| Apakah makna bagi perkataan kemampanan? | Perkataan "kemampanan" tidak terdapat dalam pangkalan data DBP. Walau bagaimanapun, perkataan tersebut boleh digunakan untuk membawa maksud keadaan atau perihal mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik. | Makna | 19.11.2013 |
| Mohon pihak tuan beri maksud penggunaan istilah kemampanan dan pemampanan dalam ayat berikut: Isu kemampanan bandar akan dibincangkan dalam forum tersebut; dan Isu pemampanan bandar akan dibincangkan dalam forum tersebut. | Rujukan dibuat berdasarkan penggunaan dalam teks berbahasa Melayu melalui carian di Internet. Penggunaan yang banyak ditemukan ialah kemampanan bandar berbanding dengan pemampanan bandar. Namun, penggunaan yang terkini dan lebih banyak digunakan ialah kelestarian bandar. | Tatabahasa | 12.10.2021 |
| Bagi sustainability membawa maksud mampan jadi adakah wujud perkataan kemampanan. Sebab bila sy membuat semakan di carian kata DPBM perkataan kemampanan tidak wujud yang wujud adalah kemapanan. | Padanan bahasa Melayu bagi istilah sustainable ialah mampan, manakala istilah sustainability ialah kemampanan. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam bidang ESG. | Istilah | 08.07.2025 |
| Assalamualaikum dan salam sejahtera, Saya ingin mendapatkan penjelasan berkaitan penggunaan istilah “kemampanan” dan “kelestarian” dalam bahasa Melayu, memandangkan kedua-duanya sering digunakan sebagai terjemahan kepada istilah Inggeris “sustainability”. Penggunaan istilah ini bukan sahaja meluas dalam kalangan agensi kerajaan, malah turut digunakan secara aktif oleh sektor swasta dan industri, termasuk dalam laporan ESG, polisi korporat, serta komunikasi berkaitan pembangunan dan alam sekitar. Namun begitu, masih terdapat kekeliruan tentang perbezaan makna, konteks, dan kesesuaian penggunaan antara kedua-dua istilah ini. Sehubungan itu, mohon pihak DBP dapat: 1. Menjelaskan perbezaan makna antara kemampanan dan kelestarian secara terperinci. 2. Memberikan panduan konteks penggunaan yang tepat, khususnya merangkumi sektor awam dan juga sektor swasta/industri. 3. Menyertakan contoh penggunaan dalam pelbagai konteks seperti dasar kerajaan, laporan ESG korporat, pembangunan mampan, serta pemuliharaan alam sekitar. 4. Mempertimbangkan untuk berkongsi penjelasan ini melalui platform media sosial DBP (contohnya dalam bentuk siri penerangan istilah), bagi membantu meningkatkan kefahaman yang lebih konsisten dalam kalangan masyarakat dan pemain industri. Kerjasama dan penjelasan daripada pihak DBP amat dihargai. Sekian, terima kasih. | Padanan bahasa Melayu bagi istilah sustainability ialah kemampanan. Berdasarkan penelitian dan semakan yang telah dibuat, tiada padanan kelestarian bagi istilah sustainability yang ditemukan dalam data dan sumber rujukan kami. Walau bagaimanapun, istilah sustainable boleh dipadankan dengan "mampan" atau "lestari" bergantung pada konsep dan konteks penggunaannya dalam bidang tertentu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mampan ditakrifkan sebagai mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik dalam jangka masa yang panjang, khususnya yang berkaitan dengan ekonomi, pembangunan dan sebagainya. Sementara itu, lestari ditakrifkan sebagai tidak berubah atau terpelihara seperti keadaan asal, khususnya yang berkaitan dengan hutan, persekitaran dan seumpamanya. Sehubungan dengan itu, istilah mampan sesuai digunakan dalam konteks ekonomi atau pembangunan seperti pengeluaran mampan, sistem mampan, perolehan mampan, perniagaan mampan dan tenaga mampan. Sebaliknya, istilah lestari lebih sesuai digunakan dalam konteks alam sekitar seperti pertanian lestari, persekitaran lestari dan sumber air lestari. | Istilah | 28.04.2026 |
