maksud saya bagi format surat rasmi yang terkini adalah contoh format surat rasmi: (i) adakah alamat kepada pengirim perlu tanda koma? (ii) format tarikh (contoh : 19hb April,2011) adakah ditulis sebegitu? (iii) adakah nama diakhir surat perlu dibubuh dalam kurungan dan huruf besar (contoh: (ROSZIANAWATY)? | Puan, Cara menulis alamat, tarikh dan penama orang yang menandatangani surat mengikut gaya Dewan adalah seperti yang berikut: (i) Butiran yang perlu ada pada alamat:a. nama dan gelaran jawatan diakhiri dengan tanda komab. alamat penuh penerima diakhiri degan tanda koma (kecuali baris akhir)c. alamat penerima diakhiri dengan tanda noktah Contoh: Puan Siti Nordiana binti Abdullah,Unit Berita Radio RTM,Jabatan Penyiaran Malaysia,Wisma Radio, Angkasapuri,50614 KUALA LUMPUR. atau 50614 Kuala Lumpur. (ii) 19 April 2010 (iii) Cara menulis nama orang yang menandatangani surat adalah seperti yang berikut: Saya yang menurut perintah, (ROSZIANWATY BINTI ...)Ketua Bahagian ...b.p. Ketua Pengarah | Lain-lain | 19.04.2011 |
Bagaimana menggunakan tanda titik koma dengan betul dalam ayat,bagaimana ingin membezakan tanda baca titik koma dengan tanda baca koma dalam ayat,mengapa tanda baca ini jarang digunakan dan sila nyatakan beberapa contoh ayat yang mengandungi tanda baca titik koma. | Dibetulkan istilah tanda baca, daripada 'titik koma' kepada 'koma bertitik'. Tanda koma bertitik (;) digunakan apabila: (a) memisahkan dua atau beberapa klausa dalam satu ayat. Contohnya: (i) Membaca menambah ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikanlah kedua-dua ini pegangan hidupmu. (ii) Malam makin larut; kerja masih banyak. (b) memisahkan klausa induk daripada klausa atau frasa yang bermula dengan kata hubung juga, walau bagaimanapun, di samping itu, oleh yang demikian, sesungguhnya, dan sebagainya. Contohnya: (i) Harga barang-barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik. (ii) Antara pendekatan yang boleh digunakan termasuklah pendekatan psikologi; pendekatan androgogi; dan pendekatan sinergogi. (c) memisahkan klausa yang bersiri yang berlainan maklumat dalam satu ayat yang lengkap. Contohnya: kepada mereka yang selamat, diucapkan syukur; kepada mereka yang cedera, diminta bersabar; dan kepada keluarga mereka yang gugur, diucapkan takziah. Tanda koma (,) digunakan: (a) sebagai unsur pemisah. (b) sebagai unsur yang mengapit keterangan subjek, predikat atau objek. Contohnya: (i) Duit syiling itu jatuh, dan sebelum sempat dipungutnya, bergolek laju ke dalam lubang. (ii) Pagi tadi, sebelum datang ke sini, saya singgah sebentar di pejabat. (iii) Lima belas orang, termasuk dua orang wanita, telah menyertai bengkel itu. (c) mewujudkan ada perkataan yang telah dihilangkan. Contohnya: Saya mahu kopi. Dia, teh tarik. Tanda koma bertitik jarang digunakan, mungkin disebabkan pengguna kurang faham. Perbezaan penggunaannya tidak ketara, boleh menggunakan sama ada tanda koma atau koma bertitik untuk memisahkan beberapa klausa dalam ayat. Kecuali, jika dalam beberapa klausa ada penggunaan tanda koma. | Lain-lain | 04.03.2012 |
Bagaimana menggunakan pengikat kata yang mempunyai satu koma dan dua koma? Penggunaan pengikat kata dengan dua koma sudah diketahui bagi dialog. Bagaimana dengan perkara lain contohnya dalam ayat:Tertulis si situ perkataan 'keluar' atau "keluar".Terima kasih. | Saudara, Tanda petik (" " ) digunakan untuk i. mengapit cakap ajuk ii. mengapit judul rencana, karangan, puisi atau bab buku iii. mengapit istilah ilmiah atau kata yang mempunyai erti khusus. Tanda petik (' ' ) digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapait tanda petik. Dalam ayat yang diberikan tanda baca yang digunakan ialah tanda petik (" " ). | Lain-lain | 12.10.2010 |
Salam. Penggunaan tanda koma yang manakah betul ? i) Siti, Saras dan Ai Ling pergi ke kedai. ii) Siti, Saras, dan Ai Ling pergi ke kedai. | Penggunaan tanda koma yang betul ialah ayat pertama: i) Siti, Saras dan Ai Ling pergi ke kedai. | Lain-lain | 19.10.2016 |
