kesusilaan - apa maksudnya? apa beza dengan kesopanan? | Kesusilaan ialah adat istiadat yg baik, keadaban, kesopanan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 21.05.2009 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera, apakah terjemahan yang tepat bagi istilah common morality? Carian saya di laman PRPM mendapati istilah morality diterjemahkan sebagai moraliti, kemoralan dan kesusilaan apabila digandingkan dengan kata yang berbeza. Terima kasih. | Ketiga-tiga istilah,iaitu moraliti, kemoralan dan kesusilaan adalah betul dan boleh digunakan. Perkataan "common" juga mempunyai beberapa padanan bahasa Melayu seperti biasa, lazim, sepunya, bersama, umum dan terbuka. Oleh itu, padanan bahasa Melayu yang sesuai untuk "common morality" bergantung pada konsep dan konteks penggunaan. Istilah ini mungkin boleh diterjemahkan kepada kemoralan sepunya, kemoralan lazim dan sebagainya. | Istilah | 15.04.2016 |
Apa beza mencolok mata dan menjolok mata? | Tiada dijumpai simpulan bahasa mencolok mata. Colok ialah suluh yang dibuat darip[ada kain buruk dan dicelup dalam minyak. Mencolok bermaksud menyuluhi dengan colok, menusuk atau mencucuk, mencelup. Menjolok mata bermaksud dibenci, iaitu perkara atau perbuatan yang melnggar batas kesusilaan dan norma masyarakat seperti cara berpakaian dan kelakuan. | Makna | 26.06.2008 |
1)Apakah kriteria-kriteria yang dititikberatkan ketika pemilihan sesuatu karya untuk diterbitkan? 2)Bagaimanakah caranya pengkarya untuk mengetahui sesuatu karya yang dihantar telah berjaya diterbitkan? 3)Berapakah royalti bagi sesebuah puisi dan cerpen? | 1 Kriteria pemilihan: (i) Isi: Keaslian idea, ketepatan fakta, dan perkara yang ditulis tidak bertentangan dengan agama Islam, undang-undang, kesusilaan, dan kepentingan negara. (ii) Cara Persembahan: Penyusunan idea yang logik, kemas, dan sesuai dengan sasaran (pembaca umum, ahli akademik, kanak-kanak dan remaja). (iii) Bahasa: Penggunaan bahasa yang baik dan istilah yang tepat; ejaan dan tanda baca yang betul serta sesuai dengan sasaran. (iv) Pasaran: Mempunyai potensi pasaran yang luas. 2 Pengurus projek akan memaklumkan kepada penulis melalui surat sama ada karya tersebut wajar diterbitkan ataupun tidak. 3. Kadar royalti untuk kumpulan puisi ataupun cerpen ialah 12%. Dewan Bahasa dan Pustaka akan membayar 50% apabila buku terbit dan 50% lagi berdasarkan jualan buku. | Lain-lain | 28.04.2008 |