| Untuk frasa apa memper~(kan) ,(kan)tidak wujud | Soalan yang dikemukakan tidak jelas. Jika mengenai apitan memper- kan, apitan ini menerima golongan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya, memperisterikan, mempersendakan, memperdengarkan, memperbandingkan. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-...-kan ini bersifat transitif, iaitu diikuti oleh objek. Manakala, akhiran -kan pula ialah akhiran yang membentuk kata kerja. Semua golongan kata utama, iaiatu kata nama, kata kerja, kata adjektif , dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 31.05.2013 |
| Salam Sejahtera. 1. Bagaimanakah cara yang betul untuk menulis sinkope 'tu', 'ni', 'kan', 'nak'? 2. Ada editor yang meletakkan tanda (') sebelum perkataan kan = 'kan. Apakah fungsi (') 3. Perlukah juga meletakkan tanda (') pada singkatan cu = cucu, nak = anak, pak = bapak? Terima kasih | Salam sejahtera, 1. Untuk singkatan tu, ni, kan dan nak = singkatan tersebut sudah betul. Untuk kan, hanya kan yang berfungsi sebagai imbuhan sahaja dieja bersambung dengan perkataan sebelumnya. Selain itu "kan" dieja terpisah kerana kan dalam percakapan bermaksud bukan atau tidak membawa apa-apa makna. 2. Editor tidak meletakkan tanda (') sebelum perkataan kan. 3. Tidak perlu meletakkan (') pada kependekan cucu, anak dan bapak. Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, mohon rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4. | Tatabahasa | 23.09.2015 |
| Imbuhan 'MeN..i/kan' amat mengelirukan.Apakah formula terbaik nak bezakan keduanya? Apa beza..1.memberi/kan 2menjauhi/kan 3.menjahit/kan 4.menemui/kan?TQVM | Apitan meN...i diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN...kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 191. Awalan kata kerja meN-... mendukung maksud melakukan sesuatu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan. Topik ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam halaman 158-160. Untuk melihat perbezaan makna antara kata terbitan dengan awam meN-... dan kata kerja meN-...kan rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
| Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
| saya kurang arif mengenai penambahan 'kan'. | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Empat, halaman 183,184,185 | Tatabahasa | 03.07.2014 |
| saya ingin mengetahui penggunaan me-... kan, me...i, memper, memper... kan, | Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Contoh ayat: Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad. Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan. Untuk makluman lanjut berkaitan apitan (me-...kan, me...i, memper...kan) dan awalan (memper...) sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. | Tatabahasa | 05.08.2010 |
| "Maafkan saya" atau "Maafi saya"? Bagaimanakah untuk membezakan penggunaan "-i" dan "-kan", "meN-...-i" dan "meN-...-kan", "di-...-i" dan "di-...-kan", "memper-...-i" dan "memper-...-kan" serta "diper-...-i" dan diper-...-kan"? | Penggunaan frasa yang betul ialah “maafkan saya”. - Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan imbuhan "-i", "-kan", "meN-...-i", "meN-...-kan", "di-...-i", "di-...-kan", "memper-...-i", "memper-...-kan", "diper-...-i" dan diper-...-kan", sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 150 hingga 217. | Tatabahasa | 24.01.2026 |
| Adakah perkataan "memeribadikan" betul dari segi tatabahasa?. Atau sepatutnya perkataan yang betul adalah "Memperibadikan"?. Apitan Memper...kan, Men..kan adalah yang biasa saya dengar dan gunakan. Walaupun apitan meN-…-kan juga menerima kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s, tapi adakah perkataan "Memeribadikan" adalah betul?. | Jawapan: Perkataan yang betul ialah memperibadikan yang tergolong di bawah apitan kata kerja meN-…-kan yang membawa maksud benefaktif atau manfaat yang pembentukannya memerlukan dua objek. Lazimnya, apitan meN-…-kan menerima objek tepat yang tidak bernyawa. Contoh ayat: “Pembelajaran berautonomi membolehkan pelajar memperibadikan agenda pembelajarannya berdasarkan kekuatan akademik dan minatnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 190 hingga 207. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
| Saya masih samar-samar tentang cara penggunaan akhiran "kan" pada kata kerja . Apakah peraturan-peraturannya? Sekian. Terima kasih | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Empat, halaman 183,184,185. | Lain-lain | 29.07.2010 |
| Tuan, Di biasanya diakhiri dengan kan namun adakalanya di tidak diakhiri dengan kan atau i seperti dalam diakhiri. Bila masanya di diakhiri dengan kan atau i dan bila pula ia tidak begitu. Mohon tuan berikan penjelasan. Terima kasih. | Apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan. Segala ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan -kan. Contohnya "memberikan" (bentuk aktif) dan "diberikan" (bentuk pasif). Seperti di-...-kan, apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya "mempelopori" (bentuk aktif) dan "dipelopori" (bentuk pasif). Untuk maklumat lanjut, rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 202 dan 208. | Tatabahasa | 24.05.2011 |