| masalah penggunaan 'kan". keadaan bagaimana verb boleh tambah 'kan'. keadaan bagaimana 'kan' dihujung kata perbuatan tak patut letak 'kan' . saya perlu jawapan segera, kerana banyak 'kan' saya kena potong oleh supervisor semak thesis phd | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Mohon tuan dapat berikan contoh penggunaan -kan dalam tesis yang diterima dan dipotong. | Tatabahasa | 03.07.2014 |
| Selamat petang. Bolehkah saya tanya bilakah boleh menggunakan dibeli atau dibelikan ? Apakah perkataan yang boleh letak di...kan atau yang hanya letak di....? | Bagi membezakan penggunaan di-...kan dan di-..., saudara boleh memerhatikan subjek dalam ayat. Subjek bernyawa hendaklah oleh apitan di-...-kan, manakala subjek tidak bernyawa hendaklah diikuti perkataan berawalan di-. Contoh: Adik dijahitkan oleh ibu sehelai baju kurung. (Adik ialah subjek yang bernyawa). Sehelai baju baju kurung dijahit oleh ibu untuk adik. (baju kurung ialah subjek yang tidak bernyawa) Selain itu, apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan untuk memahami dengan lebih lanjut. | Tatabahasa | 16.04.2013 |
| "Sebelum ini telah disebut bahawa setiap huruf yang terdapat dalam al-Quran sudah semestinya membawa maksud dan hikmah yang tersendiri". "telah disebut" atau "telah disebutkan" dalam ayat di atas? bagaimana nak tahu bila nak letak imbuhan "kan" atau tidak? Dan secara umumnya, ayat di atas betul atau tidak keseluruhannya? terima kasih. | Kata terbitan disebut adalah betul. Awalan di-... lazimnya membentuk kata kerja pasif yang subjek asalnya terdiri daripada orang ketiga; manakala apitan di-...-kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan. Untuk lebih memahami kedua-dua tajuk ini, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 176 dan 202. Disebut bermaksud dikatakan atau diceritakan. Dalam penulisan ilmiah penggunaan kata diterangkan dan dijelaskan adalah lebih sesuai berbanding dengan kata disebut itu. | Tatabahasa | 11.02.2011 |
| Assalamualaikum 1) kata kerja tak transitif berpelengkap perlu letak keterangan(pelengkap) lpas kata kerja tu kan? saya agak keliru nak membezakan dengan kata kerja transitif aktif. contoh ayat: ...lantas 'menyemarakkan' gelombang keganasan.. ...pertahanan bagi 'menghadapi' serangan pihak Siam. Sejarah 'membuktikan' bahawa Kerajaan Patani... ...seorang pembesar negeri yang 'menaiki' takhta Patani... ayat2 ini lebih sesuai digolong dalam kata kerja yang mana satu? 2) 'mengekang' boleh dipasifkan x? 3) adakah 'berbohong' itu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap? | 1. Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap mesti diikuti pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif aktif dan boleh mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Untuk lebih memahami tajuk tersebut lihat penerangan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 145. 2. Kata kerja mengekang boleh dipasifkan menjadi dikekang. 3. Perkataan berbohong tergolong dalam kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
| Contoh ayat : Kebaikan mengadakan pameran itu adalah untuk memberikan nsemangat kepada murid. Mengapakah perlu menambah "kan' pada istilah "memberikan" dan bukannya letak "memberi" sahaja. | Kata memberikan hendaklah diikuti dengan kata nama objek yang tidak bernyawa. Manakala kata memberi pula diikuti dengan kata nama objek yang bernyawa. Contoh ayat: 1. Guru memberi Ali sebatang pen. 2. Guru memberikan taklimat kepada murid. | Tatabahasa | 06.09.2021 |
| Soalan 1 Minta pandangan tentang ayat arahan berikut: a. Baca tentang pekerjaan yang ingin dilakukan oleh Hana dan rakan-rakannya. Soalan 2 minta tolong semak penggunaan 'atau' Perkataan seerti bagi 'happy' ialah gembira atau riang. atau kita boleh juga letak seperti gembira/riang. Terima kasih. | 1. Arahan lazimnya mengandungi kata kerja dengan imbuhan kan sepertti bacakan dan jelaskan. Sila kenal pasti ayat tersebut sama ada menyuruh pembaca membaca atau menjelaskan tentang pekerjaan tersebut. 2. Kata atau digunakan apabila menyatakan perkara yang menjadi pilihan seperti A atau B. Apabila menulis ayat seelok-eloknya menggunakan perkataan yang sempurna, ...riang atau gembira.
