Saya ingin pertolongan anda untuk mencari kesalahan-kesalahan-kesalahan yang terdapat di ayat tersebut : 1.Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada pada ibu negara berkenaan. 2.Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris sekali jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut begitu mengutamakan kuantiti. 3.Pemilik kilang yang masih berdegil kerana membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitam supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain. 4. Berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh orang awam,akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di muka perbicaraan. 5.Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan takat keselamatan diri mereka sendiri. 6.Pada masa ini,bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk Akan dibaik puluh bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita. 7.Peminat bola sepak itu sedang membincangkan tentang corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua buah kumpulan bola sepak dari luar negara. | Ayat yang telah dibetulkan adalah seperti yang berikut: 1.Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada di ibu negara berkenaan. 2.Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut amat mengutamakan kualiti. 3.Pemilik kilang yang masih berdegil dan membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitamkan supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain. 4. Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh orang awam, akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di mahkamah. 5.Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan keselamatan diri mereka sendiri. 6.Pada masa ini,bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk akan dibaik pulih bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita. 7.Peminat bola sepak itu sedang membincangkan corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua kumpulan bola sepak dari luar negara. | Tatabahasa | 06.10.2014 |
Kesalahan huruf besar adakah kesalahan bahasa @ kesalahan ejaan | Tuan/puan, Kesalahan penggunaan tulisan besar dan kecil dianggap sebagai satu kesalahan bahasa dan sekiranya dikategorikan jenis kesalahan, dimasukkan dalam kesalahan ejaan. | Lain-lain | 13.03.2018 |
keluarkan kesalahan-kesalahan bahasa melayu di dalam iklan. | Ciri bahasa Melayu dalam iklan ialah penggunaan Bahasa Melayu yang betul dari aspek tatabahasa dan ejaannya, tulisan bahasa Melayu yg menurut tulisan rumi atau khat jawi yg diperakukan, istilah atau ungkapan yg tepat bagi jenis aktiviti, bahasa melayu yg indah, canggih dan kretif, dan bahasa melayu diutamakan dari segi pemameran (sekiranya dipamerkan bersama-sama dengan apa-apa bahasa lain). Semua iklan yg tidak mematuhi syarat-syarat ini dikategorikan sebagai menyalahi garis panduan iklan. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, DBP. | Lain-lain | 14.11.2006 |
mohon tunjukkan kesalahan-kesalahan yang ada pada perenggan ini. Di antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut: (i) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran; (ii) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenal pasti peluang dan harapan;dan (iii) Mengenal pasti visi, misi dan objektif ICT untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan projek ICT. | Ayat tersebut diperbaik menjadi: Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti yang berikut: (i) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran; (ii) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenal pasti peluang dan harapan;dan (iii) Mengenal pasti visi, misi dan objektif ICT untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan projek ICT. | Tatabahasa | 05.07.2012 |
Salam, Manakah lebih gramatis: Nota: Huruf besar untuk penekanan sahaja. (1a) "... DI DALAM ayat tersebut ..." ATAU "... DALAM ayat tersebut ..." (1b) "... DI DALAM minda kita ..." ATAU "... DALAM minda kita ..." (2) " ... implikasi yang menakutkan IALAH BAHAWA dengan membiarkan kesalahan-kesalahan ini terus berlaku, maka ....", ATAU " ... implikasi yang menakutkan ADALAH BAHAWA dengan membiarkan kesalahan-kesalahan ini terus berlaku, maka ...." Mohon sedikit penjelasan. Terima kasih | a) Penggunaan kata sendi nama “di dalam” - digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Manakala kata sendi nama “dalam” hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Jawapannya "dalam ayat" dan "dalam minda kita". b) Ialah dan adalah tergolong dalam kata pemeri. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. Kata "bahawa" ialah kata hubung pancangan komplemen, berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Contohnya: Dengan ini dimaklumkan (sesuatu). Esok Hari Raya Aidiladha. => Dengan ini dimaklumkan bahawa esok Hari Raya Aidiladha. Jawapannya: " ... implikasi yang menakutkan adalah dengan membiarkan kesalahan-kesalahan ini terus berlaku, maka ...." | Tatabahasa | 26.07.2020 |
Menyabitkan kesalahan, mensabitkan kesalahan ataupun sabit kesalahan? Ataupun, mensabitkan tertuduh? | Jawapan yang sesuai ialah Mensabitkan kesalahan. | Makna | 26.05.2019 |
ARTIKEL TENTANG PENGGUNAAN BAHASA MELAYU | Sila rujuk buku/makalah yang berkaitan seperti "Kesalahan-kesalahan dalam Penggunaan Bahasa Melayu" (Asraf), Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu dan Penyelesaiannya (S.Nathesan). | Lain-lain | 20.01.2009 |
Saya akan menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi. Bolehkah saya tanya soalan dalam format PMR? Soalan : Ayat berikut mungkin salah mungkin betul. Jika terdapat kesalahan, kesalahan itu ditandai dengan A, B dan C dan jika tiada kesalahan telah ditandai dengan D. Pilih jawapan yang paling sesuai. (A)Berguni-guni kampit pasir diletakkan di (B)persisiran pantai untuk menghalang (C)hakisan ombak. (D)Tiada kesalahan. Jawapan yang saya tanda ialah 'D'. Jwapan yang diberi oleh buku latih tubi ini ialah 'B'. Adakah jawapan buku salah. Jika tidak salah,mengapakah perkataan 'persisiran' tidak boleh digunakan? | Jawapan saudara adalah betul kerana tiada kesalahan dalam ayat tersebut. Kata persisiran boleh digunakan untuk merujuk daratan di sepanjang tepi laut, tasik, atau sungai. | Tatabahasa | 15.07.2011 |
Saya memuat turun teks laporan ini daripada Malaysian Law Journal, adakah penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu yang digunakan adalah betul, dan jika tidak, apakah kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat dalam teks laporan ini? disini saya sertakan teks laporan tersebut. | Merujuk perenggan awal teks yang dilampirkan, beberapa kesalahan dapat dikesan termasuklah dari aspek ejaan, tanda baca, istilah, penggunaan kata sendi nama, pemilihan kata dan binaan ayat yang tidak gramatis. Contoh kesalahan yang ditemukan ialah samada, di lakukan, mel-elektronik, dari risiko, mewujudkan kasih sayang di antara suami isteri, mengukir sejarah dan lain-lain. | Tatabahasa | 07.04.2013 |
Saya ingin bertanya tentang penggunaan frasa di bawah: Kesalahan contoh atau contoh kesalahan Rangkai kata yang manakah lebih tepat penggunaannya? | Kedua-dua rangkai kata tersebut betul tetapi membawa makna yang berbeza, kesalahan contoh merujuk kepada kesalahan pada contoh dan contoh kesalahan ialah contoh pada kesalahan. | Tatabahasa | 20.10.2010 |