"selamat pagi, boleh saya tahu kenapa "hari kemerdekaan" tidak perlu tulis dengan huruf besar?...dan adakah sekarang perenggan satu dalam setiap petikan tidak perlu kosong di ayat pertama?buku teks tahun satu semua macam itu, adakah ini format baru?" | Untuk makluman, ejaan yang betul ialah Hari Kemerdekaan. Dalam penulisan, perenggan pertama ditulis disantak sebelah kiri. Perenggan pertama merupakan perenggan konsep yang mengandungi idea utama. | Tatabahasa | 14.10.2013 |
Di Mahkamah ada proses 'plea' atau 'pengakuan' tertuduh apabila didbaca pertuduhan kepadanya samada dia mengaku keatas pertuduahan itu atau tidak, kalau dia tak mengaku bersalah dalam bahasa Inggeris di sebut "pleaded no guilty" dalam bahasa Melayunya "tidak mengaku bersalah" tetapi mengapa akbar melaporkan sebagai "mengaku tidak bersalah" dan ini sudah menjadi penerimaan umum. Setahu saya terjemahan mestilaah mengambil susurgalur bahasa Melayu bukan boleh "direct" terjemah macam itu | Ungkapan bahasa Inggeris yang digunakan ialah 'pleaded not guilty'. Terjemahan 'not guilty' ialah tidak bersalah. Oleh itu 'pleaded not guilty' diterjemahkan sebagai mengaku tidak bersalah. | Penyemakan dan penterjemahan | 19.12.2007 |
tolong semak ayat saya... adakah ayat yang saya senaraikan ini mengandungi frasa kerja tak transitif? 1. lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu. 2. kelihatan di sedang menulis sesuatu di kertas iitu dan dihulurkan kepada lelaki itu. 3. lelaki itu membaca dan kemudian menggelengkan kepala. 4. perempuan itu merenung tajam ke arah lelaki itu. 5. dia diam seketika, sambil matanya terkelip-kelip memandang syiling wad yang kaku itu. 6. siang dan malam lelaki itu menunggu perempuan itu dengan tabah dan sabar. 7. anak di rumah, pandai-pandai sahaja unutk mengurus diri sendiri. 8. sambil tersenyum, dia menegurku mesra. 9. dia tidak sanggup meninggalkan isterinya tanpa ditemani walau sesaat pun. 10. dua belas tahun yang lalu di telah dibedah di Singapura. 11. aku sangat kagum dengan lelaki itu dan terkesan dengan kesabarannya melayani karenah isterinya yang pelbagai macam itu. 12. calang-calang suami tidak akan sanggup membelai isterinya yang terbujur di katil itu. 13. perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi di sisi katil isterinya. 14. saya gembira ibu melawat saya. 15. ketika akau melangkah pulang aku melihat bahawa dia masih tersenyum riang. 16. dia mencapai tanganku dan menciumnya. 17. hati kecilnya tidak putus-putus mendoakan semoga dia akan pulih. 18. kita janganlah lupa untuk terus beristighfar dan reda dengan apa-apa yang berlaku,. 19. aku terkesima dan kagum dengan ketabahan isterinya,. | Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap, namun unsur ini bukanlah dianggap sebagai objek (tidak boleh dipasifkan), sementara yang lainnya tidak perlu diikuti oleh pelengkap. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap: beransur (pulih), tinggal (di bandar), menjadi (guru), berbuat (baik), ada (keluarga) dan berbantalkan (lengan) Contoh kata kerja tak transitif tak berpelengkap: bangun, tumbang, pulang, menangis, menjerit, berkibaran, berjalan, tersenyum, terpegun, menguning, melancong dan meninggi. Sebagai seorang bakal guru saudara perlu lebih mengenali pelbagai aspek tatabahasa termasuklah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Merujuk ayat Lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu - menghulurkan ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap. Untuk ayat yang seterusnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 88-90 dan halaman 385-394. | Tatabahasa | 24.03.2011 |
