Salam sejahtera, adalah pada konteks tertentu seperti diri seseorang, kata "pada" dan "kepada" boleh digunakan bersilih ganti? Sekian, terima kasih. | 1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu. 2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. Jadi, kata sendi "pada" dan "kepada" boleh digunakan pada manusia/orang mengikut situasi tertentu. | Tatabahasa | 16.05.2020 |
Saya berjanji "pada", "kepada", "dengan" atau "terhadap" dia? Mohon berikan contoh untuk menunjukkan bezanya. Terima kasih. | Salam sejahtera, "Pada", "kepada", "dengan" dan "terhadap" merupakan kata sendi. 1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkanketerangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu. 2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. 3. Kata sendi "dengan" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama. Contoh: (i) Ayah pergi ke pecan dengan ibu. (ii) Hasilnya tidak setimpal dengan usahanya. 4. Kata sendi "terhadap" biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contoh: (I) Seorang ketua harus sentiasa bersikap adil terhadap anak buahnya. (ii) Air bersifat lengai terhadap logam adi. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 12.10.2017 |
Tuan , saya ingin tahu manakah penyataan yang betul untuk ayat-ayat di bawah I Anak itu menyangka orang itu bapanya. II Adik menamai kucing itu Si Belang. i)Ayat di atas mengandungi dua objek. ii) Frasa (bapanya dan Si Belang) ialah penerang. iii) Kedua-dua ayat di atas dapat dipasifkan. iv) Kata kerja yang digunakan ialah kata kerja tak transitif. Mohon penjelasan daripada pihak tuan. Sekian, terima kasih. | 1. Ayat tersebut masing-masing mengandungi satu objek. 2. Kata kerja yang digunakan ialah kata kerja transitif. | Tatabahasa | 08.05.2013 |
1. Adakah: i. "Kucing itu melompat dari / daripada kereta @ tangan @ tingkap"? ii. "Dia keluar dari / daripada kereta", "Roti itu dikeluarkan dari / daripada ketuhar"? - menunjukkan tempat atau arah? (DARI) - menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad? (DARIPADA) Saya nampak beberapa nasihat yang berbeza daripada DBP di ruang Khidmat Nasihat. Soalan ini diuja oleh rakan lain dan dijawab pada 06.07.2022, namun nasihat yang diterima tidak menjawab soalan tersebut. Minta pencerahan pegawai. Minta terus bagi jawapan yang sepatutnya, dan bukan sekadar penjelasan menggunakan definisi kata sendi nama. Didahului dengan terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 1) Kucing itu melompat daripada kereta. 2) Roti itu dikeluarkan daripada ketuhar. Kata sendi nama daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad. | Tatabahasa | 05.07.2024 |
Assalamualaikum... Boleh jelaskan jawapan yang tepat. 1."Sila semak jawapan ________sebelum menghantarnya," pesan Cikgu Lina kepada murid-murid kelasnya. Jawapannya kamu atau anda. 2.Saya yakin ________dia akan menang nanti. Jawapannya yang atau bahawa 3. Adakah kedua-dua ayat ini ayat tunggal. i. Kucing itu mengiau. ii.Hakim membeli pen di Kedai Runcit Zaki. | Waalaikumussalam, 1. Sila semak jawapan kamu sebelum menghantarnya," pesan Cikgu Lina kepada murid-murid kelasnya. 2. Saya yakin yang dia akan menang nanti. 3. i.. Kucing itu mengigau - ayat tunggal ii. Hakim membeli pen di Kedai Runcit Zakit - ayat penyata | Tatabahasa | 18.08.2015 |
Salam sejahtera pihak DBP, Saya selalu keliru dengan penggunaan perkataan kata sendi nama seperti berikut: 1. Adakah: i. "Kucing itu melompat dari / daripada kereta @ tangan @ tingkap"? ii. "Dia keluar dari / daripada kereta", "Roti itu dikeluarkan dari / daripada ketuhar"? - menunjukkan tempat atau arah? (DARI) - menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad? (DARIPADA) Saya nampak beberapa nasihat yang berbeza daripada DBP di ruang Khidmat Nasihat. 2. "Dia buat sesuatu terhadap / kepada / pada saya." 3. "Perkara itu terjadi kepada / pada saya." | 1. Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama yang merujuk arah, tempat dan masa, seperti Dia berasal dari kampung; manakala kata sendi nama digunakan di hadapan kata nama yang merujuk sumber dan perbandingan, seperti Roti diperbuat daripada tepung. 2. Kata sendi nama terhadap digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan, Jangan bersikap biadab terhadap orang tua; kata sendi nama kepada digunakan untuk merujuk sasaran, Lagu ini ditujukan kepada kekasihnya; dan kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, Pertandingan ini diadakan pada peringkat kebangsaan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 265. | Tatabahasa | 06.07.2022 |
Mohon pihak tuan untuk membetulkan ayat di bawah: i) Mesyuarat dimaklumkan slip gaji diperlukan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran tuntutan ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut digiliri. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut Pohon pihak tuan supaya dapat menerangkan struktur ayat 'di.....i' dan 'di......kan', 'me/meng/mem....i' dan ' me/mem/meng....kan' kerana terdapat kekeliruan dalam penggunaan kata imbuhan tersebut. Sekian, terima kasih. | i) Mesyuarat dimaklumkan bahawa slip gaji diperlukan bagi mempercepat dan memudahkan proses pembayaran tuntutan. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut dilakukan secara bergilir. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut. Kedua-dua ayat terebut betul. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) | Tatabahasa | 21.11.2013 |
APAKAH JAWAPAN BAGI SOALAN SAYA?:BAGAIMANA HENDAK MEMBEZAKAN ...i DAN ...kan?TERIMA KASIH | Fungsi apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, dibahagikan kepada tiga: (i) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad. b. Pak osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (ii) Bagi kata kerja tertentu, perbezaan penggunaan apitan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (ii)b sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i tetapi telah digugurkan i. (iii) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: a. Ali membaiki kereta yang rosak. b. Ali membaikkan kereta yang rosak. Harap maklum. | Tatabahasa | 13.09.2006 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang cara paling mudah untuk membezakan penggunaan perkataan memberi dengan perkataan memberikan. sering kali berlaku kekeliruan untuk membezakan penggunaan kata tersebut dalam penulisan ayat. berikan tips yang mudah untuk menerangkannya kepada murid. | Saudara, Bagi kata kerja tertentu, perbezaan penggunaan apitanmeN...kan dan men...i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan men...kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN...i menerima objek yang bernyawa. Contoh ayat: i. Ali memberi kucing makanan. ii. Ali memberikan makanan kepada kucing. | Tatabahasa | 02.08.2010 |
Selamat sejahtera. Saya ingin bertanya tentang apakah perbezaan dalam penggunaan imbuhan mem..kan dengan mem..i ? Dan buku manakah yang sesuai dalam kajian tatabahasa Bahasa Malaysia? | Apabila dibandingkan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, fungsinya dapat dibahagikan kepada tiga: i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i mendakan lokatif. Contohnya: Ayah menghadiahkan sebuah basikal kepada Osman, Ayah menghadiahi Osman sebuah basikal. ii. Bagi kata kerja tertentu, lazimnya apitan meN-...-kan menerima objek yang tidak bernyawa, manakala meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Contohnya: Ali memberi kucing makan, Ali memberikan makanan kepada kucing. iii. Bagi sebilangan kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: Mereka cuba melupai/melupakan peristiwa itu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 207-208. | Tatabahasa | 24.06.2011 |