Soalan saya berkaitan tanda bacaan. Antara waris yang terlibat ialah: Atau; ( titik bertindih : atau koma bertindih; selepas iaitu? a. Datuk terdindig oleh bapa si mati. b. Nenek sebelah ibu. c...., Soalan saya juga adakah rincian tersebut perlukan tanda noktah, atau koma atau tidak perlu? | Berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Buku Gaya Dewan, terbitan DBP, terdapat 17 tanda baca yang telah digunakan dengan mantap,iaitu tanda koma(,), tanda noktah(.), tanda pisah (-), tanda sempang(-), tanda ellipsis (...), tanda titik bertindih (:), tanda koma bertitik (;), tanda soal (?), tanda seru (!), tanda kurung dan kelompok ({[( )]}), tanda kurung (( )), tanda kurung siku ([ ]), tanda kurung dakap ({ }), tanda petik (" "), tanda petik tunggal (' '), tanda garis miring (/) dan tanda penyingkat ('). Setiap simbol/tanda baca ada fungsinya. Tanda titik bertindih (:) digunakan seperti yang berikut: (1) pada akhir suatu penyataan apabila diikuti (a) rangkaian atau pemerian, atau (b) penjelasan. Contohnya: (a) Yang kita perlukan sekarang ialah barang-barang yang berikut: kertas, dakwat dan pen. (b) Ketua: Abdullah Salleh Hari : Isnin (2) di antara jilid atau nombor dengan halaman, (ii) di antara bab dengan ayat dalam kitab-kitab, atau (iii) di antara judul dengan anak judul. (3) Digunakan dalam teks drama sesudah kata yang menunjukkan pelaku dalam percakapan. Contohnya: Ibu: “Bawa bungkusan ini, Mir!” Tanda koma bertitik (;) digunakan untuk (1) memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara. Contohnya: Malam makin larut; kamu belum selesai juga. (2) memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majmuk sebagai pengganti kata penghubung. Contohnya: Ayah menyiapkan kertas kerjanya, ibu sibuk memasak di dapur; adik menghafal nama pahlawan nasional; saya sendiri asyik mendengar siaran pilihan pendengar. Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut tentang tanda baca, saudara boleh merujuk Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Buku Gaya Dewan, terbitan DBP. | Tatabahasa | 24.04.2023 |
soalan: Mohon jelaskan sebab penanda wacana, Hal ini dikatakan demikian kerana tidak memerlukan tanda baca koma. Tidak seperti penanda-penanda wacana yang lain yang perlu diletakkan tanda koma setiap penggunaannya. | Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525-527, agar wujud kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana, penanda wacana digunakan. Dalam bahasa Melayu, terdapat sekurang-kurangnya lima jenis penanda wacana, iaitu: i. penanda penghubung ii. penanda rujukan iii. penanda penggantian iv. penanda leksikal v. penanda elipsis atau pengguguran Berdasarkan pertanyaan tuan/puan, dapat difahami bahawa penanda wacana tersebut ialah penanda penghubung yang dikategorikan sebagai penghubung musabab. Penanda penghubung ialah perkataan atau frasa yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan maklumat yang lain dalam wacana. Sekiranya penanda wacana hadir pada awal ayat, lazimnya tanda koma (,) digunakan. Selain itu, penghubung musabab ialah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu dan maka itu. Untuk makluman tuan/puan, kami di DBP berpegang pada buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan. Jika berlainan daripada apa yang ditulis, hal berkenaan di luar bidang kuasa kami. Untuk lebih jelas, mohon rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525-529. | Tatabahasa | 14.07.2023 |
Saya ingin memastikan penggunaan koma bertitik secara betul. Bersama ini saya sertakan sebahagian dokumen contoh untuk di ulas oleh pihak tuan/puan. Diharap contoh ulasan tuan/puan akan membantu saya sebagai asas rujukan untuk penulisan seterusnya. sekian terima kasih. | Tanda koma bertitik (;) digunakan apabila: i. Memisahkan dua atau beberapa klausa utama yang biasanya disambung dengan kata hubung dan, tetapi, atau, namun dan lalu. Contohnya: Malam makin larut; kerja masih banyak. ii. Memisahkan klausa yang dimulai dengan kata hubung juga, walau bagaimanpun, malah, di samping itu, oleh itu, oleh yang demekian dan sebagainya. Contohnya: Harga barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik iii. Memisahkan klausa-klausa yang terdapat dalam sesuatu ayat. Contohnya: Karya ini menggunakan berbagai-bagai pendekatan; ada yang menghasilkan kembali analisis Za'ba dan disesuaikan ke dalam bentuk buku teks; ada yang menerapkan teori baharu... iv. Memisahkan klausa yang bersiri, yang berlainan kategori, teruta ma jika bahagian keterangannya dipisahkan oleh koma. | Ejaan | 15.09.2015 |
