1. Adakah penggunaan perkataan 'antaranya @ antara' boleh hadir di pangkal ayat? Contoh ayat; Antara langkah-langkah membanteras gejala rasuah adalah..., Antaranya ialah... 2. Adakah penggunaan perkataan 'ia' boleh digunakan untuk merujuk kepada sesuatu tajuk? Contoh ayat; Bergotong-royong merupakan salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Secara tidak langsung, ia akan memastikan kerjasama dalam masyarakat terjalin erat. | 1. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. 2. Ia, kata ganti nama diri ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. Penggunaan "ia" menggantikan benda/subjek (bukan binatang) yang dibicarakan adalah betul sama seperti penggunaan it dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada benda/subjek yang dibicarakan. | Tatabahasa | 23.08.2014 |
1. Apakah penggunan yang betul untuk "sebagai contoh" atau "sebagai contohnya" di permulaan ayat? Sebagai contohnya, kawasan dalam jarak sepuluh meter dari tebing sungai dijadikan kawasan rizab. 2. Ayat yang sesuai untuk penggunaan "contoh" dan "contohnya". 3. Adakah senarai sesuatu perkara perlu dimulakan dengan huruf besar dan diakhiri dengan noktah. Contoh: Langkah-langkah untuk mengatasi hakisan cerun bukit adalah seperti yang berikut: (a) Menanam tanaman litup bumi. (b) Membina benteng daripada simen. (c) Membina sistem saliran. Sekian. Terima kasih. | 1. Penggunaan frasa "sebagai contoh" lebih tepat kerana "nya" ialah kata ganti nama dan tidak perlu hadir dalam frasa tersebut. Dan begitu juga dalam perkataan contoh, tidak perlu contohnya. 3. Langkah-langkah untuk mengatasi hakisan cerun bukit adalah seperti yang berikut: (a) Menanam tanaman litup bumi. (b) Membina benteng daripada simen. (c) Membina sistem saliran. Penggunaan tanda baca dalam ayat contoh yang diberikan, betul. | Tatabahasa | 19.11.2012 |
saya seorang yang suka berkarya tetapi tidak berani menunjukkan bakat yang saya miliki...soalan,bagaimana saya boleh memberanikan diri untuk berdepan dengan pengkarya seperti saya ini????? | Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada saudari kerana mempunyai keberanian untuk bertanya tentang bakat dan potensi diri kepada pihak kami. Sebagai seorang manusia, setiap daripada kita mempunyai bakat yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap hamba-Nya untuk kita melalui perjalanan hidup ini di muka buminya. Justeru, seseorang itu harus mencari dan meneroka bakat ada ada pada diri sehingga seseorang itu tahu bahawa itulah potensi dirinya yang sebenar dan seterusnya memberikan fokus kepada bakat tersebut. bakat yang dimaksudkan di sini ialah pelbagai jenis kemahiran semula jadi seperti memasak, bertukang, menjahit, dan termasuklah menulis atau mengarang. Memang semua perkara tersebut boleh dipelajari, namun bakat semula yang ada pada seseorang itu akan menjadi sesebuah hasil itu lebih baik dan tinggi mutunya. Persoalan di sini sekarang ialah saudari merasakan diri seorang mempunyai bakat dan saudari juga telah menulis, tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah ketidak beranian saudari untuk menonjolkan karya saudari itu di khalayak ramai atau pembaca. Bagi kami, langkah pemula yang harus saudari ambil ialah yakin bahawa saudari harus menghantar karya saudari itu kepada mana-mana pihak penerbit. Langkah kedua, saudari boleh menyertai mana-mana bengkel penulis atau kursus penulisan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Langkah ketiga, saudari boleh mengikuti mana-mana seminar yang berkaitan dengan kesusasteraan atau penulisan. Semua langkah yang diberi ini akan menambahkan keyakinan saudari terhadap diri sendiri dan bakat yang ada. Seterusnya, saudari juga harus berani bertemu atau menelefon mana-mana pihak penerbit untuk bertanya dan berbincang tentang karya yang saudari hasilkan itu sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Jika saudari tidak melakukan, bakat dan potensi diri saudari itu akan terhakis sedikit demi sedikit. Oleh itu saudari harus memulakan. Semua bergantung kepada diri saudari sendiri. Bagi pihak DBP, kami mencadangakan saudari merujuk laman web DBP untuk mengetahui bengkel, kursus atau seminar yang dianjurkan oleh pihak kami. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.10.2009 |