperimen tanpa mengenal putus asa. 6. Menghantar karya ke pelbagai penerbitan untuk tujuan penerbitan di samping menguji kemampuan sebagai seorang penulis. Selamat menjadi seorang penulis dan selamat berjaya! | Lain-lain | 30.12.2008 |
Salam sejahtera; Tuan; Bolehkah Tuan menjelaskan perbezaan antara membatang suku kata dengan sebutan sesuatu perkataan? Guru Bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah sering menimbulkan kekeliruan antar dua perkara ini? Perkataan contoh: 1. cuit 2. piano 3. berada 4. mengandungi 5. memasuki 6. pengunjung 7. berkenalan 8. berasaskan Harap Tuan menjelaskan perkara di atas dengan sepuhnya di samping memberikan petua atau teknik untuk membatang suku kata dan menyebut perkataan. Sekian terima. | Membatang perkataan adalah dengan membatang suku kata. Atau dengan kata yang lebih mudah, untuk mengeja perkataan (membatang perkataan) adalah dengan memenggalkan perkataan mengikut suku kata perkataan berkenaan. Kaedah mengeja sesuatu kata adalah berdasarkan pemenggalan suku kata. Kaedah mengeja kata harus dibezakan dengan kaedah sebutan iaitu berdasarkan pemenggalan suku kata dan pemecahan suku kata. Keterangan lanjut terdapat dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi) DBP, 2004. 1. cuit (cuit) 2. piano (pia.no) 3. berada (be.ra.da) 4. mengandungi (men.ngan.du.ngi) 5. memasuki (me.ma.su.ki) 6. pengunjung (pe.ngun.jung) 7. berkenalan (ber.ke.na.lan) 8. berasaskan (ber.a.sas.kan)/(be.ra.sas.kan) | Tatabahasa | 27.03.2013 |