Ayat-ayat yang berikut salah penggunaan kata. Apakah kata yang betul untuk menggantikan perkataan yang berhuruf besar? 1) Sikapnya yang LUMPUH menyebabkan banyak kerja tertangguh. 2) Remaja sekarang sudah berperangai LIAR. 3) Pemandu yang LIAR akan dikenakan tindakan undang-undang. 4) Sikapnya yang macam LAGU itu telah difahami oleh semua orang. 5) Sikap majikan yang AGRESIF dibenci oleh ramai pekerjanya. 6) Mulutnya yang BOCOR menyebabkan rahsia rakannya terbongkar. 7) Kainnya yang BOCOR kerana disambar api. 8) Saya KURANG hati dengan sikapnya yang suka berbohong. | 1) Sikapnya yang berlengah menyebabkan banyak kerja tertangguh. 2) Remaja sekarang sudah bebas. 3) Pemandu yang cuai akan dikenakan tindakan undang-undang. 4) Sikapnya yang macam LAGU itu telah difahami oleh semua orang. 5) Sikap majikan yang tidak berperikemanusiaan dibenci oleh ramai pekerjanya. 6) Mulutnya yang becok menyebabkan rahsia rakannya terbongkar. 7) Kainnya koyak kerana disambar api. 8) Saya tidak suka dengan sikapnya yang suka berbohong. Untuk makluman puan, tugasan sekolah tidak termasuk dalam skop perkhidmatan kami. Pada masa yang akan datang, sila rujuk Kamus Dewan dan buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 02.08.2013 |
Tuan, 'kan' dalam dialog berikut perlu dieja bersambung atau dijarakkan? (1) "Janganlah macam tu, kita kan kawan baik." atau "Janganlah macam tu, kitakan kawan baik." (2) "Kau kan tak suka aku." atau "Kaukan tak suka aku." (3) "Ibu... kakak kan... dia kan, dia nak pukul adik". atau "Ibu... kakakkan... diakan, dia nak pukul adik." (4) "Siapalah saya ni kan". atau "Siapalah saya nikan". (5) "Ha, tu kan dah jatuh." atau "Ha, tukan dah jatuh." (6) "Kau ni kan, memang nak kena". atau "Kau nikan memang nak kena". (7) "Pergilah, aku tumbuk kan!" atau "Pergilah, aku tumbukkan!" | Hanya kan yang berfungsi sebagai imbuhan sahaja dieja bersambung dengan perkataan sebelumnya. Selain itu "kan" dieja terpisah kerana kan dalam percakapan bermaksud bukan atau tidak membawa apa-apa makna. | Tatabahasa | 25.06.2012 |
Bolehkah rencaman menggantikan pelbagai? Contoh: Terdapat rencaman faktor yang menyebabkan kemalangan. | Rencaman bermaksud campuran bermacam-macam, contoh makanan rencaman atau pekerja rencaman. Perkataan ini boleh menggantikan pelbagai dengan melihat konteks penggunaannya dalam ayat, misalnya jika melibatkan campuran bermacam-macam benda dan sebagainya. Oleh itu rencaman faktor tidak betul sebaliknya digunakan pelbagai faktor. | Tatabahasa | 01.11.2010 |
macam mana kita hendak mengenal pasti kata majmuk? ilmu pengetahuan, nilai murni, rakan sebaya itu kata majmuk ke? ibu bapa itu kata majmuk atau bukan ? | Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar ; bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, contohnya kapal terbang, ibu bapa sapu tangan dan perkataan yang sdr. tanyakan juga adalah kata majmuk. | Tatabahasa | 04.04.2007 |
Salam sejahtera Tuan, Macam mana untuk merujuk kepada lagu atau bunyi yang seolah-olah masih kedengaran sungguhpun nyanyi itu sudah habis? Adakah 'baki lagu' itu sesuai digunakan untuk merujuk kepada keadaan sedemikian? Sekian, terima kasih. | Untuk makluman tuan, dalam data kami tiada maklumat mengenai baki lagu. Frasa yang boleh digunakan ialah penghujung lagu. | Tatabahasa | 24.09.2013 |
Adakah berbagai-bagai itu tergolong dalam kata bilangan | Berbagai-bagi tidak tergolong dalam kata bilangan dan membawa maksud bermacam-macam atau berjenis-jenis. | Tatabahasa | 03.03.2010 |
KIta tidak boleh memandang (senang) perkara penting itu. Nak tanya perkataan senang yang digunakan di ayat atas adalah betul atau tidak? Kalau tidak betul, nak macam mana menggunakan perkataan senang ini di atas ayat tersebut? Terima kasih. | Walaupun perkataan "senang" bersinonim dengan "mudah" tetapi dalam kalangan masyarakat kita tidak mengungkapkan frasa "memandang senang" melainkan "memandang mudah" atau "memandang ringan". | Tatabahasa | 10.10.2012 |