penggunaaan ke, daripada,kepada, di dalam ayat | Kata sendi nama 'ke' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah. Contoh, Mereka akan ke Kuantan esok. Kata sendi nama 'daripada' hadir di hadapan kata nama atau frasa nama 1. yang menyatakan punca bagi manusia, benda dan unsur mujarad, contoh, Dia menjauhkan diri daripada bahaya dadah; 2. yang merujuk sumber atau kejadian sesuatu benda atau asal kejadian, contoh, Ukiran itu diperbuat daripada logam; 3. yang merujuk perbezaan atau perbandingan, contoh, Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. Kata sendi nama 'kepada' hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan perubahan keadaan. Contoh, Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. | Tatabahasa | 20.04.2007 |
Minta tuan jelaskan 1) penggunaan yang betul bagi kata "adalah" 2) perbezaan di antara "kepada" dan "ke" 3) perbezaan di antara "dari" dan "daripada" | Kata pemeri "adalah" digunakan untuk menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh ayat: Kursus ini adalah untuk memberi penjelasan berkenaan format surat rasmi. 2. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh ayat: Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat ini, peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan, keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama "ke" pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan tempat, arah atau masa dan ditulis terpisah contoh ke dalam sungai, ke tepi. 3. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu atau masa. Contoh ayat: Angin kencang bertiup dari arah selatan, perkara itu telah diketahui dari waktu subuh lagi, anda datang dari mana?. Kata sendi nama "daripada" pula hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang berkaitan punca bagi manusia atau institusi, haiwan, benda dan abstrak; sumber atau asal kejadian sesuatu benda perbandingan; menyatakan sebahagian daripada semu, perbezaan, perubahan atau perbandingan. Contoh ayat: Dia menjauhkan diri daripada bahaya dadah, ukiran itu diperbuat daripada logam, edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 263-274. | Tatabahasa | 06.05.2010 |
Assalamualaikum tuan/puan yang budiman, Mohon pencerahan daripada tuan/puan yang lebih arif, antara berikut, pengunaan kata sendi (pada/kepada) manakah yang betul dalam ayat di bawah. a) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad pada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran. b) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad kepada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran. Pertolongan dan tunjuk ajar daripada pihak tuan/puan didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga tuan/puan mendapat ganjaran pahala daripada yang Maha Esa:) | Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Contohnya: 1. Ali mengirim surat kepada abang. 2. Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. 3. Pastikan anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah. Kata sendi nama kepada boleh juga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk institusi yang ada kaitan dengan manusia. Contoh: Surat itu dihantar kepada Kementerian Kewangan. Kata sendi nama kepada juga digunakan untuk menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya: 1. Peserta bengkel itu dibahagikan kepada dua kumpulan. 2. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: 1. Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi. 2. wang itu ada pada ibu. 3. Pemberitahuan itu ditampal pada papan kenyataan. Oleh itu ayat yang betul ialah: a) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad kepada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran.
| Tatabahasa | 28.02.2012 |
Bagaimana hendak membezakan perkataan berikut: 1. mengait dan menjolok 2. banyak dan ramai 3. setempat dan tempatan | mengait1. memetik (menarik dll) sesuatu dgn kait, mencangkuk, menggancu: ~ buah rambutan; maka datang hulubalang Pahang ~ jong itu; 2. merajut dgn jarum kait: ia terpaksa menyulam dan ~ renda utk nafkah hidupnya; 3. melukai dgn sesuatu yg berkait: duri itu ~ kakinya; 4. ki mengambil keuntungan dll dgn cara tidak halal. jolok; menjolok1. menusuk (merodok) sesuatu dgn galah dll supaya gugur, menusuk ke dlm lubang dll: kalau engkau hendak ~ buah rambutan itu carilah galah yg panjang sedikit; 2. memasukkan jari tangan ke dlm lubang hidung (kerongkong dll); 3. memancing-mancing keterangan dll drpd orang, mengajuk atau menduga (hati orang); ~ alang (orang) yg sangat tinggi; ~ anak menggugurkan kandungan; ~ hati mengajuk hati; ~ mata a) sangat jelas kelihatan, sangat nyata; b) memberi malu, menyakitkan hati; ~ sarang tebuan prb melakukan sesuatu yg mendatangkan bahaya; yg dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas prb keuntungan yg diharap-harapkan tidak didapat, sedangkan modal atau alat utk mendapatnya hilang juga; banyak- 1. bukan sedikit, tidak sedikit: ~ orang yg mempunyai cita-cita tinggi; 2. bilangan, jumlah: berapa ~ wang yg kauterima? 3. sangat, sungguh: ~ lagak; ~ aksi membuat-buat supaya nampak elok; ~ bicara = ~ cakap = ~ mulut suka berleter; ~ cantik sr ungkapan utk menyatakan kemarahan, atau digunakan sbg gurauan dll; ~ lemak a) mempunyai atau diselaputi lemak yg banyak (bkn bahagian tubuh): alat itu digerakkan di bahagian yg ~ lemak selama kira-kira 15 minit; b) ki berkelakuan yg keterlaluan atau terlalu manja sehingga mengakibatkan orang lain meluat (bkn perilaku seseorang): "Sekarang kau dah ~ lemak."; ~ sedikitnya a) jumlahnya, banyaknya; b) barang sedikit;
ramai- 1. riuh-rendah, hiruk-pikuk (bunyi, suara, dll): orang menyabung terlalu ~, bunyi sorak spt akan sampai ke langit; 2. sangat hebat, dahsyat (peperangan, perkelahian, dll): maka berperanglah Temenggung Seri Udana dgn Peringgi terlalulah ~; 3. sangat gembira, sangat meriah, riang gembira: Encik Ramli pun hanya ~ dlm hati sendiri; 4. aktif, giat, sibuk: sesudah meleset beberapa lama, pasaran getah ~ kembali; Singapura ialah bandar perniagaan yg ~; 5. banyak penghuninya (penduduknya): pd zaman itu negeri Siak ~; 6. banyak (orang), orang banyak, umum: ~ orang berkumpul; perkara Dang Kenanga janganlah dijadikan soal ~; di muka ~ di depan orang banyak (umum); kemahuan ~ kemahuan umum; khalayak ~ orang banyak, umum; kegemaran ~ kesukaan umum; orang ~ a) orang biasa (kebanyakan); b) orang yg banyak (umum); suara (pendapat) ~ suara atau pendapat umum; ~ beragam, rimbun menyelara prb kesukaan (kemahuan) tiap-tiap seorang tidak sama;
setempat1. satu tempat sahaja; 2. = setempat-setempat hanya mengenai sesuatu tempat sahaja, tidak menyeluruh; 3. di tempat itu sendiri: hikayat ini tersiar di daerah yg sangat luas biarpun dlm bentuk yg berlainan dan disesuaikan dgn keadaan ~; tempatanyg berkaitan dgn tempat tertentu, di tempat itu sendiri: kasut hitam, buatan ~ yg dipakainya itu berkilat; buah-buahan ~ buah-buahan dr negera sendiri (bukan buah-buahan yg diimport); ~ hati ki buah hati, kekasih; | Makna | 04.08.2009 |