Assalamualaikum 1. Saya nak tanya berkenaan ayat monolog, adakah menggunakan petik kata tunggal, ' ' atau pengikat kata " ". Contoh ayat, 'ya Allah berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini' atau "ya Allah berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini". 2. Saya nak tanya dalam dialog atau monolog, penggunaan kata hmm, argh, haha, dan ayat yang menunjukkan eksperesi atau emosi dipanggil apa ya? 3. Kalau baca dalam sesetengah buku cerpen atau antologi, ada tanda ***** di akhir penceritaan. Apa nama tanda tersebut? | 1. Monolog terbahagi kepada dua: i. Monolog dalaman iaitu percakapan di dalam minda atau fikiran watak dengan dirinya sendiri. Ia tidak mengeluarkan suara. Untuk monolog dalaman, tanda petik yang digunakan ialah tanda petik tunggal (‘ ’). ii. Monolog luaran iaitu percakapan watak dengan dirinya sendiri. Watak berdialog dengan diri sendiri dengan mengeluarkan suara, sama ada kuat atau hanya dapat didengari oleh dirinya sahaja. Untuk monolog luaran, tanda petik yang digunakan ialah tanda petik (“ ”). Contoh ayat yang diberikan tidak menyalahi penggunaan tanda petik (‘ ’) atau tanda petik (“ ”) kerana ayat tersebut boleh diucapkan secara monolog dalaman atau luaran. a. 'Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini.' b. "Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk hadapi ujian ini." 2. Dalam “dialog” atau “monolog”, penggunaan perkataan seperti hmm, argh, haha dan seumpamanya dipanggil sebagai “ekspresi”, untuk menggambarkan emosi watak sama ada suka, duka, marah dan lain-lain lagi. 3. Tidak ada nama khusus bagi tanda tersebut. Dalam penulisan karya kreatif, tanda sedemikian biasanya digunakan untuk menunjukkan “peralihan daripada satu kisah atau babak kepada kisah atau babak yang lain”. Walau bagaimanapun, setiap kisah atau babak tersebut mempunyai pertautan. | Lain-lain | 18.11.2021 |
Assalamualaikum Saya Nurinee Chemudo berlajar bahasa Saya ingin bertanya tentng bahasa Apakah makna Wajah | Menurut data kami, maksud wajah ialah air muka; muka; paras: ~nya berseri-seri. berwajah 1 mempunyai atau menampakkan wajah (paras rupa, air muka dan sebaginya): ~ ceria. 2 mempunyai atau menampakkan keadaan luaran atau pemandangan sesuatu: Buku lama ~ baru. berwajahkah menggunakan atau mempunyai sesuatu sebagai wajah: Apakah benar kalian berani kerana benar? tanya ketua makhluk ~ semut itu. mewajahi memberikan rupa atau keadaan luaran kepada: Pemandangan alam semula jadi yang indah ~ pulau legenda itu. perwajahan perihal atau proses menjadikan sesuatu berwajah: ~ yang menarik telah dirancang untuk iklan bagi menarik pelancong. pewajahan perihal atau perbuatan memberikan wajah kepada sesuatu; proses mewajahi sesuatu: ~ merupakan salah satu usaha penting dalam mereka bentuk kulit majalah tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=wajah | Makna | 15.11.2015 |
Assalamu'alaikum dan Salam sejahtera, Apakah terjemahan yang tepat bagi 1. OUTLIERS, dan 2. FORECASTING PERFORMANCE OF CASCADE FORWARD BACK PROPAGATION NEURAL NETWORK FOR DATA WITH OUTLIERS? Terima kasih. | 1. Padanan istilah untuk outlier mengikut bidang ialah unsur luaran; batuan terasing (Geografi), letakan luar; batuan terasing (Geologi), dan pesisih (Kependudukan), 1"> 2. Mohon tuan/puan memberikan terjemahan dalam bahasa Melayu untuk kami semak. 1"> Sekian. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 23.03.2017 |