Salam, setahu saya perkataan 'bersama' tidak boleh digunakan secara tunggal kerana membawa maksud hubungan suami isteri. Maka, perlu menambahkannya menjadi 'bersama-sama' atau 'bersama dengan'. Tapi, bagaimanakah pula jika ayat itu berakhir seperti berikut: Menjaga kebersihan alam menjadi tanggungjawab kita bersama. Bagaimanakah penyelesaiannya? Sekian, terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan, bersama membawa beberapa maksud antaranya termasuklah melakukan hubungan jenis. Walau bagaimanapun penggunaan bersama bagi maksud berserta dan semuanya sekali boleh digunakan asalkan sesuai dengan konteks ayat yang digunakan. | Tatabahasa | 26.01.2013 |
Assalamualaikum, saya nak tanya pasal istilah ''hello'' iaitu istilah yang digunakan untuk menyapa, menegur atau menarik perhatian seseorang. Saya penat mencari istilah ''helo'' yang sesuai untuk bahasa Melayu dalam kamus-kamus, buku-buku dan sebagainya. Tapi hasilnya menghampakan dan mengecewakan. Saya tak jumpa istilah ''helo'' untuk bahasa Melayu. Tapi dalam kamus Melayu lama ada iaitu ''Amboi!'' tapi istilah itu jarang dipakai untuk menegur sebaliknya digunakan untuk menyatakan rasa hairan, kasihan, kagum dan sebagainya. Dalam masa yang sama, saya rasa malu dengan bahasa Melayu kerana istilah ''helo'' juga dipinjam daripada bahasa Inggeris iaitu ''hello''. Padahal. boleh saja jikalau diperkayakan, diciptakan dan disesuai dengan istilah tempatan. Oleh kerana ucapan ''salam'' atau ''assalamualaikum'' sering digunakan. Jadi, apa salahkan digunakan ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dalam bahasa Inggeris sebab ''salam'' bermaksud ''sejahtera''. Jikalau para pakar DBP dan pakar bahasa Melayu menyesuaikan dan menggunakan istilah ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dan ''Hi!'' dalam bahasa Inggeris. Saya berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan segala cadangan saya untuk kemajuan, perkembangan dan keaslian bahasa Ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Semoga bahasa Melayu terus dimartabatkan dan dikekalkan keasliannya seperti apa yang diimpikan oleh pendeta Za'ba dan kita semua sebagai bangsa Melayu. Insya Allah, amin. | Kami ambil maklum pandangan tuan dan mengucapkan syabas atas keprihatinan tuan dalam hal ini. Satu lagi yang perlu kita fahami ialah praktikal penyusunan kamus. Kamus umum merakamkan penggunaan kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. Penggunaan kata "helo" apabila memulakan perbualan dalam telefon amat banyak digunakan, bukti yang jelas dapat dilihat melalui penggunaan perkataan "helo" dalam filem-filem lama era Tan Sri P. Ramlee. Berkemungkinan jika pada suatu masa dahulu, masyarakat penutur jati menggunakan perkataan "sejahtera" atau "salam", maka perkataan itulah yang akan diambil dalam penyususnan kamus. Walau bagaimanapun cadangan tuan ini akan kami panjangkan kepada Bahagian Perkamusan dan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP untuk perhatian pihak mereka. | Istilah | 06.11.2015 |
Ini bukan soalan tapi komen terhadap jawapan yang diberikan oleh DBP untuk dua soalan berkenaan peribahasa "mengata dulang paku serpih". Saya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan di mana pihak DBP mengatakan versi yang betul ialah "mengata dulang paku serpih". Versi yang betul ialah "memaku/mengetuk dulang paku serpih/ mengata orang dia yang lebih." Baris pertama dalam pantun dua kerat ini ialah pembayang dan hanya untuk memberi rima kepada baris seterusnya. Maka perkataan "mengata" bukan berada di situ. Dari segi logiknya, mana mungkin kita "mengata" dulang? Satu lagi, ia adalah juga logik apabila memaku dulang, paku akan menjadi serpih. Sila membuat pembetulan di atas jawapan yang diberikan ini. Sekian, terima kasih. | Jawapan Khidmat Nasihat Bahasa merujuk buku Kamus Istimewa Peribahasa Bahasa Melayu, susunan Abdullah Hussain. Mungkin pendapat tuan ada benarnya dan kami boleh menerima setelah ada dapatan/kajian yang mengesahkannya serta dibuat pindaan dalam kamus/buku peribahasa susunan terbaharu. | Lain-lain | 24.02.2012 |
