Salam Satu Malaysia, 1. Makanan seimbang penting untuk/kepada kita. (untuk atau kepada,sila beri penjelasan) 2. Saya menghidangkan semangkuk bubur untuk/kepada nenek. 3. Kamal tidak menduga bahawa makanan dalam tin yang dibelinya telah luput tarikhnya./ Kamal tidak menduga bahawa makanan di dalam tin yang dibelinya telah luput tarikhnya. (ayat mana yang betul dan tolong beri penerangan). Soalan yang saya ajukan: Murid saya menulis karangan biografi ayah saya dan nenek saya.Apakah kata ganti nama diri orang yang betul ?(dia atau beliau) Terima kasih atas perkhidmatanyang pihak tuan sediakan. | 1. Makanan seimbang penting untuk kita. Penerangan: Kata sendi nama untuk digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, berfungsi untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan (Rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 276). Untuk ayat ini, “makanan seimbang” diperuntukkan untuk kata nama “kita”. 2. Saya menghidangkan semangkuk bubur kepada nenek. Penerangan: Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad (Rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 272). Merujuk kepada ayat ini, kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama am “nenek” . 3. Kamal tidak menduga bahawa makanan di dalam tin yang dibelinya telah luput tarikh. Penerangan: Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan. Dalam pula menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. Justeru, di dalam digunakan untuk tin kerana terdapat ruang yang boleh dilihat secara fizikal. 4. Kata ganti diri tunggal untuk ayah atau nenek ialah beliau. Penerangan: Kata ganti nama diri orang ketiga beliau sesuai digunakan untuk orang/golongan dewasa yang berpekerti baik dan mulia, lazimnya mempunyai kedudukan yang agak tinggi dan terhormat dalam masyarakat. Oleh itu, beliau sesuai digunakan untuk ayah atau nenek. | Tatabahasa | 15.03.2018 |
Salam sejahtera, Adakah "Evergreen Contract" boleh diterjemahkan sebagai "Kontrak Tidak luput"? Jika tidak, sila berikan pendapat anda. Konteks digunakan dalam surat perjanjian(agreement). Mohon bantuan pihak DBP. Terima kasih. | Dalam buku Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan, terdapat istilah evergreen loan yang dipadankan dengan pinjaman berterusan. Berdasarkan padanan tersebut, cadangan kami bagi istilah evergreen contract ialah kontrak berterusan. | Penyemakan dan penterjemahan | 27.04.2018 |
Ayat: ayah hanya sedar......... dia telah terbeli makanan di dalam tin yang telah luput tarikhnya setelah pulang ke rumah. A) kerana B) apabila C) bahawa D) semenjak *tempat kosong tersebut sesuai dengan pilihan jawapan mana? Dan kenapa.. berikan penerangan dan penjelasan | Berdasarkan konteks ayat, perkataan yang sesuai ialah bahawa kerana ayat tersebut ialah ayat majmuk komplemen dan kata hubung "bahawa" melengkapkan ayat tersebut. | Tatabahasa | 14.05.2015 |
apakah maksud diskriminasi? | Kamus Dewan mendefinisikan diskriminasi sebagai perlakuan membeza-bezakan warna kulit, keturunan, dsb: ~ terhadap bangsa berkulit hitam telah mulai luput sekarang; perkara ~ yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa itu tidaklah patut didiamkan sahaja; ~ harga pengenaan harga yang berbeza-beza bagi barang atau perkhidmatan yang sama kepada pembeli yang berlainan; ~ kaum layanan yang berbeza-beza terhadap kaum yang berlainan kerana prasangka terhadap kemahiran, kebolehan, keistimewaan hak dsb; ~ ras diskriminasi kaum; ~ sosial perihal membeza-bezakan seseorang dari segi kedudukannya dalam masyarakat; berdiskriminasi berbeza tindakan atau layanan terhadap sesama anggota masyarakat kerana berlainan warna kulit, agama, dan lain-lain: para pengarang meramalkan bahawa pengguna media massa ~ dalam membuat pilihan tentang media; mendiskriminasikan membeza-bezakan (dari segi layanan): golongan ini telah didiskriminasikan oleh golongan manusia yang lebih beruntung daripada mereka. | Tatabahasa | 01.02.2013 |
