kELESTARIAN INOVASI - Produk (inovasi) yang dihasilkan mampu memberi impak secara berterusan. Perkataan impak berterusan boleh tidak membawa maksud sesuai untuk kelestarian yang digunakan. | Untuk makluman, kelestarian bermaksud keadaan (hutan, persekitaran, dan lain-lain) yang tidak berubah atau yang terpelihara seperti asal, keaslian. Contoh: Kelestarian hutan kita mesti diutamakan. Ini bermakna, frasa impak berterusan tidak sesuai jika digunakan bagi merujuk kepada perkataan kelestarian. | Makna | 28.02.2017 |
Aslmkum, tajuk tesis KELESTARIAN PENGKARYAAN PELUKIS- PELUKIS ABSTRAK MELAYU MALAYSIA MELALUI ESTETIK TIMUR persoalannya....adakah sesuai penggunaan perkataan kelestarian dlm konteks tersebut. | Untuk makluman tuan, "KELESTARIAN" biasanya digunakan untuk penulisan yang merujuk pada alam sekitar. Kami mencadangkan perkataan tersebut ditukar kepada perkataan yang lebih sesuai, contohnya "KEWIBAWAAN KARYA PELUKIS-PELUKIS ABSTRAK MELAYU MALAYSIA MELALUI ESTETIK TIMUR". | Lain-lain | 14.03.2022 |
Mohon semak ayat yang mana lebih tepat dan sesuai bagi penggunaan tema berikut: "Kelestarian Komoditi Menjamin Masa Depan" atau "Kelestarian Komoditi Untuk Masa Depan Yang Lebih Terjamin | Untuk makluman saudara lestari bermaksud kekal dan lazimnya digunakan dalam konteks alam sekitar dan perhutanan. Namun begitu penggunaan perkataan lestari boleh diperluaskan kepada bidang yang lain selagi bertepatan dengan maksud "kekal"nya itu. Dalam hal ini kami berpandangan frasa kelestarian komoditi tidak sesuai kerana komoditi sesebuah negara mesti ditingkatkan atau bertambah dari semasa ke semasa dan bukannya dikekalkan. Sila gantikan dengan perkataan lain yang lebih tepat maknanya. Dalam konteks perkataan yang lain tema yang pertama lebih sesuai kerana lebih ringkas dan mudah diingati
| Tatabahasa | 26.02.2013 |
Tuan, Adakah ayat ini betul: "KE ARAH KELESTARIAN YANG TUNTAS". terima kasih | Kelestarian bermaksud keadaan lestari atau seperti sediakala dan tuntas bermaksud menyeluruh dan lengkap. Melihat kepada makna perkataan-perkataan tersebut, frasa yang dibina sukar untuk difahami maknanya oleh masyarakat umum. | Tatabahasa | 09.06.2011 |
Assalamualaikum. Mohon bantuan, adakah penggunaan kata " pelestarian" dan "kelestarian" dlm ayat ini betul atau tidak. Mohon dibetulkan jika ada kesalahan: 1. Visi sekolah : " Warga SKPG2 mengamalkan budaya pelestarian alam sekitar" 2. Misi sekolah : " Warga SKPG2 menunjukkan kelestarian terhadap alam sekitar melalui amalan pengurusan, aktiviti kurikulum, aktiviti kokurikulum dan program penghijauan. Terima kasih atas bantuan tuan. | 1. Pelestarian bermaksud perbuatan atau hal memelihara sesuatu supaya kekal seperti sediakala, penggunaan pelestarian dalam ayat contih yang diberikan betul. 2. Kelestarian bermaksud keadaan (hutan, persekitaran, dll) yang tidak berubah atau yang terpelihara seperti asal dan penggunaannya dalam ayat contoh yang kedua tidak tepat dari aspek makna perkataan tersebut dengan konteks ayat. | Tatabahasa | 09.08.2012 |
As-salam, Saya ada satu soalan. Apakah maksud kelestarian? Apakah perkataan yang hampir sama maksudnya bagi mengantikan penggunaan perkataan ini? Sekian, terima kasih. | Kelestarian bermaksud keadaan (hutan, persekitaran, dan lain-lain) yang tidak berubah atau yang terpelihara seperti asal, atau keaslian. | Tatabahasa | 24.02.2012 |
Assalamualaikum, terima kasih didahulukan kerana sudi membaca dan menjawab pertanyaan saya. Saya ingin meminta saranan dan khidmat nasihat mengenai frasa "Pelaksanaan Kelestarian Kewangan". Setahu saya, lestari bermaksud kekal maka agak kurang sesuai digunakan dalam konteks kemajuan atau kecemerlangan atau penjanaan kewangan. Adakah wujud perkataan kebih sesuai untuk digunakan bagi menggantikan perkataan lestari dalam ayat tersebut? Sekian terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, lestari bermaksud dalam keadaan tidak berubah daripada yang asal atau tetap pada tahap yang tertentu. Isunya adakah penggunaan perkataan "kelestarian" dalam konteks Pelaksanaan Kelestarian Kewangan bermaksud sedemikian? Hal kewangan lazimnya dikaitkan dengan pengukuhan atau kemampanan. Pengukuhan bermaksud perihal menjadikan sesuatu itu kukuh/teguh, manakala kemampanan bermaksud (berkenaan ekonomi) mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik dalam jangka masa panjang. | Tatabahasa | 28.12.2023 |
Assalamu'alaikum. Dalam konteks pasaran modal, yang mana satu merupakan terjemahan yang betul untuk "sustainability" - "kemampanan" atau "kelestarian"? Adakah kedua-duanya boleh saling ditukar ganti? Terima kasih. | Mampan bermaksud mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik berkenaan ekonomi, pembangunan dan sebagainya, manakala lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal atau tetap dan sering digunakan untuk merujuk keadaan seperti kelestarian hutan, persekitaran dan lain-lain, iaitu yang tidak berubah atau yang terpelihara seperti asal. Oleh itu, berdasarkan huraian tersebut, penggunaan perkataan "kemampanan" atau "kelestarian" hendaklah mengikut konteks, bidang dan wacana keseluruhan topik yang dibincangkan. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 16.03.2017 |
Assalaamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam ramadhan Tuan/puan Apakah terjemahan yang tepat bagi istilah serta ejaan dalam tulisan jawi berikut: 1. sustainability through diversity / kelestarian melalui kepelbagaian / كلستارين ملالوءي كڤلباڬايان Sekian dan terima kasih. | Cadangan terjemahan teks dalam bahasa Melayu "kelestarian melalui kepelbagaian" bagi perkataan bahasa Inggeris "sustainability through diversity" adalah betul dan ejaan Jawi yang betul ialah "كلستارين ملالوءي کڤلباݢاين". | Makna | 14.04.2022 |
saya ingin menterjemahkan 'food sustainability' ke bahasa melayu. Jadi adakah benar ia diterjemahkan sebagai 'kelestarian makanan'? | Sila berikan konsep istilah tersebut atau contoh ayat untuk kami menentukan sama ada padanan yang dicadangkan bersesuaian atau sebaliknya. | Istilah | 24.07.2016 |