As salam, Bolehkah istilah surat-menyurat digunakan dalam konteks teknologi maklumat berhubung kiriman emel, kiriman di dunia maya seperti perbualan dengan khidmat sokongan di laman2 web. Sebagai contoh: apabila pengguna ingin menghantar maklum balas atau pertanyaan kepada bahagian sokongan yang sering terdapat pada laman2 web masa kini? Selain itu, adakah tepat istilah yang sama digunakan untuk "contact form" kerana istilah ini digunakan untuk pengguna mengisi pertanyaan atau memberikan maklum balas kepada pentadbir web dalam satu borang khas secara dalam talian. Jika tidak, adakah istilah padanan "borang hubungan" menepati konteks. Ini disebabkan, "bunyinya" agak aneh meskipun maknanya mungkin betul. Terima kasih duluan. | Salam, 1. Soalan nombor 1 agak kurang jelas maksudnya. Akan tetapi, untuk makluman saudara, surat-menyurat hanya digunakan untuk hal-hal yang berhubung dengan surat (melibatkan kertas yang ditulis, segala sesuatu yang tertulis) yang diterima ataupun dikirimkan sama ada melalui pos atau dihantar sendiri, bukannya e-mel dan yang berkaitan dengannya. 2. Perkataan contact form memang tidak terdapat dalam data DBP. Akan tetapi, dicadangkan terjemahannya sebagai borang maklumat. | Lain-lain | 23.09.2015 |
Assalamualaikum... Saya ingin bertanya tentang surat kiriman rasmi. Kenapakah surat kiriman rasmi tidak mencatatkan nombor 1 dalam kandungan surat? Sebaliknya diteruskan kepada nombor 2. Terima kasih | Format penulisan surat rasmi yang bermula dengan perenggan pertama (tanpa nombor) dan perenggan seterusnya bermula dengan nombor 2 dan seterusnya telah lama diterima pakai. Format yang hampir sama juga diterima pakai dalam penulisan esei, perenggan pertama bermula dari tepi dan menginden (mengesot sedikit ke dalam) pada perenggan yang seterusnya. Walau bagaimanapun tiada maklumat tentang penyusunan format penulisan yang sedemikian dalam pangkalan data kami. Sedikit maklumat tambahan, format penulisan surat rasmi ini menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007 yang dikeluarkan oleh JPA. | Tatabahasa | 07.11.2015 |
Untuk tujuan penulisan surat kiriman rasmi. Apakah ayat pertama yang tepat dalam penulisan surat rasmi. Biasanya surat kiriman rasmi dimulai dengan ayat yang berikut : "Dengan hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk." Keraguan saya ialah penggunaan kata pemeri 'adalah' di hadapan kata kerja pasif. Adakah ayat ini diguna pakai atau ada sebarang ayat yang lebih tepat sebagai permulaan surat kiriman rasmi? Mohon pencerahan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Frasa yang betul ialah "Dengan hormatnya, perkara di atas dirujuk" atau "Dengan hormatnya kami merujuk perkara yang tersebut di atas". | Tatabahasa | 22.01.2014 |
Dalam kiriman Twitter DBP (12 Mac 2018,11:39 pagi) dikongsikan infografik istilah teknik dan vokasional di mana vegetarian dipadankan dengan vegetarian/pemayur. Apabila dicari dalam PRPM, istilah pemayur tiada, bolehkah saya gunakan pemayur dalam tulisan? | Pemayur ialah istilah baharu yang dibina oleh Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP dan diuar-uarkan melalui saluran rasmi DBP seperti Facebook dan Twitter. Istilah ini boleh digunakan dalam wacana rasmi. | Istilah | 12.03.2018 |
Surat Kiriman Rasmi Berhubung dengan perkara di atas, saya, Lai Lee Chin, murid Tahun Enam Kenanga ingin memohon kepada pihak sekolah untuk tinggal di Asrama Puteri. Soalan: 1. Berhubung perkara di atas/ Berhubung dengan perkara di atas? 2. Selepas perkataan saya, perlu bubuh tanda koma? Kata Pemeri Soalan: Tugas doktor ialah/ adalah merawat pesakit. Terima kasih. Cikgu Tan dari Melaka. | 1. Berhubung dengan perkara di atas. 2. Perlu tanda koma. 3. Tugas doktor merawat pesakit. | Tatabahasa | 18.05.2012 |
Untuk surat kiriman rasmi, sepatutnya ada berapa perenggan? | Tiada bilangan perenggan yang khusus untuk penulisan surat rasmi. Walau bagaimanapun, format surat rasmi boleh dirujuk pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007, halaman 43 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Sila layari laman sesawang JPA untuk maklumat lanjut. | Lain-lain | 08.07.2019 |
FORMAT SURAT KIRIMAN RASMI YANG PALING TEPAT? TERIMA KASIH. | Format surat rasmi yang paling tepat ialah format rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan digunakan oleh semua jabatan sektor awam. | Lain-lain | 01.04.2008 |
terjemahan bagi perkataan `courier' (adakah kurier?) dan perkataan `consigment' (adakah konsigmen?) | Courier - perkhidmatan kiriman cepat. Consignment - konsainan (berniaga dengan cara pesanan dan perjanjian melalui ejen yang menjalankan semua urusan dan kiriman dagangan) | Istilah | 02.03.2009 |
Tuan/Puan, saya ingin bertanyakan penggunaan kata yang sesuai jika menulis surat kiriman tidak rasmi kepada ahli keluarga (seperti kakanda dan adinda). Jika begitu, adakah ini bermaksud sebarang penggunaan kata untuk ahli keluarga lain (jika disebut dalam surat) perlu menggunakan kata panggilan zaman dahulu seperti ayahanda, bonda, nenda, dan sebagainya? Terima kasih. | Dalam penulisan surat kiriman tidak rasmi, penggunaan kata panggilan seperti ayahanda, bonda, adinda dan lain-lain menunjukkan kemesraan dan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga. Penggunaan perkataan tersebut bergantung kepada penulis dan melihat keseragaman dalam penulisan surat. | Tatabahasa | 24.10.2013 |
Assalamualaikum, Dalam surat kiriman rasmi ada slogan "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA". Ada juga jabatan lain memasukkan slogan jabatan mereka sendiri atau memeasukkan juga tema Hari Kebangsaan "SEHATI SEJIWA". Soalannya, yang manakah perlu ditulis dahulu? BUN atau slogan jabatan sendiri atau tema Hari Kebangsaan? Terima kasih | Dalam surat kirirman rasmi, slogan "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" diletakkan di bahagian atas, slogan-slogan lain diletakkan selepasnya, seperti: "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA' "SLOGAN JABATAN" "SLOGAN HARI KEBANGSAAN/KEMPEN SEMASA" | Tatabahasa | 17.11.2015 |