apakah yang dikatakan bahasa serapan nusantara ke dalam bahasa melayu? adakah bahasa nusantara sama dengan bahasa sanskrit? | Bahasa Nusantara merujuk bahasa yang dituturkan di Kepulauan Melayu atau wilayah Nusantara termasuklah keluarga bahasa Melayu-Polinesia, termasuk bahasa Tagalog yang dituturkan secara meluas di Filipina, bahasa Jawa yang dituturkan di Pulau Jawa dan sudah tentunya. Bahasa-bahasa tersebut diambil dan diserap kedalam bahasa Melayu. Bahasa Sanskrit adalah salah satu bahasa Indo-Eropah yang paling tua yang masih dikenal, dan masih menjadi salah satu bahasa rasmi di India.Oleh itu bahasa nusantara dan bahasa sanskrit adalah dua bahasa yang berbeza. | Lain-lain | 23.06.2008 |
Jika kerajaan srivijaya menobatkan bahasa melayu, saya ingin tahu dalam dielek apakah lingua fraca pada abad itu? Kerana kita tahun semua bangsa dan etnik kelompo melayu juga menganggap dielek merekalah yang benar2 linguaa franca pada zaman srivijaya | Bahasa Melayu menjadi lingua franca (bahasa perantaraan) daerah Kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Bahasa ini digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di Kepulauan Melayu dan orang-orang yang mendatang, seperti pedagang dari Eropah dan Asia Barat, dan pengembara dari India dan China. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membuat penelitian dan penyelidikan kerana pertanyaan saudara memerlukan kajian mendalam. Saudara juga boleh mengunjungi mana-mana Perpustakaan Negara atau mana-mana pusat sumber untuk tujuan tersebut. | Lain-lain | 17.06.2009 |
BUKTI YANG MENUNJUKKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA BESAR DUNIA. | Sdr.Mc, jika kita membaca dan melapangkan sedikit masa untuk melihat-lihat buku-buku sejarah tentang kerajaan awal Melaka dan kawasan sekitarnya pasti Sdr. dapat berasa bangga apabila melihat penggunaan bahasa Melayu yang begitu luas digunakan di seluruh kepulauan Melayu. Begitu juga Sdr. akan kagum melihat surat-surat yang dihantar oleh orang Inggeris yang ditulis dalam bahasa Melayu dan menggunakan ejaan jawi. ini adalah sedikit gambaran perasaan yang sangat membanggakan kita. Terima kasih. | Lain-lain | 21.09.2007 |
Bagaimanakah karya-karya kreatif yang berkualiti dalam bahasa melayu mampu memartabatkan bahasa melayu? | Pemartabatan bahasa Melayu melalui karya kreatif telah bermula pada kurun ke-15. Pada masa itu, karya-karya kreatif klasik seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-Raja Pasai dan lain-lain telah mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa persuratan tinggi di Kepulauan Melayu. Dalam konteks masa kini, karya-karya kreatif sastera seperti puisi, cerpen, novel, pantun, seloka, gurindam, dan lain-lain menjadi wahana bagi menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, penghayatan bahasa Melayu melalui karya kreatif ini secara tidak langsung memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya tinggi. | Lain-lain | 06.05.2010 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang penggunaan istilah penyerapan bahasa asing seperti Matematik, Geografi, Psikologi dan sebagainya. Jika kita lihat pengunaan istilah ini sangat meluas dalam bidang pendidikan,sedangkan istilah-istilah seperti yang dinyatakan mempunyai makna yang tersendiri dalam bahasa Melayu seperti Matematik sebagai ilmu hisab, Geografi sebagai ilmu alam dan Psikologi sebagai ilmu jiwa. Persoalannya mengapakah istilah-istilah seperti ilmu hisab ini tidak digunakan dan diketepikan, sebalikknya kita menggunakan istilah serapan bahasa asing seperti matematik sebagai satu perkataan yang digunakan pakai secara meluas? Diharap pihak tuan dapat memberikan sedikit ulasan berkaitan perkara di atas.Sekitan terima kasih | Semua bangsa pasti berinteraksi dengan bangsa-bangsa yang lain dalam dunia sejagat. Proses ini menggunakan bahasa sebagai alat dan wahana penyampaian fikiran dan hasrat. Dalam proses komunikasi ini, pelbagai konsep ilmu akan dipindahkan menerusi peminjaman kata dan istilah antara satu bahasa ke satu bahasa yang lain sesuai dengan ungkapan istilah jambatan ilmu. Dalam interaksi bangsa Inggeris dengan bangsa Arab, terutama dalam bidang sains, banyaklah ilmu yang ditimba mereka, dan banyaklah konsep yang dipinjam melalui istilah seperti ‘alchemy’, ‘alcohol’, dan ‘algorithm’. Semakin kuat pengaruh ilmu yang dimiliki oleh sesuatu bahasa, semakin banyaklah kosa katanya dipinjam oleh bahasa yang lain. Kerana itulah istilah perubatan Inggeris sebahagian besarnya dipinjam daripada kata Yunani dan Latin. Tiada sesiapa pun pernah mempersoalkan istilah bahasa Inggeris yang bersifat kelatinan. Tiada seorang pun sekarang yang mempertikaikan kemampuan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Sejarah telah merakamkan bahawa bahasa Melayu sudah pun berperanan sebagai bahasa perdagangan. Semenjak zaman kesultanan Melaka lagi, bahasa Melayu digunakan untuk urusan perniagaan dan perdagangan di pelabuhan di seluruh kepulauan Melayu, dari Sumatera ke Papua, di seluruh pelosok Nusantara ini. Pada masa sekarang pun bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perdagangan oleh institusi kewangan, sektor insurans dan sektor peniagaan lain. Proses peminjaman kata dan istilah juga terus-menerus berlaku baik daripada bahasa Inggeris mahupun bahasa-bahasa lain. Apabila perbankan Islam semakin banyak dilaksanakan maka banyaklah pula istilah Arab yang kita pinjam lalu timbullah nanti tanggapan bahawa istilah Melayu sudah kearaban. Dalam persaingan dan percampuran bahasa yang semula jadi sifatnya, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah untuk memastikan proses peminjaman ini berlaku mengikut peraturan dan petua bahasa Melayu agar istilah yang dipinjam itu dapat dieja, disebut dan digunakan mengikut kelaziman berbahasa Melayu yang baik, santun dan indah. Peranan ilmuwan Melayu juga harus lebih rancak menghasilkan tulisan ilmiah dalam pelbagai bidang dan genre agar bahasa Melayu juga menjadi bahasa ilmu yang mempunyai pengaruh dan dipinjam pula oleh bangsa lain sehingga suatu hari nanti bahasa Inggeris juga bersifat kemelayuan. | Lain-lain | 12.03.2013 |