| Secara umumnya, amalan berjimat cermat merupakan wahana utama untuk menjamin kemampanan ekonomi negara serta mengelakkan pembaziran sumber alam dalam kalangan masyarakat. Namun begitu, amalan tersebut semakin terpinggir oleh generasi muda kini lantaran mereka suka mengikuti sikap materialistik. Penggunaan bagi terpinggir adakah sesuai digunakan, ataupun harus ditukarkan kepada kepinggiran ataupun dipinggirkan. Mohon penjelasan yang lebih terperinci. Sekian. | Perkataan “terpinggir” dalam konteks ayat tersebut boleh digunakan. Ayat contoh ini juga boleh ditulis seperti di bawah: Secara umumnya, amalan berjimat cermat merupakan wahana utama untuk menjamin kemampanan ekonomi negara serta mengelakkan pembaziran sumber alam dalam kalangan masyarakat. Namun begitu, amalan tersebut semakin terpinggir dalam kalangan generasi muda kini yang bersikap materialistik. | Tatabahasa | 10.07.2026 |
| Apakah maksud lestari? Apakah maksud mampan? Apakah perbezaan kedua-dua perkataan ini? Adakah wujudnya perkataan kemampanan? | Lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal, tetap; asli atau terpelihara seperti asal. Contohnya, melestarikan hutan; kelestarian keadaan (hutan, persekitaran, dan lain-lain). Pelestarian; perlindungan daripada kemusnahan. Mampan bermaksud mampu mengekalkan atau pencapaian tahap prestasi yang baik (berkenaan ekonomi, pembangunan dan sebagainya). Padanan dalam bahasa Inggeris ialah sustainable. Perkataan mampan menerima imbuhan apitan ke-an membentuk kata kemampanan yang bermaksud perihal mampan. | Makna | 12.05.2020 |
| Assalamu'alaikum. Dalam konteks pasaran modal, yang mana satu merupakan terjemahan yang betul untuk "sustainability" - "kemampanan" atau "kelestarian"? Adakah kedua-duanya boleh saling ditukar ganti? Terima kasih. | Mampan bermaksud mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik berkenaan ekonomi, pembangunan dan sebagainya, manakala lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal atau tetap dan sering digunakan untuk merujuk keadaan seperti kelestarian hutan, persekitaran dan lain-lain, iaitu yang tidak berubah atau yang terpelihara seperti asal. Oleh itu, berdasarkan huraian tersebut, penggunaan perkataan "kemampanan" atau "kelestarian" hendaklah mengikut konteks, bidang dan wacana keseluruhan topik yang dibincangkan. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 16.03.2017 |
| Salam, boleh kah saya menggunakan perkataan "kemampanan" untuk maksud keupayaan untuk mampan? | Boleh. | Istilah | 16.12.2012 |
| Apakah terjemahan yang sesuai untuk Twin Transition? Adalah Peralihan Berkembar atau Transisi Berkembar? Pendekatan Twin Transition merujuk bahawa terdapat peluang besar yang boleh diterokai untuk teknologi dan data bagi memacu matlamat kelestarian atau kemampanan (sustainability). | Cadangan terjemahan bagi perkataan twin transition berdasarkan konsep dan konteks penggunaan yang diberikan ialah “transisi berkembar”. | Penyemakan dan penterjemahan | 02.03.2023 |
| Assalamualaikum, terima kasih didahulukan kerana sudi membaca dan menjawab pertanyaan saya. Saya ingin meminta saranan dan khidmat nasihat mengenai frasa "Pelaksanaan Kelestarian Kewangan". Setahu saya, lestari bermaksud kekal maka agak kurang sesuai digunakan dalam konteks kemajuan atau kecemerlangan atau penjanaan kewangan. Adakah wujud perkataan kebih sesuai untuk digunakan bagi menggantikan perkataan lestari dalam ayat tersebut? Sekian terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, lestari bermaksud dalam keadaan tidak berubah daripada yang asal atau tetap pada tahap yang tertentu. Isunya adakah penggunaan perkataan "kelestarian" dalam konteks Pelaksanaan Kelestarian Kewangan bermaksud sedemikian? Hal kewangan lazimnya dikaitkan dengan pengukuhan atau kemampanan. Pengukuhan bermaksud perihal menjadikan sesuatu itu kukuh/teguh, manakala kemampanan bermaksud (berkenaan ekonomi) mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik dalam jangka masa panjang. | Tatabahasa | 28.12.2023 |