salam. bolehkah pihak tuan menyatakan definisi dan konsep kata tugas dengan memberikan pendapat beberapa ahli bahasa? | Salam Cikgu Zaiton. Pihak kami menggunakan buku Tatabahasa Dewan sebagai sumber rujukan utama mengenai tatabahasa bahasa Melayu. Sekiranya pihak puan ingin mengetahui maklumat lanjut berkenaan konsep kata tugas yang dikemukakan oleh ahli bahasa yang lain puan, bolehlah merujuk buku Nahu Melayu Mutakhir. Namun begitu, di sini saya terangkan sedikit mengenai konsep kata tugas. Kata tugas ialah unit yang tidak dapat berdiri sendiri yang memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Fungsinya sebagai penghubung, penerang, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, dan pemeri. Contoh : dan, atau, wah, sila, maka, akan, sangat, pun, dan ialah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 91 - 93. | Tatabahasa | 23.09.2012 |
SALAM...Saya berhajar sangat untuk mendapatkan maklumat untuk menyiapkan tugasan saya sebagai plajar PJJ... SOALAN TUGASAN: BERIKAN DEFINISI DAN KONSEP KATA TUGAS BERPANDUKAN LIMA ORANG AHLI BAHASA/AKADEMIK. BOLEHKAH PIHAK TUAN MEMBERIKAN 5 ORG AHLI BAHASA TERSEBUT UTK MENGHURAIKAN MAKSUD KATA TUGAS. TERIMA KASIH. | Untuk melihat pendapat ahli bahasa tentang sesuatu konsep, maka rujuklah buku yang dikarangnya. Contohnya buku Tatabahasa Dewan disusun oleh empat orang tokoh bahasa, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Dr. Farid Onn, Prof. Dr. Hashim Haji Musa dan Prof. Dr. Abdul Hamid Mahmood. Buku Nahu Mutakhir dikarang oleh Prof. Emeritus. Dato' Dr. Asmah Haji Omar. Saudara boleh melihat persamaan dan perbezaan antara tokoh-tokoh bahasa tersebut dan perlu diingat penyusun buku Tatabahasa Dewan bersetuju dengan konsep tatabahasa yang dijadikan pegangan oleh kebanyakan ahli bahasa. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP dan saudara boleh rujuk buku karya tokoh bahasa yang lain juga. | Tatabahasa | 01.10.2012 |
apa konsep dan definisi kata tugas berpandukan lima ahli bahasa? | Untuk melihat pendapat ahli bahasa tentang sesuatu konsep, maka saudara perlu merujuk buku yang dikarang oleh mereka. Contohnya buku Tatabahasa Dewan disusun oleh empat orang tokoh bahasa, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Dr. Farid Onn, Prof. Dr. Hashim Haji Musa dan Prof. Dr. Abdul Hamid Mahmood. Buku Nahu Mutakhir dikarang oleh Prof. Emeritus. Dato' Dr. Asmah Haji Omar. Saudara boleh melihat persamaan dan perbezaan antara tokoh-tokoh bahasa tersebut dan perlu diingat penyusun buku Tatabahasa Dewan bersetuju dengan konsep tatabahasa yang dijadikan pegangan oleh kebanyakan ahli bahasa. | Tatabahasa | 10.11.2012 |
kepada tuan/puan, Persoalan tentang pembahagian golongan kata dalam bahasa Malaysia.. Dalam Bahasa Melayu biasanya golongan kata dibahagikan kepada 4 golongan iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja dan kata tugas. tetapi dalam bahasa english golongan kata dibahagikan kepada 8 golongan iaitu, kata nama, kata ganti nama, kata kerja, kata adverba, kata adjektif, kata sendi nama, kata gabungan dan kata seru. selain itu terdapat bahasa-bahasa lain juga dibahagikan kepada lebih daripada 8 golongan. Persoalan saya ialah mengapa penggolongan kata dalam bahasa melayu dibahagikan kepada 4 golongan yang berdasarkan kriteria endosentrik(kata nama, kerja, adjektif) dan eksosentrik(kata tugas)?. bahasa-bahasa lain seperti dalam bahasa english dan bahasa korea, soalan endosentrik dan eksosentrik juga wujud tetapi mereka masih membahagikan golongan kata mengikut fungsi-fungsi tertentu berdasarkan faktor sintaksis. Disebabkan kata-kata tugas mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri, dalam