| Tatabahasa | 30.04.2014 |
| apa perbezaan perkataan memperundangkan dan diperundangkan. dalam cheking spelling dalam dewan eja pro tidak ada perkataan diperundangkan. tetapi perkataan ( diperun dang) ada. kenapa diperun (jarak) dang. Dieja dengan dua perkataan. Adakah ayat ini betul: perlu letak diperundangkan atau memperundangkan. Enakmen pinjaman Negeri Pulau Pinang projek bangunan arkib dan pusat makanan laut di Batu Kawan 2009, maka dengan ini adalah diperundangkan oleh kuasa undangan Negeri Pulau Pinang. terima kasih. | Tuan Rusli, Menurut Kamus Dewan dan Dewan Eja Pro kata "memperundangkan" iaitu menjadikan sesuatu undang-undang: Manakala kata "diperundangkan" merupakan kata yang dipasifkan dengan penambahan imbuhan diper-...-kan dalam ayat pasif. Contoh ayat: segala hukum yang diperundangkan oleh Allah terhadap hambanya.(Mohon rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat). Bersama-sama ini disertakan ayat tuan yang telah diedit oleh pihak kami: Maka dengan ini, Enakmen Pinjaman Negeri Pulau Pinang yang diperundangkan oleh kuasa undangan Negeri Pulau Pinang terhadap projek bangunan arkib dan pusat makanan laut di Batu Kawan 2009. Walau bagaimanapun, ayat ini bergantung pada konteks keseluruhan dokumen yang ada pada pihak tuan. | Tatabahasa | 02.05.2009 |
| Selamat petang , Diharapkan tuan dapat menyelesaikan masalah ayat di bawah. terima kasih. Adakah ayat ini betul? 1.Cerita ini mereka sampaikan di dewan . ATAu 1. Cerita ini disampaikan oleh mereka di dewan. Mereka--kata ganti nama diri ketiga seharusnya letak di--oleh berbanding kata nama diri 1 dan 2 . | Ayat yang gramatis ialah "Cerita ini disampaikan oleh mereka di dewan" kerana bentuk di-...-kan oleh hadir di hadapan kata ganti nama diri ketiga dalam ayat pasif. | Tatabahasa | 21.05.2012 |
| Saya pernah tanya satu soalan pada 25/7/2008: 1. Adakah frasa "bertanyakan saya tentang jalan ke Muzium Perlis" betul atau salah? Jawaban yang diberi oleh pihak DBP ialah '........bertanya saya tentang jalan ke Muzium Perlis' atau '....bertanyakan tentang jalan ke Muzium Perlis'. Saya kurang bersetuju dengan jawaban yang kedua yang diberikan. Hal ini demikian kerana selepas perkataan "bertanyakan" bukankah tidak boleh letak perkataan "tentang" kerana adanya imbuhan -kan di perkataan sebelumnya. Harap pihak berkenaan dapat memberi penjelasan tentang hal tersebut. Sekian, terima kasih. | Memang benar pendapat saudara. Pilihan jawapan yang kedua sepatutnya berbunyi begini: '....bertanya tentang jalan ke Muzium Perlis' | Tatabahasa | 03.11.2008 |
| perkataan yang sesuai peta/pelan ? peta laluan keluar kecemasan bangunan. / pelan laluan keluar kecemasan bangunan. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan "peta" bermaksud 1. lukisan (gambar) pd kertas dll yg menunjukkan kedudukan negeri, sungai, gunung, dll; 2. lukisan (gambar) yg menunjukkan kedudukan bintang dll di langit; ~ angin peta yg menunjukkan arah peredaran angin; ~ antarabangsa peta dunia yg biasanya berskala 1:1 000 000; ~ bahasa peta yg menggambarkan daerah bahasa-bahasa tertentu digunakan; ~ bumi peta yg khusus menunjukkan tanah (gunung, sungai, dll); ~ kontur peta yg dilukiskan dgn garisan-garisan kontur; ~ kosong peta yg belum ditandai dgn nama tempat (letak sungai, gunung, dll); ~ lakar peta sesuatu kawasan dll yg dilukis dgn secara kasar dan mengandungi hal-hal yg penting sahaja; ~ laut peta yg khusus menunjukkan laut (pulaupulau, aliran ombak, dll); ~ timbul peta yg dibuat drpd tanah liat (plastisin) dgn gambaran bukit (gunung, sungai, dll) spt yg terdapat di muka bumi; ~ topo peta lengkap sesuatu tempat (yg menunjukkan bandar, jalan, dll); berpeta berupa peta: mendedahkan panau ~-peta di bahu dan di lengannya; memeta membuat peta; memetakan 1. membuat peta tentang sesuatu, menunjukkan kedudukan (keadaan dsb) sesuatu dlm bentuk peta: sebahagian besar daerah itu masih belum dipetakan; 2. menggambarkan, melukiskan: Nasib Seorang Muda karangan Cikgu Harun ~ bagaimana seorang kerani muda yg bergaji kecil hidup; pemetaan perihal membuat peta; pemeta orang yg membuat peta. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua pula, "pelan" bermaksud 1 rajah yg menggambarkan bentuk serta ukuran sesuatu bangunan, kawasan dsb. 2 rancangan yg sudah diatur utk dilaksanakan. ~ induk rancangan menyeluruh yg merangkumi seluruh dasar dan segala rancangan kegiatan yg akan dilaksanakan (dlm pembangunan, perekonomian, dsb): Beberapa kajian terkandung dlm ~ induk projek tsb. ~ lantai lukisan mengikut skala bagi susun atur bilik dsb pd satu lantai sesebuah bangunan. ~ tindakan rancangan yg diatur yg terdiri drpd langkah-langkah utk bertindak secara bijak. Oleh itu, jawapan yang lebih sesuai ialah "pelan". | Istilah | 09.04.2013 |