saya Hanan Dalor sedang belajar di Universiti Fatoni kelas dasar saya ingin bertanya DBP apakah makna perkataan 'Ikhlas' terima kasih atas jawapannya | Ikhlas berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud: (dgn) hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura: dia menolong dgn ~, tidak mengharapkan apa-apa balasan; dgn ~ dgn suci hati; tulus ~ sangat jujur; mengikhlaskan memberikan (sesuatu) dgn ikhlas, merelakan: ~ baki hutangnya; keikhlasan kesucian hati, ketulusan: tujuannya ialah utk menduga ~ dan semangat pengorbanan rakyat negeri ini. | Makna | 29.09.2014 |
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Quran buruk ialah bahasa kiasan yang bermaksud sesuatu yang tidak boleh diharapkan atau tidak berguna lagi tetapi masih dihormati kerana sebab-sebab tertentu. Dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu pula ada peribahasa “seperti Kur’an (Quran) buruk: dibaca tak boleh dipersebarangan dosa”. Namun, rakan saya pernah mencadangkan agar kita menukar ungkapan “Quran buruk” menjadi “Quran lama” demi menjaga kesucian Islam. Apakah pandangan pihak tuan? Terima kasih. | Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Pendapat tuan akan saya kemukakan kepada pihak yang berkepentingan dalam pembinaan istilah. | Tatabahasa | 16.04.2012 |
Manakah perkataan yang sesuai digunakan untuk sekolah, lencana, logo atau lambang ? Adakah istilah ini berubah mengikut situasi? Contoh - lencana sekolah pada baju, tapi lambang/ logo sekolah pada kepala surat. Secara umum mana satu? Terimakasih | Menurut Kamus Pelajar, lencana ialah tanda yang dibuat daripada logam atau kain (mempunyai reka bentuk tertentu) untuk menunjukkan keanggotaan sesuatu persatuan atau murid sesebuah sekolah. Lambang pula ialah tanda (lukisan, lencana dan lain-lain) yang digunakan untuk memperkenalkan atau untuk menyatakan sesuatu simbol atau isyarat. Contoh, Warna putih lambang kesucian. Manakala logo pula ialah lambang khas sesuatu badan, pertubuhan dan sebagainya, yang tersirat dengan maksud tertentu. Contohnya gambar daun lontar merupakan lambang Dewan Bahasa dan Pustaka yang digunakan pada kepala surat, lencana, logo, program rasmi DBP dan lain-lain. Begitu juga lambang sekolah digunakan pada lencana pelajar, kepala surat, program rasmi sekolah dan pelbagai lagi. | Tatabahasa | 30.05.2013 |
Salam sejahtera, izinkan saya meluahkan lagi pendapat, memang peminjaman berlaku dalam semua bahasa, berlaku secara meluas dan menjadi kelaziman tetapi kita sebagai pencinta bahasa Melayu perlulah mempertahankan bahasa kita dengan mengurangkan peminjaman bahasa yang melampau sehingga istilah yang sudah sedia ada pun juga dipinjam. Seperti istilah Inggerisnys iaitu "infrastuktur" menggantikan istilah Melayunya iaitu "prasarana", istilah "program" dan "agenda" dalam bahasa Inggeris menggantikan "acara" dalam istilah Melayunya, istilah "koleksi" menggantikan "kumpulan" dan "himpunan" dan lain-lain lagi. Banyak lagi istilah yang sudah ada juga dipinjam dalam bahasa Inggeris. Maafkan jikalau saya katakan itu adalah dinamakan pembaziran bahasa dan salah satu punca terjadinya "bahasa rojak". Bahasa Melayu kaya dengan perkataan dan kosa kata. Jadi, untuk apa dipinjam lagi? jikalau tiada istilah yang sesuai maka ciptalah istilah baru seperti apa yang dilakukan oleh Pendeta Za'ba seorang pejuang bahasa Melayu. Kita perlu menjaga dan mempertahankan kesucian, keaslian dan kejatian bahasa Melayu. Selain itu, kita perlu mencontohi sikap pejuang bahasa Thai, Cina dan Korea yang mempertahankan bahasa mereka daripada serangan istilah asing. Jikalau dibuat kajian dan perbandingan bahasa Cina, Korea dan Thai memang saya cukup kagum kerana istilah-istilah dan kosa kata bahasa mereka lebih banyak daripada istilah dan kosa kata pinjaman. | Kami ambil maklum pandangan tuan dan bersama-samalah kita berusaha mempopularkan kata asli Melayu yang telah mengungkapkan makna yang terkandung dalam perkataan tersebut. Kami sendiri sentiasa berusaha menggunakan perkataan kegiatan bagi mengungkapkan maksud aktiviti dan iltizam bagi mengungkapkan maksud komitem. Semoga usaha kecil kita ini mendapat perhatian daripada masyarakat di luar sana dan bersama-sama menghayati keindahan bahasa kita. Bahasa kita jati diri bangsa kita. | Lain-lain | 15.11.2015 |