A melawat ke pameran hasil kraf tangan B melawat ke Pameran Hasil Kraf Tangan mana satu betul? adakah kedua-dua betul berdasarkan keadaan? ini kerana tiada kain rentang/ gambar menulis Pameran Hasil Kraf Tangan maka boleh tulis melawat ke pameran hasil kraf tangan | Jika kain rentang, boleh ditulis seperti yang berikut: - Pameran Kraf Tangan
- Selamat Datang ke Pameran Kraf Tangan
Jika ayat biasa bolehlah ditulis seperti yang berikut: - [Subjek] melawat ke pameran hasil kraf tangan.
- [Subjek] melawat ke Pameran Hasil Kraf Tangan Kebangsaan 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
| Tatabahasa | 16.07.2014 |
Penggunaan perkataan ikonik dalam ayat di bawah:- Terdapat dua buah Kompleks Kraf yang menjadi ikonik kepada perkembangan industri kraf negara iaitu Kompleks Kuala Lumpur dan Kompleks Kraf Langkawi. | Kami berpendapat bahawa penggunaan "ikonik" dalam ayat tersebut tidak sesuai digunakan bagi merujuk kepada Kompleks Kuala Lumpur dan Kompleks Kraf Langkawi. Hal ini disebabkan 'ikonik' bermaksud mempunyai sifat menyerupai sesuatu ikon (gambar, lukisan, imej gambaran), memang tiada kena-mengena dengan struktur yang didirikan. Sehubungan dengan itu, dicadangkan supaya digunakan mercu tanda atau lambang kerana lebih sesuai. | Istilah | 07.07.2015 |
saya merupakan pelajar tahun akhir di ums... sekarang saya sedang menulis tesis tentang kraftangan di sabah. saya ingin kepastian ejaan "kraftangan" sama ada di jauhkan atau di dekatkan... menurut kamus edisi ke 4, ejanya jauh. | Ejaan yang betul ialah kraf tangan kerana kata majmuk kraf tangan hasil gabungan kraf dan tangan dan kedua-dua perkataan tersebut boleh berdiri sendiri. Kraf tangan tidak termasuk dalam senarai kata majmuk yang mantap yang dieja dalam satu perkataan.. | Ejaan | 21.11.2012 |
Kebanyakan hasil kraf tangan kaum Iban 'diperbuat' daripada manik. Adakah perkataan 'diperbuat' itu betul dalam ayat ini? | Perkataan "diperbuat" dalam ayat tersebut betul. | Lain-lain | 23.05.2016 |
Assalamualaikum. Baru-baru ini, ada beberapa orang murid bertanya kepada saya adakah ejaan KRAF TANGAN dieja rapat atau dijarakkan? ada guru yang mengatakan bahawa ejaan kraf tangan sudah dirapatkan semula ejaannya menjadi kraftangan. adakah perkara tersebut benar? terima kasih. | Perkataan kraf tangan yang merupakan kata majmuk dieja sebagai dua perkataan. Walau bagaimanapun perkataan ini dieja sebagai satu perkataan bagi Lembaga Kraftangan Malaysia kerana ini merupakan nama khas yang telah berdaftar diwartakan. | Lain-lain | 20.06.2017 |
1(a). Hasil kraf tangan tersebut termasuklah anyaman daripada daun kelapa dan ukiran. 1(b). Hasil kraf tangan tersebut termasuklah barangan daripada daun kelapa dan ukiran. 2(a). Mereka melihat pelbagai anyaman seperti bakul, sarung ketupat dan burung hiasan. Semuanya diperbuat daripada daun kelapa. 2(b). Mereka melihat pelbagai barangan seperti bakul, sarung ketupat dan burung hiasan. Semuanya diperbuat daripada daun kelapa. Ayat yang mana satu lebih tepat? Terima kasih. | Kesemua contoh ayat adalah betul. Walau bagaimanapun untuk konteks ayat sebegini perkataan anyaman lebih tepat menggantikan barangan. | Tatabahasa | 16.02.2017 |
Kraftangan Malaysia sedang menyelaras pindaan akta bagi Institut Kraf Negara. Mohon pandangan ke atas penggunaan perkataan yang sesuai untuk diguna pakai di dalam akta nanti. Disertakan petikan pindaan akta seperti berikut: a) mengadakan kemudahan-kemudahan latihan termasuk pusat pengajian berasaskan kemahiran kraf.... atau mengadakan kemudahan-kemudahan latihan termasuk pusat pendidikan berasaskan kemahiran kraf. yang mana lebih sesuai pengajian atau pendidikan. mohon pencerahan | Pendidikan bermaksud perihal mendidik, pengajian bermaksud perihal mengaji. Jika yang dimaksudkan ialah perihal mendidik, maka perkataan yang sesuai ialah pendidikan. Kata kerja pendidikan lebih banyak digunakan, malah akta yang dirujuk ialah Akta Pendidikan dan kementerian yang bertanggungjawab ialah Kementerian Pendidikan Malaysia.