pengajian kita tidak seharusnya menganggapnya sebagai dalam satu golongan. tetapi dalam kebanyakan buku tatabahsa golongan kata terbahagi seperti ini. ini menyebabkan kewujudan satu pertanyaan dalam fikiran saya. Dengan terlebih dahulu mengucapkan terima kasih atas balasan surat yang akan datang. sekian terima kasih have a nice day^^ | Perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu boleh digolongkan kepada empat golongan, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Frasa endosentrik ialah frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif kerana frasa-frasa ini mempunyai satu unsur ini yang dapat menjadi wakil bagi frasanya, manakala frasa eksosentrik ialah frasa yang tidak terdapa unsur inti yang boleh mewakili keseluruhan frasanya, contoh frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 81 dan artikel bertajuk "Konsep Endosentrik dan Eksosentrik" dalam akhbar Berita Harian, 31 Julai 2000 yang ditulis oleh Nik Safiah Karim. | Tatabahasa | 05.06.2009 |
Nama saya Nipari Niduemong sedang belajar Bahasa Melayu dasar di Universiti Fatoni selatan Thai. Saya igin mengetahui tentang "Golongan kata"terdapat berapa bahgian dan terima kasih. | Golongan kata dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat ,iaitu kata nama,kata kerja,kata adjektif dan kata tugas. Kata nama am ialah kata yang merujuk kepada benda, orang atau konsep yang umum, misalnya jalan, guru dan kegemilangan, manakala kata nama khas ialah kata yang merujuk kepada orang, tempat benda yang khusus, misalnya Kuala Lumpur dan Muhammad. Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konsruksi frasa kerja. Frasa kerja terdiri daripada kata kerja yang boleh disertai beberapa unsur lain seperti kata bantu, objek, pelengkap, ayat komplemen, dan keterangan. Dua kumpulan utama golongan kata ialah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat. Kata adjektif boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat seperti amat sakit dan indah sekali. Kata tugas ialah unit yang tidak dapat berdiri sendiri yang memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Fungsinya sebagai penghubung, penerang, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, dan pemeri. | Tatabahasa | 24.10.2013 |
assalamualaikum, saya ingin bertanya... apakah konsep kata adverba? | Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara ,masa dan tempat. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 289 untuk keterangan lanjut. Kata adverb dimasukkan sebagai subkelas kata di bawah kelas kata tugas. | Lain-lain | 15.07.2018 |
Assalamualaikum, Saya ada dua soalan mengenai adverba. Apakah persamaan dan perbezaan binaan frasa adverba dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? 2. Apakah perbezaan binaan frasa adverba dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? saya amat keliru mengenai adverba, dan rata-rata pelajar juga keliru dengan adverba kerana dalam Tatabahasa Dewan, hanya terdapat kata adverba dibawah kata tugas.Manakala, berdasarkan Nahu Melayu Mutakhir hanya menceritakan frasa adverba. bagaimana sebagai seorang pelajar untuk menerima dengan sebenar-benarnya mengenai binaan dan fungsi frasa adverba agar tidak terkeliru. Mohon penjelasn. Terima Kasih. | Buku Tatabahasa Dewan merupakan tatabahasa pegangan Kementerian Pendidikan Malaysia yang merakamkan sistem bahasa Melayu yang merupakan salah satu korpus utama bahasa Melayu. Mengikut Tatabahasa Dewan, kata adverba tidak perlu dan tidak tepat bagi bahasa Melayu. Konsep kata adverba membawa pengertian bentuk kata yang berfungsi menerangkan kata kerja dalam predikat. Misalnya: Dia berjalan dengan cepat. Air sungai itu mengalir