bagaimanakah penggunaan tanda koma yang sebetulnya dalam ayat: Kami membeli pelbagai jenis sayur-sayuran seperti bayam kangkung sawi dan kobis. Adakah 'simpati' satu perkataan ataupun berasal dari 'simpat' dengan imbuhan akhiran 'i'? Sekian terima kasih. | Tanda koma berfungsi sebagai i. unsur pemisah kata dan frasa yang berurutan. Contoh, kami membeli sayur-sayuran seperti bayam, kangkung, sawi dan kubis; Bendera itu berjalur merah, putih dan biru. ii. Mengapit aposisi"dan sebaginya","dan yang lain", dan seumpamanya. Contoh, Sayur kubis, bayam,salad,kangkung,sawi, dan sebagainya, banyak dijual di pasar tani. Perkataan 'simpati' ialah satu perkataan dan bukan daripada perkataan 'simpat' dengan imbuhan akhiran'i'. Makna perkataan 'simpati' ialah 1. perasaan belas kasihan, timbang rasa, dsb terhadap seseorang atau sesuatu, terutamanya apabila ditimpa kesusahan: bencana spt itu seharusnya mendapat ~ dan bantuan dr dlm dan luar negeri; 2. perasaan bersetuju dgn menyokong sesuatu idea, pendapat, dsb bagi tujuan tertentu; Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Tatabahasa | 11.08.2009 |
1. Koma perlu diletakkan selepas kata seru seperti oh, wah. Oleh itu penggunaan yang betul adalah seperti di bawah, betul atau tidak? i) Oh, Tuhan. Selamatkanlah kami. ii) Ya Tuhan. Selamatkanlah kami. 2. cintakan/sayangkan - Kedua-dua ini disenaraikan dalam Kamus Bahasa Melayu dalam talian. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=sayangkan https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cintakan Adakah kedua-dua ini gramatis? Bukankah "cinta akan" dan "sayang akan" penggunaan yang betul dan gramatis berpandukan Tatabaha Dewan? Jadi, bolehkah "sayangkan" atau "cintakan" digunakan? | 1. Penulisan yang betul ialah Oh, Tuhanku, selamatkanlah mereka! Ya, Tuhanku, selamatkanlah kami! Sila rujuk halaman 255 buku Tatabahasa Dewan. 2. Penggunaan yang gramatis ialah sayang akan dan cinta akan. | Tatabahasa | 31.05.2021 |
Tuan, Terima kasih di atas respon yang diberi terhadap pertanyaan saya sebleum ini. Bagaimanapun, saya menghadapi kesukaran menerangkan kepada ahli mesyuarat saya tentang penggunaan huruf besar pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii). Mereka bertanya saya, "Kenapa perlu mulakan dengan huruf besar sedangkan sebenarnya setiap ayat tersebut adalah sambungan atau lanjutan daripada 'Murid akan dapat:'?". Harap tuan dapat membantu saya memberi penjelasan tentang perkara di atas. Kerjasama dan perhatian tuan amat dihargai. Terima kasih. Yang benar, (Susilawati Ehsan) Bahagian Pembangunan Kurikulum. | Penggunaan huruf besar pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) yang menggunakan tanda titik bertindih (:) adalah untuk menunjukkan keterangan yang boleh berdiri sendiri. Jika saudara menggunakan tanda koma bertitik (;) perlulah menggunakan huruf kecil pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) kerana ayat tersebut merupakan satu kesatuan. Ringkasnya, penggunaan huruf besar atau huruf kecil pada permulaaan ayat yang menggunakan (i), (ii) dan (iii) bergantung pada penggunaan tanda titik bertindih (:) ataupun tanda koma bertitik (;). Jika saudara menggunakan tanda titik bertindih (:), maka permulaan ayat perlu menggunakan huruf besar. Jika menggunakan tanda koma bertitik (;) perlu menggunakan huruf kecil pada permulaaan ayat. Contoh 1: (Ayat yang menggunakan tanda titik bertindih) Murid akan mendapat: i) Mengenal pasti ungkapan kuadratik (ii) Membentuk ungkapan kuadratik (iii) Menyelesaikan masalah yang melibatkan ungkapan kuadratik Contoh 2: (Ayat yang menggunakan tanda koma bertitik) Murid akan mendapat; i) mengenal pasti ungkapan kuadratik, (ii) membentuk ungkapan kuadratik, dan (iii) menyelesaikan masalah yang melibatkan ungkapan kuadratik. | Tatabahasa | 04.02.2010 |