1. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "segar" dengan betul. I. Peristiwa lucu itu masih segar dalam ingatannya. II. Ayah suka makan buah-buahan segar untuk mengalas perut. III. Udara di kaki bukit pada waktu pagi sungguh nyaman dan segar. IV. Badan Ali kembali segar setelah dia mandi di perigi itu. A. I dan IV sahaja B. I, II dan III sahaja C. II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV 2. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "mencecah" dengan betul. I. Cikgu Ujang menegur Saidin kerana rambutnya mencecah telinga. II. Adik mencecah hujung jari telunjuknya pada permukaan air yang sejuk itu. III. Datuk mencecah biskut dengan air kopi sewaktu minum petang. IV. Air sungai itu telah mencecah paras bahaya. A. I dan III sahaja B. I, II dan IV sahaja C, II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV | Sdr. Ong, Bagi soalan pertama jawapannya ialah D, semuanya betul. Manakala soalan kedua pula jawapannya ialah B, i,ii,dan iv. | Tatabahasa | 08.04.2010 |
Saya ingin mengetahui tentang tugas, peranan dan tanggungjawab seorang editor di dalam sesebuah penerbitan | Saudara, Dalam sesebuah penerbit, tugas, peranan dan tanggungjawab seseorang editor itu bergantung pada kerja yang dilakukan oleh mereka. Maksudnya, editor itu sendiri terdiri daripada beberapa kategori, contohnya, Ketua Editor, Editor Kanan, Editor Perolehan, Editor Substantif, Editor Kopi/Naskhah dan Editor Pengeluaran. Peranan mereka bergantung pada kerja yang dilakukan seperti yang berikut: (i) Ketua Editor akan mengetuai kumpulan editor dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perancangan penerbitan dan belanjawan tahunan secara keseluruhan. (ii) Editor Kanan pula akan membantu Ketua Editor menjayakan kerja penerbitan dan mengawasi editor lain di bawaha pengawalannya. (iii) Editor Perolehan akan bertanggungjawab merancang penulisan judul baharu, mengenal pasti penulis, menguruskan perjanjian dengan penulis, menilai mutu manuskrip, mencadangkan cetak semula judul yang ada, meramal jualan, membuat anggaran kos perbelanjaan, membuat laporan cadangan projek dan menganggarkan jumlah cetakan dan harga jualan. (iv) Editor Substantif ialah editor yang bertanggungjawab terhadap isi kandungan dan keseluruhan bentuk, susunan dan konsep buku. Tugasnya ialah menumpukan perhatian kepada perincian kandungan (memeriksa fakta) dan gaya persembahan daripada baris ke baris, perenggan ke perenggan dan halaman ke halaman. (v) Editor Kopi/Naskhah pula bertanggungjawab terhadap penyediaan manuskrip untuk ke bahagian pengeluaran. Tugas mereka ialah menyunting manuskrip daripada setiap ayat demi ayat, baris demi baris dan perenggan demi perenggan. Seterusnya memerikasa fakta dengan pakar bidang, membetulkan tatabahasa, ejaan, dan tanda baca, meneliti keselarasan dan gaya persembahan dan akhirnya membuat penandaan manuskrip untuk diatur huruf. (vi) Editor Pengeluaran akan memastikan kerja atur huruf, semakan pruf dan Naskhah Sedia Kamera(NSK) serta penetapan harga dilakukan sebelum judul dicetak. Diharap maklumat ini dapat membantu saudara. Hubungi saya di talian 03-21481532 atau e-mel kamsiah@dbp.gov.my untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Teriama kasih. | Lain-lain | 25.10.2010 |
Bagaimana menggunakan tanda titik koma dengan betul dalam ayat,bagaimana ingin membezakan tanda baca titik koma dengan tanda baca koma dalam ayat,mengapa tanda baca ini jarang digunakan dan sila nyatakan beberapa contoh ayat yang mengandungi tanda baca titik koma. | Dibetulkan istilah tanda baca, daripada 'titik koma' kepada 'koma bertitik'. Tanda koma bertitik (;) digunakan apabila: (a) memisahkan dua atau beberapa klausa dalam satu ayat. Contohnya: (i) Membaca menambah ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikanlah kedua-dua ini pegangan hidupmu. (ii) Malam makin larut; kerja masih banyak. (b) memisahkan klausa induk daripada klausa atau frasa yang bermula dengan kata hubung juga, walau bagaimanapun, di samping itu, oleh yang demikian, sesungguhnya, dan sebagainya. Contohnya: (i) Harga barang-barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik. (ii) Antara pendekatan yang boleh digunakan termasuklah pendekatan psikologi; pendekatan androgogi; dan pendekatan sinergogi. (c) memisahkan klausa yang bersiri yang berlainan maklumat dalam satu ayat yang lengkap. Contohnya: kepada mereka yang selamat, diucapkan syukur; kepada mereka yang cedera, diminta bersabar; dan kepada keluarga mereka yang gugur, diucapkan takziah. Tanda koma (,) digunakan: (a) sebagai unsur pemisah. (b) sebagai unsur yang mengapit keterangan subjek, predikat atau objek. Contohnya: (i) Duit syiling itu jatuh, dan sebelum sempat dipungutnya, bergolek laju ke dalam lubang. (ii) Pagi tadi, sebelum datang ke sini, saya singgah sebentar di pejabat. (iii) Lima belas orang, termasuk dua orang wanita, telah menyertai bengkel itu. (c) mewujudkan ada perkataan yang telah dihilangkan. Contohnya: Saya mahu kopi. Dia, teh tarik. Tanda koma bertitik jarang digunakan, mungkin disebabkan pengguna kurang faham. Perbezaan penggunaannya tidak ketara, boleh menggunakan sama ada tanda koma atau koma bertitik untuk memisahkan beberapa klausa dalam ayat. Kecuali, jika dalam beberapa klausa ada penggunaan tanda koma. | Lain-lain | 04.03.2012 |