tenang. Kata-kata seperti cepat dan tenang menjadi unsur keterangan kepada kata kerja. Namun, dalam bahasa Melayu, unsur keterangan tidak hanya terbatas pada menerangkan kata kerja kerana predikat ayat dalam bahasa Melayu boleh terdiri daripada struktur-struktur lain, iaitu frasa nama(FN), frasa adjektif(FA) dan frasa sendi nama(FSN). Misalnya: Pegawai itu sibuk selalu. Mereka ke Johor Bahru dengan segera. Dalam ayat di atas, selalu dan dengan segera masing-masing menerangkan frasa adjektif sibuk dan frasa sendi nama ke Johor Bahru, iaitu predikat ayat. Konsep adverba tidak dapat digunakan dalam keadaan ini kerana tidak ada kata kerja yang terlibat. Golongan kata adverba sesuai dengan bahasa-bahasa seperti bahasa Inggeris yang mempunyai satu struktur predikat iaitu, frasa kerja. Bagi bahasa Melayu yang mempunyai empat struktur frasa predikat, istilah keterangan lebih sesuai, iaitu melihat gejala ini dari segi fungsinya (menerangkan) tidak kira yang diterangkan itu kata kerja, kata adjektif, kata sendi nama atau kata nama. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga menghuraikan kata adverba pada halaman 289-295. | Tatabahasa | 18.11.2014 |
Saya maklum bahawa Tatabahasa Dewan menetapkan hanya 15 sahaja dikategorikan sebagai majmuk mantap. Namun, ada buku-buku ilmiah malah para pendidik menyatakan ia lebih daripada itu iaitu sebilangannya menyatakan ada 33; ada juga menyatakan ada 41. Selain yang 15 itu misalnya ialah bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. Soalan saya kenapa perkataan ini bukan tergolong dalam majmuk mantap dan apakah kategori perkataan ini? Soalan kedua, antara Kamus Dewan Bahasa & Tatabahasa Dewan, yang mana lebih betul apabila berlaku percanggahan. Misalnya dalam soal kata baru dan baharu. Kamus menyamakan maksud baharu sebagai baru tetapi Tatabahasa Dewan membezakannya. Untuk makluman, saya merupakan pencita bahasa dan kerap berkongsi ilmu bahasa kepada umum. Antaranya dalam aplikasi Twitter menggunakan tanda pagar #PerkasaBMKita. Sumbangan saya ini diharap membantu sedikit sebanyak dalam memartabatkan penggunaan bahasa melayu yang betul. Terima kasih. | 1. Berdasarkan rujukan daripada buku Tatabahasa Dewan, kata majmuk ialah gabungan dua patah perkataan atau lebih yang mempunyai makna yang berbeza dan menjadi satu makna lain atau makna baharu apabila perkataan tersebut digabungkan. Konsep kata majmuk juga harus mendukung maksud umum, contohnya: kerusi malas, maksud khusus, cthnya: pita suara dan maksud kiasan, cthnya: kaki ayam. Perkataan seperti bendahari, sukacita, kadangkala, apabila, peribadi dll. itu tidak dikategorikan sebagai perkataan majmuk mantap kerana perkataan-perkataan ini tidak mendukung konsep kata majmuk dan perkataan-perkataan ini bukan kata majmuk. Jika mengikut kategori, terdapat dua kategori dalam tatabahasa Melayu, iaitu golongan kata dan bentuk kata. Golongan kata terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas, manakala bentuk kata pula, terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, kata majmuk. Contohnya maksud perkataan “apabila” tidak mendukung maksud ketiga-tiga konsep kata majmuk tersebut kerana perkataan ”apa” , “bila”, dan “apabila” ialah kata tunggal jika kita melihatnya dari segi bentuk kata, dan kata tugas jika kita melihatnya dari segi golongan kata, Perkataan “sukacita” pula ialah kata adjektif, “kadangkala” ialah kata kata tugas, “peribadi” ialah kata nama. 2. Untuk maklumat yang lebih tepat dari segi tatabahasa, tuan/puan disarankan untuk merujuk Tatabahasa Dewan kerana kamus umum hanya merakamkan pelbagai bentuk kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 25.06.2018 |