Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ke.bun] | کبون

Definisi : tanah yg tidak berapa luas dan ditanami pokok buah-buahan atau sayur-sayuran dll, ladang kecil: ~ sayur; ~ buah-buahan; tuan ~ Id pengurus (pengusaha) ladang; tukang ~ orang yg mengerjakan (membersihkan) pekarangan rumah dan menjaga pokok-pokok yg ditanam; ~ binatang taman haiwan, zoo; ~ bunga taman bunga; ~ percubaan kebun tempat menguji berbagai-bagai tanaman; ~ raya Id kebun tempat ditanam berbagai-bagai tumbuhan (di Bogor); berkebun bercucuk tanam di kebun, bekerja mengurus kebun; memperkebuni mengusahakan tanah supaya menjadi kebun, mengerjakan tanah sbg kebun; perkebunan 1. perihal tanam-menanam di kebun; 2. perusahaan atau urusan kebun; 3. tanah-tanah kebun; 4. Id ladang (besar): Gampo menceritakan ia sekarang bekerja sbg pengarah ~ kina; pekebun orang yg memiliki atau yg mengu­rus kebun; ~ kecil pengusaha kebun yg tidak luas, pengusaha ladang kecil (getah, kelapa sawit, dll); pengebun orang yg kerjayanya membuat kebun atau bekerja di kebun. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ke.bun] | کبون

Definisi : tanah yg ditanami sesuatu (spt pokok buah-buahan, sayur-sayuran): ~ sayur; ~ kelapa; tukang ~ orang yg menjaga kebersihan kawasan rumah (sekolah dll). ~ binatang taman haiwan; zoo. ~ bunga kebun yg ditanami pelbagai bunga; taman bunga. ~ kecil kebun yg luas kawasannya kurang drpd 40.5 hektar (100 ekar), kebanyakannya lebih kurang 2 hektar (5 ekar). berkebun bercucuk tanam di kebun: Di samping bersawah, mereka ~ sayur. memperkebuni mengusahakan tanah dgn berkebun. perkebunan 1 hal-hal mengenai kebun (perusahaan atau pengurusannya). 2 tanah tempat berkebun. pekebun orang yg berkebun atau yg mengusahakan kebun: ~ kecil orang yg berkebun atau yg mengusahakan kebun secara kecil-kecilan; pengusaha kebun kecil. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kebun (kata nama)
Bersinonim dengan ladang, dusun, taman, huma, tegal, sawah, bendang, estet;,
Kata Terbitan : berkebun, memperkebuni, perkebunan, pekebun, pengebun,

Puisi
 

Kebun kecil pokok berjenis,
     Pagar dengan buluh berdaun;
Kecil-kecil kayu tempinis,
     Terasnya tahan berpuluh tahun.


Lihat selanjutnya...(33)
Peribahasa

Bagai kambing lepas ke parak.

Bermaksud :

Memilih makanan dengan sesuka hati. parak = ladang, kebun.

 

Lihat selanjutnya...(3)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Bolehkah saya terjemahkan ayat "grow a vegetable garden" kepada "menanam kebun sayur" . Ayat asal menceritakan yang dia akan mula menanam untuk membuat kebun sayur baru di rumahnyaTerjemahan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "grow a vegetable garden" ialah mengusahakan kebun sayur.Penyemakan dan penterjemahan01.03.2017
Pak Hasan berkebun sayur-sayuran di kebun sayur. Adakah ayat ini tepat?Ayat yang tepat dan gramatis ialah Pak Hasan berkebun di kebun sayur-sayuran.
Frasa keterangan di kebun sayur-sayuran sudah cukup untuk melengkapi frasa kerja berkebun.
Tatabahasa22.03.2018
penggunaan kata nama 'petani' 1) petani menanam sayur di kebun atau 2) pekebun menanam sayur di kebun kalau dua-dua pun boleh terima, jadi bagaimana nak bezakan dua jenis pekerjaan ini?Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "petani" bermaksud orang yang pekerjaannya bercucuk tanam (mengusahakan tanah), manakala "pekebun" pula ialah orang yang memiliki atau yang mengurus kebun.Istilah18.05.2015
Encik Rashid telah membeli .................... hektar kebun getah di Johor. a. seluruh b. separuh c. setengah d. sebahagian minta penjelasan jawapan..saya agak keliru..Encik Rashid telah membeli setengah hektar kebun getah di Johor. Walaupun separuh boleh membawa maksud setengah, lazimnya perkataan yang digunakan ialah setengah hektar. Seluruh hektar tidak digunakan kerana lazimnya dinyatakan dalam jumlah yang sebenar seperti dua hektar.Tatabahasa15.05.2015
Ayat: 1. Pengetua berhajat untuk mencari tukang kebun baharu yang lebih rajin. Tuan, adakah dalam ayat (1) di atas, perkataan "untuk" berfungsi sebagai kata hubung keterangan tujuan? Adakah perkataan "untuk" menerangkan tujuan "berhajat" dalam ayat di atas? Jadi, tujuan "berhajat" dalam ayat di atas ialah "untuk mencari tukang kebun baharu yang lebih rajin"? Betulkah pandangan saya? Atau perkataan "untuk" berfungsi sebagai kata sendi nama dalam ayat di atas?Untuk ayat: Pengetua berhajat untuk mencari tukang kebun baharu yang lebih rajin, fungsi "untuk" ialah sebagai kata hubung antara dua kata kerja, iaitu berhajat dengan mencari.  Betul pendapat puan, iaitu "untuk" itu juga menerangkan tujuan berhajat dalam ayat tersebut.Tatabahasa13.12.2014
1)Lina menanam( sawi / sayur sawi) di kebun. 2)Datuk mencangkul tanah (menggunakan cangkul).Adakah ayat ini betul? 3)Nenek memetik kacang panjang( yang masak).Adakah ayat ini betul?

