| Salam sejahtera! Haruskah "nya" dicantumkan dengan perkataan di depan? Ayat contoh: Dia terlupa membawa iPhonenya atau dia terlupa membawa iPhone nya? Saya ingin tahu terutama sekali jika perkataan di depan "nya" adalah jenis kata nama khas. Terima kasih! | Untuk makluman, “nya” merupakan kata ganti nama diri ketiga yang ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya, kecuali jika merujuk kepada Allah kerana pada perkataan tersebut perlu diletakkan sempang, iaitu ‘-Nya’. Sehubungan dengan itu, contoh ayat yang betul ialah “Dia terlupa membawa iPhonenya.” | Tatabahasa | 11.08.2020 |
| asalamualaikum, saya mempunyai kekeliruan mengenai penggunaan perkataan yang khas dalam istilah agama. setakat ini, banyak kekeliruan istilah agama dalam manuskrip yang saya edit. boleh saya mendapat "list" panduan ejaan laras agama contohnya penggunaan '-Nya' dan lain-lain.hal ini kerana panduan "list" tersebut penting untuk saya merujuk kesalahan istilah dalam manuskrip agama. saya berharap tuan/puan tidak keberatan menghantar panduan tersebut ke alamat email saya fiqline_89@yahoo.com | Ada beberapa kata bahasa Arab yang telah mantap dan diterima pakai dalam bahasa dan difahami dalam budaya Melayu. Kata-kata ini terakam dalam Kamus Dewan namun tiada sebuah buku yang khusus yang mengumpul semua kata-kata Arab tersebut. Ada juga istilah yang diambil daripada bahasa Arab terutamanya istilah yang berkaitan dengan agama. Saudara boleh merujuk Istilah Agama Islam terbitan DBP. Untuk makluman tuan, kata ganti nama diri 'nya' dieja bersambung kecuali '-Nya' yang merujuk Allah dieja sedemikian. | Tatabahasa | 07.09.2012 |
| Assalamualaikum, adakah boleh digunakan kata ganti milik seperti "ku", "mu", "nya" atau "mereka" kepada kata nama khas, misalnya "Allahku", "Allahmu" "Allahnya" dan "Allah mereka". | Berdasarkan Korpus DBP, terdapat kumpulan kata ganti nama bagi kata nama khas seperti Allahku, Allahmu dan Allahnya. | Tatabahasa | 11.06.2023 |
| Salam sejahtera tuan/puan. Berkenaan dengan perkataan "Khatulistiwa", jika digunakan bersama dengan "garisan", maka "K"nya huruf besar kerana "garisan Khatulistiwa" merupakan kata nama khas. Soalan saya, jika digunakan dengan "negara", adakah "K" tersebut perlu dihurufbesarkan, iaitu ditulis seperti "negara Khatulistiwa" ataupun "negara khatulistiwa"? Adakah "negara khatulistiwa" ini kata nama khas atau kata nama am? | Perkataan “Khatulistiwa” merupakan kata nama khas. Sehubungan dengan itu, huruf pertama bagi perkataan tersebut hendaklah ditulis dengan menggunakan huruf besar, iaitu “Khatulistiwa”. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, halaman 1105. | Ejaan | 27.04.2023 |
| Apakah terjemahan bagi "rasul" dan "nabi"? Adakah nabi dan rasul ini kata nama khas? | RASUL Utusan atau pesuruh Allah yang telah menerima syariat untuk disampaikan kepada umatnya. Rasul juga merupakan utusan atau pesuruh Allah yang dipilih-Nya untuk menerima wahyu daripada-Nya untuk dirinya sendiri dan diwajibkan menyampaikan wahyu itu kepada orang lain NABI Orang yang dipilih Allah untuk menerima wahyu daripada-Nya untuk dirinya sendiri dan tidak diwajibkan menyampaikan wahyu itu kepada orang lain. Perkataan "rasul" dieja dengan huruf kecil (Kamus Dewan Edisi Keempat), kecuali "Rasulullah" yang dieja menggunakan huruf besar bagi "R". Perkataan “nabi” dieja dengan huruf kecil kecuali jika ia diikuti dengan nama-nama nabi tersebut, perlu dieja dengan huruf besar bagi "N". Contoh: Nabi Yaakub, Nabi Syu'ib, Nabi Sulaiman, Nabi Saleh, Nabi Ayub (sila rujuk Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua dari muka surat 1878 dan 1879 untuk ejaan yang betul bagi 25 nama nabi) | Lain-lain | 14.10.2021 |
