Salam sejahtera, Bolehkah pihak tuan/puan terangkan penggunaan frasa "semak" dan "periksa"? Bila dan bagaimana penggunaan yang betul untuk kedua-duanya? Mohon pencerahan dan bantuan pihak DBP. Terima kasih. | Perkataan "semak" - (sémak); menyemak 1. mendengar-kan atau memerhatikan (percakapan, bacaan orang) dgn teliti: murid mesti ~ kalau guru mengajar; 2. mengkaji, meneliti: murid-murid hendaklah ~ jawaban yg ada di dlm jadual ini; 3. memeriksa atau meneliti kembali (supaya tidak ada yg salah dll), memerhatikan baik-baik: sukatan pelajaran yg digunakan pd zaman penjajah dahulu perlu disemak semula; semakan catatan (angka, kependekan, dll) utk dirujuk, rujukan: sampul surat yg me-ngandungi permohonan hendaklah ditanda dgn nombor ~ jawatan yg tertentu; penyemakan perbuatan (kerja dsb) menyemak: setelah ia berpuas hati dgn kebolehan orang-orang bawahnya, dia tidaklah melaku-kan ~ lagi; penyemak orang yg menyemak, peneliti, pemeriksa. Perkataan "periksa" - selidik, penyelidikan, siasat; <i>kurang (tiada) ~ i>a) (saya) tidak tahu, entah; b) kurang hati-hati (teliti); <i>salah ~ i>agak lambat (perbuatan); <i>usul ~ i>penyelidikan (penyiasatan, penelitian); | Makna | 05.06.2019 |
Mana satu yang tepat? 1) Mak Mah menumbuk lada itu hingga lumat. 2) Mak Mah menumbuk lada itu hingga hancur. | Kedua-duanya betul. Walaua bagaimanapun, perkataan yang paling tepat ialah lumat. | Tatabahasa | 25.05.2010 |
Assalamualaikum tuan, Saya mempunyai dua kemuskilan 1.Bagaimana mengeja parkataan pakaian.Adakah dua sukukata atau tiga. 2.Mak Usu,Mak Long adakah kata nama khas atau kata nama am atau kata gelaran | 1. Ejaan pakaian tiga suku kata - pa.kai.an tetapi disebut dengan dua suku kata - pa.kaian 2. Mak usu, mak long ialah kata nama, kecuali Mak Usu Limah dan Mak Long Siti ialah kata nama khas. | Tatabahasa | 31.01.2012 |
Salam. Sekali lagi saya ternampak percanggahan terhadap huraian yang diberikan oleh pihak DBP. Penggunaan kata sendi nama dalam ayat ini. 1) Mak Cik Leha sudah sampai di/ke rumahnya. Yang mana lebih tepat? Huraian pada tahun 2006 menyatakan 'di' kerana menunjukkan sudah sampai tetapi huraian 2010 pula menyatakan 'ke' tanpa penerangan. Terima kasih. | Salam, Kata sendi yang tepat ialah Mak Cik Leha sudah sampai di rumahnya. Kata sendi yang digunakan adalah "di" kerana dalam konteks ayat tersebut, Mak Cik Leha telah/sudah sampai. Jika Mak Cik Leha dalam perjalanan menuju ke rumahnya (belum sampai/arah yang dituju), kata sendi yang perlu digunakan adalah "ke". Contoh ayat, Mak Cik Leha sedang berjalan menuju ke rumahnya. Untuk lebih jelas, boleh lihat penggunaan kata sendi di dan ke di bawah ini: Kata sendi nama "di" = digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Manakala kata sendi "ke" pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju, dan juga yang menunjukkan waktu atau masa. Contoh lain: 1. Menanam bunga di dalam pasu. 2. Menyimpan pisau di dalam laci. 3. Melancong ke Melaka. 4. Memasukkan duit ke dalam tabung. 5. Menyimpan duit di dalam tabung.