| Tatabahasa | 18.05.2017 |
Adakah betul penggunaan perkataan 'polemik' di dalam ayat di bawah? Kemasukan produk kraf dari negara luar seperti produk songket dan sebagainya sehingga mencetuskan polemik semasa, yang sedikit sebanyak menimbulkan rasa kebimbangan terutama di kalangan usahawan dan pengeluar kraf tempatan. | Mengikut Kamus Dewan, polemik ialah perbahasan (perdebatan, perbantahan), maka penggunaan kata polemik dalam ayat yang puan kemukakan betul. Namun ayat puan boleh dibetulkan seperti berikut: Kemasukan produk kraf seperti produk songket dan sebagainya dari negara luar mencetuskan polemik semasa yang sedikit sebanyak menimbulkan rasa kebimbangan terutama dalam kalangan usahawan dan pengeluar kraf tempatan. | Tatabahasa | 26.11.2014 |
Salam, saya keliru dengan penggunaan kata pemeri ialah/adalah, sila lihat dua ayat berikut, "Bahagian penting setiap kraf memilih alatan yang sesuai untuk sesuatu tugas," "Bahagian penting setiap kraf ialah/adalah memilih alatan yang sesuai untuk sesuatu tugas." Dari segi tatabahasa ialah/adalah tidak boleh muncul di hadapan kata kerja. Oleh sebab itu saya keliru kerana ayat tanpa kata pemeri di atas seolah-olah tidak lengkap. Terima kasih. | Ayat tersebut dapat ditulis seperti yang berikut: Bahagian penting setiap kraf ialah bahagian memilih alatan yang sesuai untuk sesuatu tugas. | Tatabahasa | 24.07.2012 |
Assalamualaikum, Mohon penjelasan tentang penggunaan perkataan ' kita' dan 'kalian' dalam ayat-ayat di bawah: 1."Kita perlu menghasilkan kraf tangan yang cantik dan berkualiti supaya pelanggan akan tertarik untuk membelinya," kata Encik Mansor kepada para pekerjanya. 2."Kalian perlu menghasilkan kraf tangan yang cantik dan berkualiti supaya pelanggan akan tertarik untuk membelinya," kata Encik Mansor kepada para pekerjanya. Prsoalan saya ialah, penggunaan perkataan 'kita' dan 'kalian' dalam ayat di atas, ayat manakah yang lebih tepat dan betul. Mohon penjelasan dari pihka tuan. Terima kasih. | Kata ganti nama diri kita merujuk pihak yang berbicara dan yang dilawan bicara, iaitu penutur dan pendengar. Kalian merujuk kamu semua. Dalam ayat contoh yang diberikan, kedua-duanya betul tetapi berbeza maksud. Dalam ayat 1 ("Kita perlu menghasilkan kraf tangan yang cantik dan berkualiti supaya pelanggan akan tertarik untuk membelinya," kata Encik Mansor kepada para pekerjanya), penggunaan kita turut melibatkan Encik Mansorbersama-sama pekerjanya, manakala dalam ayat 2, ("Kalian perlu menghasilkan kraf tangan yang cantik dan berkualiti supaya pelanggan akan tertarik untuk membelinya," kata Encik Mansor kepada para pekerjanya) tidak melibatkan penyertaan Encik Mansor kerana maksud kalian ialah kamu semua. | Tatabahasa | 01.07.2010 |