Perkataan "memperkukuhkan" adalah salah. Betul atau tidak?. Setahu saya perkataan "memperkukuhkan" adalah salah kerana kata dasarnya ialah "kukuh" yang berada dalam kelompok kata adjektif. Jika kata dasarnya berada dalam kelompok kata adjektif maka kita tidak boleh gunakan imbuhan "memper..kan". Tapi yang musykilnya apabila saya menaip perkataan "memperkukuhkan" di carian makna perkataan di laman Dewan Bahasa da Pustaka (DBP) terdapat perkataan tersebut digunakan. Jika salah sepatutnya tak patut digunakan. | Betul seperti yang dikatakan, kukuh ialah kata adjektif dan kata adjektif tidak boleh menerima apitan memper-...-kan. Berdasarkan semakan kami, perkataan pemperkukuhkan digunakan dalam contoh ayat entri perkataan dalam kamus dan daftar istilah. Hal ini berlaku demikian kerana contoh ayat tersebut diambil daripada data korpus tanpa menyaringnya terlebih dahulu. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 04.04.2012 |
salam. saya amat meminati dunia penulisan. saya pernah menghasilkan satu novel online. Tapi, daripada segi kualiti mungkin agak rendah kerana mungkin penggunaan struktur kata yang agak kurang bijak, tidak cukup puitis, kosa kata tidak meluas dan kadang-kadang pengakhiran cerita dapat diteka oleh pembaca. Saya betul-betul berminat untuk menjadi penulis dan menerbitkan buku. Saya berkehendakkan khidmat daripada DBP dalam memberi tunjuk ajar dan tips bagi menjadi seorang penulis. harap kepada respon. kerjasama tuan diucapkan terima kasih. | Salam. Tips untuk menjadi penulis, antara lain, saudara perlu banyak membaca karya orang lain terlebih dahulu. Jika saudara ingin menulis novel misalnya, maka bacalah novel yang temanya menjadi minat saudara, contohnya kisah cinta, penyiasatan, misteri dan sebagainya. Teliti cara penulis itu menulis karya mereka dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, seting, gaya, bahasa, teknik seperti monolog, dialog, saspens; pembahagian bab, dan apa-apa sahaja yang menjalin sesebuah cerita. Selain itu, saudara perlu mempunyai ilmu bantu yang merentas bidang seperti teori sastera, psikologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, kerana penulisan merupakan gambaran kehidupan, sama ada yang berlaku di alam realiti ataupun imaginasi semata-mata. Saudara juga disarankan agar memasuki mana-mana kursus atau bengkel penulisan yang banyak diadakan oleh badan-badan penerbit, atau orang perseorangan yang boleh menjadi mentor saudara. Pada masa ini juga, banyak buku panduan menulis boleh didapati di pasaran, yang dapat memberi banyak tips untuk saudara menulis. Dan akhir sekali, untuk menjadi penulis yang baik, maka mahu tidak mahu, ia terpulang juga kepada bakat semula jadi seseorang itu. Jika seseorang itu dianugerahi Allah, bakat semula jadi (alami), tanpa banyak belajar pun, dia akan menjadi penulis yang baik. Moga saudara menjadi seorang penulis yang berjaya pada suatu hari nanti, insya-Allah. Wassalam. | Lain-lain | 05.05.2010 |
Apakah terjemahan bagi "on-the-go" dan "car boot sale"? Saya tahu "mudah alih" adalah bagi alat-alat atau peranti. Tapi bagaimana pula kalau untuk, contohnya, "foodtruck" dan sebagainya? | Dalam Oxford English Dictionary, on the go ialah frasa tidak baku (slanga) yang membawa maksud very active or busy, manakala dalam Collins English Dictionary on the go juga frasa tidak formal untuk active or energetic. Maka terjemahannya mengikut konteks. Cadangan terjemahan "car boot sale' ialah jualan but kereta, manakala cadangan bagi "foodtruck" ialah lori atau van makanan bergerak. | Penyemakan dan penterjemahan | 01.12.2015 |
salam..saya ingin bertanya,buku salina tidak diterbitkan lagi ke?sebab sudah lama saya mencari buku tersebut tapi masih tidak dapat.. 2)DPT patut wujudkan sistem kad keahlian kepada pelanggan DBP..dengan kad keahlian tersebut,DBP boleh buat jualan murah secara berperingkat sepertimana yang dibuat seperti pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai buku yang lain..dengan adanya kad keahlian dan potongan harga untuk ahli,saya pasti minat membaca rakyat Malaysia semakin bertambah.. 