| Tatabahasa | 06.10.2015 |
1)Mak Eton menggelek adunan kuih itu sehingga sebati.2)Sesiapa yang ditawarkan sebagai model barangan tersebut sungguh bertuaah kerana akan menikmati pendapatan yang lumayan.(ADA SALAH TAK?) | Saudara Ho, Kedua-dua ayat yang dikemukakan betul dari aspek tatabahasanya, namun untuk ayat yang kedua lebih gramatis jika 'Sesiapa yang ditawarkan sebagai model barangan tersebut sungguh bertuah, kerana akan menikmati pendapatan lumayan.' | Tatabahasa | 03.10.2012 |
Hi, saya ingin bertanya adakah boleh untuk nama jenama ditulis menggunakan huruf kecil sepenuhnya di dalam teks? Contohnya nama jenama adalah "mak'cik". Bolehkah kalau saya tulis seperti ayat di bawah: 1) mak'cik adalah jenama yang paling saya gemari. 2) Mak'cik adalah jenama yang paling saya gemari. Bolehkah saya hanya gunakan huruf kecil di dalam ayat, ataupun perlu mengikut huruf besar atau kecil dalam perenggan ayat? Sye lampirkan logo yang sekarang kami gunakan. Terima kasih. | Sekiranya nama atau jenama yang menggunakan huruf kecil telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), huruf kecil perlu digunakan dalam ayat walaupun perkataan tersebut terletak pada pangkal ayat. Jika tidak berdaftar dengan MyIPO, nama atau jenama perlu menggunakan huruf besar pada pangkal ayat. | Tatabahasa | 20.08.2024 |
assalam wbt. salam aidil fitri. mohon betulkan ayat-ayat ini. 1.Mak Ani sedang mententeramkan perasaan suaminya yang sedang sedih itu. 2.Tugas guru ialah mendidik anak bangsa manakala tugas pelajar ialah belajar bersungguh-sungguh. 3.Pemuda itu mengaku yang dia telah menceroboh masuk ke rumah orang kaya itu untuk mencuri barangan yang berharga. 4.Setiap manusia perlu mempunyai tatacara hidup yang baik dan berprinsip. terima kasih. wassalam. | 1. Mak Ani sedang mententeramkan perasaan suaminya yang sedih itu. 2. Tugas guru mendidik anak bangsa manakala tugas pelajar belajar bersungguh-sungguh. 3.Pemuda itu mengaku yang dia telah menceroboh masuk ke dalam rumah orang kaya itu untuk mencri barangan berharga. 4. Setiap manusia perlu mempunyai gaya hidup yang baik dan berprinsip. | Tatabahasa | 20.08.2013 |
1. Mak Siti sayang (pada/ akan/ kepada) anaknya. 2. Ali patuh (pada/ akan/ kepada) peraturan. 3. Ali mengalami kesakitan yang amat sangat kerana terjatuh dari katil. 4. Baju ini amat sangat cantik. Adakah ayat-ayat di atas gramatis? (merujuk kepada TD Edisi ke-3, "pada" tidak boleh digunakan di depan kata nama yang bermaksud sasaran, adakah pada dalam soalan 1 tidak boleh digunakan di depan anaknya?) | Ayat yang betul ialah: 1. Mak Siti sayang akan anaknya. 2. Ali patuh pada peraturan. 3. Ali mengalami kesakitan yang amat sangat kerana terjatuh dari katil. 4. Baju ini amat cantik / sangat cantik. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, rujuk halaman 274, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 08.08.2010 |
Tuan, 1.Soalan:Mak Kiah ............ ikan keli itu di atas bara api. jawapannya : memanggang atau membakar . 2 Soalan :Pak Hamad sedang ............ sebiji durian untuk anaknya. Gambar menunjukkan seorang lelaki memegang sebiji buah durian pada tangan kanannya manakala tangan kirinya memegang sebilah parang. jawapannya : membelah atau mengupas | 1. Mak Kiah memanggang ikan keli itu di atas bara api. 2 Pak Hamad sedang membelah sebiji durian untuk anaknya. | Tatabahasa | 06.03.2012 |
Pilih ayat yang betul A. Mak Senah mempercantik sarung bantal cucunya dengan kain yang berwarna- warni. B Pameran barangan antik itu akan berlangsung selama beberapa hari. | Kedua-dua ayat tersebut betul. 1. Mak Senah mempercantik sarung bantal cucunya dengan kain yang berwarna-warni. 2. Pameran barangan antik itu akan berlangsung selama beberapa hari. | Tatabahasa | 04.06.2018 |