Selamat petang:
1. Lina menanam sayur sawi di kebun.
2. Datuk mencangkul tanah.
3. Nenek memetik kacang panjang.

Sekian, terima kasih.

Tatabahasa19.10.2016
Salam sejahtera! Manakah jawapan yang paling tepat bagi soalan di bawah? ___________ gajah liar telah memusnahkan kebun tebu di kampung. A) segerombolan B) sekawan merujuk kepada JU BM, jawapannya segerombolan. sekian, terima kasih.Jawapan yang betul ialah sekawan. (Sekawan gajah liar telah memusnahkan kebun tebu di kampung.)Tatabahasa14.08.2012
Pertanyaan 1 1) Pokok bunga itu _____________ oleh tukang kebun itu supaya kemas. a) ditebang b) dicantas c) ditetak d) dipangkas Pertanyaan: adakah soalan di atas mempunyai lebih daripada satu jawapan berdasarkan kepada konteks soalan? mohon pencerahan. Isikan tempat kosong dalam petikan dengan perkataan sesuai. "Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa sayang __________ negara. Kita juga mesti mempertahankan keamanan dan kedaulatan Malaysia supaya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang." Pertanyaan: adakah sendi nama "kepada" jawapan yg betul dan adakah "terhadap" mempunyai makna yang sama dalam konteks ini. Bolehkah kedua-dua jawapan (kepada/terhadap) diterima?1) Pokok bunga itu dicantas/dipangkas oleh tukang kebun itu supaya kemas. Cantas dan pangkas bermaksud dipotong hujungnya supaya cantik.

2) "Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa sayang akan negara. Kita juga mesti mempertahankan keamanan dan kedaulatan Malaysia supaya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang." Pernyataan bersifat emotif dan didahului oleh kata adjektif, lazimnya menggunakan kata sendi nama akan. Walau bagaimanapun, boleh juga menggunakan kata sendi nama kepada atau terhadap dalam konteks ayat tersebut.

Tatabahasa18.06.2015
1. Adakah penggunaan perkataan "masak" betul bagi ayat ini : Abang Kamal memetik sayur yang masak di kebun datuk. 2. Bagaimanakah hendak membezakan penggunaan perkataan 'masak' dan 'matang'? 3. Adakah penggunaan perkataan 'masak' dan 'matang' hanya dalam benda-benda tertentu ? Contohnya masak hanya digunakan dalam buah-buahan, fikiran dll. Terima kasih.Selamat pagi;

1. Penggunaan perkataan masak boleh digunakan bagi ayat: Abang Kamal memetik sayur yang masak di kebun datuk.
2. Soalan 2 dan 3:  Penggunaan perkataan 'masak' dan 'matang boleh digunakan mengikut konteks penggunaan. Sila rujuk kamus DBP.

Sekian, terima kasih.
Tatabahasa21.09.2016
Adakah lagu "Pak Mamat Ada Kebun" termasuk dalam kategori 'Public Domain? Siapa pemilik asal lirik lagu tersebut.Salam sejahtera, Untuk makluman tuan, DBP bukan pemilik hak cipta lirik lagu berkenaan dan DBP tidak mempunyai maklumat tentang pemilik hak cipta lirik lagu tersebut. Sekian, terima kasih.Lain-lain19.06.2020
123

Kembali ke atas