3)tuliskan bilangan muka surat utk setiap buku yang dijual secara online sebab kalau tidak ditulis,agak sukar untuk mengagak ketebalan sesebuah karya.. diharapkan pihak DBP akan mempertimbang cadangan saya ini.. sekian,terima kasih... | Terima kasih kerana menggunakan talian khidmat bahasa DBP. 1) Untuk pengetahuan saudara buku Salina belum ada diterbitkan untuk edisi baru. Untuk membacanya saudara boleh datang ke Pusat Dokumentasi Melayu dan menjadi ahli RAKAN DEWAN. 2) Saudara boleh menjadi ahli RAKAN DEWAN dengan datang ke Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Dengan keahlian ini secara automatik saudara akan dapat menggunakan kemudahan rujukan, penyelidikan dan pinjaman di Pusat Dokumentasi Melayu. Disamping itu dengan kad keahlian Rakan Dewan saudara akan menikmati diskaun sehinghga 25 peratus yang ditawarkan di mana-mana kedai Galeri Ilmu DBP di ibu pejabat, pejabat cawangan dan wilayah. 3) Jika saudara merujuk ke KATALOG AWAM ATAS TALIAN melalui sistem Pustaka, apabila saudara klik pada ikon TERPERINCI maka segala maklumat mengenai buku tersebut akan dipaparkan. Saiz buku, ketebalan buku dan lain-lain lagi. Selamat Mencuba | Lain-lain | 03.12.2009 |
M Hafiz Ostmann THURS 07:34 M Hafiz Ostmann M Hafiz BAHASA JIWA BANGSA - Banyak sekali aku perhatikan orang yang mengaku rakyat Malaysia,lahir di Malaysia,memegang pasport Malaysia tapi langsung tak reti dan tak mahu langsung menggunakan bahasa kebangsaan.Mereka lebih suka berbicara dalam bahasa Inggeris atau bahasa kelompok mereka sendiri.Lidah mereka seakan mengalami alahan teruk sekiranya menggunakan bahasa kebangsaan.Bila nak belajar di Jerman bukan main lagi bersungguh belajar bahasa Jerman.Tetapi takkah mereka sedar bahawa mereka langsung tak mahu dan tak tahu bertutur dengan fasih dalam bahasa kebangsaan sedangkan mereka lahir,membesar dan cari makan di Malaysia?Malaysia ni bagi mereka apa agaknya?Jika beginilah sikap mereka maka ertinya sampai bila-bila pun takkan ada penyatuan. Bahasa ialah elemen perpaduan negara.Bahkan ia juga merupakan identiti kepada sesebuah negara.Namun jika fungsi bahasa itu sendiri sudah dikembirikan maka usah dimimpikan sebuah negara bangsa yang utuh.Dewasa kini boleh aku katakan pekerja asing dari Bangladesh,Nepal dan Myanmar mislalnya lebih berusaha untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan berbanding mereka yang memegang pasport Malaysia namun taksub kepada kelompok sesama mereka sendiri.Di mana bumi dipijak.Di situ langit di junjung.Kalau nak menurut biar berakal.Kalau nak mengikut biar pintar. | Kami bersetuju dengan pandangan tuan. Sewajarnya semua warganegara Malaysia mengamati dan menghormati Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan menterjemahkannya dalam kehidupan bernegara di bumi bertuah ini. | Lain-lain | 29.09.2016 |
Salam. Saya ada 2 soalan : 1. Adakah penambahbaikan merupakan perkataan yang betul?atau perlu dijarakkan? 2. Setiap perkataan bahasa Inggeris yang diletakkan di dalam sesuatu ayat perlu di'italic'kan. Tapi, bagi perkataan Unit Health Online, Bahagian Pendidikan Kesihatan, perlukah Health Online itu di'italic'kan? Terima Kasih. | Saudara Yummien, Perkataan penambahbaikan betul dan dieja sebagai satu perkataan. Perkataan dalam bahasa Inggeris biasanya adalah lebih baik diterjemahkan atau diberi padanan dalam bahasa Melayu memandangkan bahawa bahasa Melayu masih boleh mengungkapkan atau menghuraikan sesuatu. Walau bagaimanapun sekiranya memang tiada langsung kata yang sesuai terutamanya perkataan teknikal atau istilah, maka bentuk italik digunakan. Dalam konteks 'Unit Health Online' frasa ini boleh diterjemahkan sebagai 'Unit Kesihatan dalam Talian'. Saudara boleh menggunakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu dengan melayari Laman Dewan Bahasa dan Pustaka. | Tatabahasa | 30.07.2009 |
Adakah penggunaan kata seperti: 1) bandaraya Kuala Lumpur 2) negeri Ipoh 3) kereta proton waja 4) dewan orang ramai perlu ditulis dengan huruf besar pada permulaan setiap perkataan? Cth: Bandaraya Kuala Lumpur? Saya terkeliru . Saya tahu jika kata nama itu diikuti dgn nama khas maka perkataan tersebut atau seiringan dgnnya perlu ditulis dgn huruf besar. Tapi adakah terdapat pengecualian? Perkataan apa dan bagaimana?TQ Bagaimana sepatutnya | Sdr. sowlili76,pegangan sdr. itu betul. jangan ragu-ragu lagi. Terima kasih. | Tatabahasa | 06.08.2007 |