Kata Ganti Nama "ku" dirapatkan dengan Kata Kerja Pasif. Contoh: Kuangkat, kuberi, kuselidiki, dan lain-lain. Soalan saya, bolehkah KGN "ku" dirapatkan dengan Kata Kerja Pasif yang mendapat imbuhan depan menjadi kudicipta, kuberjalan, kutertawa? Terima kasih. | ku- merupakan singkatan bagi aku. Singkatan tidak boleh berdiri sendiri dan perlu dieja rapat. Ku sebagai kata klitik diikuti kata kerja tanpa imbuhan awalan. Penggunaan yang betul ialah "Aku dicipta, Aku berjalan dan Aku tertawa" | Tatabahasa | 14.06.2023 |
1. Saya tahu bahawa perkataan 'ku' dan 'kau' perlu dieja rapat. Contohnya, milikmu, pelukanmu, kuberi, kumakan dan kubangun. Tetapi, jika perkataan sebelum 'ku' ialah kata adjektif/sifat, adakah masih perlu dieja rapat? Kusedih atau ku sedih. Kaucantik atau kau cantik? 2. Selain daripada merujuk buku tatabahasa dewan, adakah DBP menyediakan rujukan tatabahasa atau FAQ tatabahasa dalam talian? | 1. Untuk makluman, kata ganti nama diri singkat kau, ku, dan kau tidak boleh berdiri sendiri. Kata-kata tersebut harus ditulis serangkai dengan kata lain. Untuk kata ganti nama diri “ku” (kependekan aku), boleh digunakan dalam 3 keadaan: a) digunakan sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif. Contoh kuingin, kubaca, kudengar, kulihat, kupegang. b) digunakan sebagai akhiran yang terikat dengan kata kerja yang mengikutinya. Contoh menemaniku, memarahiku. c) digunakan sebagai akhiran yang terikat dengan kata nama yang mengikutinya. Contoh rumahku, kekasihku, adikku. Untuk kata ganti nama diri "kau" (kependekan engkau), hanya boleh diletakkan di awal perkataan. Contoh kauhantar, kausimpan, kaukemukakan. 2. Untuk rujukan, puan boleh menggunakan enjin carian yang telah disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan salah satu cara untuk membuat rujukan, mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari /http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari”. Puan juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan buku-buku tatabahasa yang diterbitkan oleh DBP, dengan melayari laman web Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP: pustakav2.dbp.gov.my/index.php. Laman ini memaparkan KATALOG AWAM DALAM TALIAN (KAWAT). Cara menggunakannya ialah dengan menaip judul buku atau pengarang dan klik cari.
| Tatabahasa | 25.10.2022 |