Salam, saya sedang menonton anugerah maulidur rasul di tv1, soalan saya.. 1) Pengacara Majlis menyebut " mantan Prof Madya di UM" adakah ini bermaksud jawatan Prof Madya akan luput setelah bersara? 2) Dinyatakan juga gelaran salah seorang calon penerima anugerah "Engku Tan Sri Dato' Seri" mengapa gelaran Engku dihadapan Tan Sri. Adakah jika seseorang itu memiliki gelaran begitu semua gelaran tersebut perlu dinyatakan di dalam surat menyurat..? Sekian terima kasih, diharap kemusykilan ini terjawab. | 1. Profesor Madya atau Profesor adalah jawatan dalam perkhidmatan. Oleh itu, sebutan 'mantan Profesor Madaya' adalah betul untuk seseorang yang telah bersara daripada perkhidmatan atau telah meninggalkan jawatan tersebut. 2. Susunan yang betul mengikut protokol ialah: gelaran (yang tertinggi) - jawatan - nama, contohnya Tan Sri Profesor Dr. Tengku Awang Tengku Salleh. Walau Bagaimanapun penerima gelaran dibenarkan untuk memilih yang disukainya sama ada mendahulukan gelaran, jawatan atau namanya, begitulah seperti nama "Engku Tan Sri Dato' Seri". | Tatabahasa | 15.02.2011 |
Tuan/ Puan Harap boleh nasihatkan perkara seperti berikut:- 1) Kalau kedai francais berada di Majlis Perbandaran yang sama. Sijil Pengesahan Bahasa boleh digunakan berulang kali untuk kedai-kedai selagi sijil pengesahan belum luput? 2) Pada 5/8/19, saya ada hantar Bahasa Jawi untuk menyemak kegunaan Bahasa Jawi sama ada betul. Tetapi saya belum dapat apa jawapan. Boleh Tuan/ Puan tolong semak perkara ini? Terima kasih. | Jawapan bagi soalan yang pertama ialah sijil pengesahan bahasa boleh digunakan sekali sahaja untuk satu kedai walaupun dalam perbandaran yang sama. Jawapan bagi soalan kedua ialah sila lampirkan semula teks jawi tersebut untuk disemak oleh pihak kami. Pastikan visual dalam format jpeg. atau gif. | Lain-lain | 15.08.2019 |
Berapakah lama alamat email yang dibuat akan aktif dalam web dewan bahasa dan pustaka? | Untuk makluman tuan/puan, alamat e-mel yang telah didaftarkan untuk menggunakan perkhidmatan KNDBP tidak mempunyai tarikh luput dan boleh diaktifkan setiap masa. | Lain-lain | 06.05.2009 |
Lurrun Aidan Perkataan inggeris dimelayukan. Dalam kamus pun sama. Mana usaha memartabatkan Bahasa Melayunya? Contohnya: "miting" (meeting?) Mesyuarat tu binatang apa pulak? Tolonglah berhenti memelayukan Bahasa Inggeris bila perkataan2 itu wujud dalam bahasa Melayu! Mohd Irfan DBP dah sampai traikh luput. Kena ada pihak ketiga yang tak dipengaruhi politik yang perjuangkan bahasa Melayu. Apa sampah, bahasa Melayu pun dipanggil bahasa Malaysia. Sampai kiamat pun, terjemahan untuk Malay Language - Bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia Jalal Johar Sudah lebih dari 50 tahun sejak merdeka, dimanakah stutus Bahasa Melayu. Utusan Melayu pun sudah pupus. Apis Ayu Ibarat melukut di tepi gantang.. bahasa melayu di pinggirkan.. | Terima kasih atas keprihatinan tuan/puan. | Lain-lain | 23.06.2015 |
Hi, would like to get your advice for the below translation. (Baked products are bread, cakes, cookies) All freshly baked products are best to consume within 36 hours from time of purchase, except items with expiry date. Semua produk yang baru dibakar adalah baik untuk dimakan dalam tempoh 36 jam dari masa pembelian, kecuali yang mempunyai tarikh luput. Thank you very much. | Semua produk yang baru dibakar boleh dimakan dalam tempoh 36 jam dari masa pembelian, kecuali yang mempunyai tarikh luput. | Penyemakan dan penterjemahan | 24.08.2015 |
Assalamualaikum wbt. Adakah wujud terjemahan tertentu untuk perkataan ini: slip, lapse dan mistake dalam bahasa melayu? | Untuk makluman, padanan bahasa Melayu untuk perkataan yang diberikan adalah seperti yang berikut: 1. slip - slip, gelincir 2. lapse - luput, lelap, jurang, selang 3. mistake - silap, salah Penggunaan padanan bahasa Melayu yang diberikan bergantung pada konsep dan konteks. | Istilah | 21.05.2013 |