| Assalamualaikum tuan/puan, saya ada soalan untuk ditanyakan, dari sudut tatabahasa, adakah boleh kita gunakan kata ganti milik seperti "ku", "nya", "mereka" kepada kata nama khas, misalnya "Siti Nurhalizaku", "Abdul Rahmanku" dll? | Kata ganti diri "ku" boleh digunakan bagi nama khas. Frasa "Siti Nur Halizaku", "Abdul Rahmanku" boleh dibentuk. Namun, tiada contoh penggunaannya dalam sumber rujukan kami. | Lain-lain | 11.06.2023 |
| Contoh Ayat: Bersama-sama ini dikepilkan borang permohanan pertukaran pegawai dari politeknik ini untuk tindakan tuan selanjutnya. Soalan: adakah perkataan politeknik dalam ayat diatas ditulis dengan betul atau 'p'nya perlu ditulis dengan huruf besar. Terima kasih | Dalam contoh ayat yang saudara sertakan, perkataan Politeknik perlu ditulis dengan huruf besar kerana merujuk nama khas politeknik tersebut. Sekiranya saudara menyebut secara umum, perlu ditulis dengan huruf kecil. Contoh. Saya bercadang untuk menyambung pelajaran di politeknik. Dalam hal ini, politeknik ditulis dengan huruf kecil kerana disebut secara umum sahaja, tidak ditujukan kepada mana-mana politeknik. | Ejaan | 11.05.2009 |
| Perkataan seperti Yang Tetap Hidup, Yang Kekal, Yang tidak mengantuk dalam ayat di bawah perlu ditulis dengan huruf besar atau kecil? Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. | Dari aspek penulisan bahasa Melayu, terdapat beberapa garis panduan yang lebih terperinci mengenai penggunaan huruf besar, terutamanya apabila merujuk sifat-sifat Tuhan atau Allah. Yang berikut merupakan penjelasan lanjut berdasarkan ayat yang diberikan: 1. Yang Tetap Hidup dan Yang Kekal Kedua-dua istilah ini merujuk sifat-sifat Allah yang mulia. Mengikut kaedah penulisan rasmi, apabila menyebut sifat-sifat Allah, kita menulisnya dengan huruf besar untuk menunjukkan penghormatan kepada-Nya. Contoh: Yang Tetap Hidup, Yang Kekal (huruf pertama bagi setiap kata besar kerana frasa khusus yang merujuk sifat Allah). 2. Yang tidak mengantuk Sifat Allah yang tidak pernah mengantuk ini juga merujuk kebesaran-Nya. Oleh sebab itu, turut ditulis dengan huruf besar pada perkataan “Yang” dan “tidak mengantuk” sebagai satu ungkapan khas yang merujuk sifat Allah. Contoh: Yang tidak mengantuk. | Ejaan | 19.11.2025 |
| Bagaimanakah membezakan perkataan "menyangkut" dan "menyangkutkan" ? Adakah perbezaannya seperti ayat di bawah: a)Ali menyangkut baju. b)Ali menyangkutkan baju pada dinding. | Saudara, Perkataan menyangkut/menyangkutkan daripada perkataan 'sangkut' bermaksud 1 terletak pd sesuatu dgn berkait; bergantung: Bajunya ~ pd paku di dinding bilik tidurnya. 2 ada kaitan atau hubungan (dgn): ~ dgn perkara itu, mereka akan mengadakan mesyuarat khas. bersangkutan 1 bersangkut banyak-banyak atau banyak yg bersangkut (bkn pakaian dll). 2 bersangkut dgn (bkn hubungan atau kaitan); ada pertaliannya atau ada hubungannya antara satu dgn yg lain; bertalian. menyangkut 1 melekat pd sesuatu (kawat pd kawat, kain pd duri dsb) kerana berkait. 2 memasukkan atau membawa ke dlm sesuatu perkara (urusan dsb); melibatkan. menyangkutkan meletakkan sesuatu pd kait; menggantungkan; menggayutkan: Dia ~ bekalannya pd dahan pohon jambu. tersangkut 1 terlekat pd sesuatu; terpaut; tergantung: Layang-layangnya ~ pd dahan pokok. 2 tidak dpt bergerak atau tidak dpt keluar dgn lancar; terhenti: Kerana air bah, kami ~ di Temerloh. 3 turut terlibat dlm sesuatu perkara: Dia ~ juga dlm perompakan itu. sangkutan 1 tempat menyangkutkan sesuatu. 2 apa-apa yg mengganggu atau yg menghalang; rintangan. persangkutan hal, keadaan dsb bersangkut atau bersangkutan; pertalian; perhubungan. penyangkutan perihal, perbuatan dsb menyangkut atau menyangkutkan. penyangkut alat yg digunakan utk menyangkutkan sesuatu. Daripada makna di atas, kata menyangkut digunakan dalam konteks melekat pada sesuatu. Contoh kawat menyangkut pada kawat yang lain, manakala kata menyangkutkan pula digunakan dalam konteks meletakkan sesuatu pada sesuatu. Contoh, Ali menyangkutkan bajunya pada dinding. | Tatabahasa | 25.08.2010 |