saya keliru dengan post web anda.. saya menjumpai 2 jawapan yang berbeza untuk ejaan sebenar "maruku atau muruku".. mungkin anda boleh cuba sendiri mencari perkataan "maruku" dan anda akan menjumpai 2 jawapan yang saya maksud kan yang mana telah di post dalam tahun 2011.. kindly advise.. tq! | Ejaan yang betul ialah muruku. | Ejaan | 02.11.2015 |
Imbuhan 'MeN..i/kan' amat mengelirukan.Apakah formula terbaik nak bezakan keduanya? Apa beza..1.memberi/kan 2menjauhi/kan 3.menjahit/kan 4.menemui/kan?TQVM | Apitan meN...i diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN...kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 191. Awalan kata kerja meN-... mendukung maksud melakukan sesuatu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan. Topik ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam halaman 158-160. Untuk melihat perbezaan makna antara kata terbitan dengan awam meN-... dan kata kerja meN-...kan rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
berikan beberapa contoh kata kerja yang jika ditambah dengan imbuhan Men...i / di....i atau men..kan / di....kan maksud perkataan tersebut tidak berubah. Contoh, baik, berikan contoh yang lain | Contoh perkataan yang penggunaannya saling berganti tanpa membezakan ialah lupa. Sila rujuk Tatabahasa Dewan untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 27.09.2007 |
Salam 1Malaysia. Tuan/Puan, Saya mempunyai soalan berkaitan 'bukan' dan 'kan'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'bukan' mempunyai maksud 'untuk menyatakan pertanyaan yg mengeraskan dugaan (pd akhir hayat)' dengan contoh diberi 'ini bukumu, bukan?'. Adakah penggunaan bukan di sini dikategorikan dalam 'tag question' atau 'yes-no question'? Bagaimana pula dengan penggunaan 'kan'? 'kan' ditakrifkan sebagai singkatan kepada perkataan bukan / bukankah, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Adakah ini bermaksud 'kan' juga merupakan pertanyaan yang mengeraskan dugaan? Sekiranya perbezaan 'bukan' dan 'kan' hanyalah pada penggunaan ('bukan' lebih formal, 'kan' kurang formal'), adakah 'kan' juga boleh membawa maksud 'tag question' atau 'yes-no question'? Mohon pencerahan daripada pihak tuan/puan. Terima kasih. | Salam Sejahtera.
Penggunaan "bukan" dikategorikan sebagai taq question. "Kan" merupakan kependekkan "bukan" yang selalu didapati dalam teks sastera dan "kan" juga tergolong dalam taq question. | Istilah | 21.02.2014 |
Adakah perkataan "memeribadikan" betul dari segi tatabahasa?. Atau sepatutnya perkataan yang betul adalah "Memperibadikan"?. Apitan Memper...kan, Men..kan adalah yang biasa saya dengar dan gunakan. Walaupun apitan meN-…-kan juga menerima kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s, tapi adakah perkataan "Memeribadikan" adalah betul?. | Jawapan: Perkataan yang betul ialah memperibadikan yang tergolong di bawah apitan kata kerja meN-…-kan yang membawa maksud benefaktif atau manfaat yang pembentukannya memerlukan dua objek. Lazimnya, apitan meN-…-kan menerima objek tepat yang tidak bernyawa. Contoh ayat: “Pembelajaran berautonomi membolehkan pelajar memperibadikan agenda pembelajarannya berdasarkan kekuatan akademik dan minatnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 190 hingga 207. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
Apakah ada formula untuk menentukan pengunaan antara apitan meN.....kan yang membawa maksud kausatif dengan apitan meN.....kan membawa maksud benafaktif? Misalnya "memberikan" bermaksud kausatif tetapi "membelikan" pula bermaksud benafaktif. Saya sungguh keliru. | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 197, maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya (menyebabkan menjadi besar), manakala maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek. Contohnya: Ayah membelikan adik buku (membeli untuk adik/adik mendapat manfaat, dan adik + buku objek dalam ayat tersebut). | Tatabahasa | 29.08.2012 |
Bagaimanakah mahu pastikan sama ada KKTr meN....kan yang membawa maksud kausatif atau banefaktif. contohnya alam frasa 'membelikan ikan' atau membeli ikan. ATAU frasa' membeli emak ikan itu' atau membelikan emak ikan itu. Yang mana satu tepat dan tolong jelaskan. kenapa dalam frasa 'menjelaskan perkara' memerlukan akhiran '..kan' untuk maksud kausatif dan mengapa frasa 'membeli ikan' tak perlu akhiran ...kan dalam maksud kausatif? | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 197, maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya (menyebabkan menjadi besar), manakala maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek. Contohnya: Ayah membelikan adik buku (membeli untuk adik/adik mendapat manfaat). Merujuk contoh yang diberikan oleh saudara, frasa yang betul ialah "membelikan emak ikan" untuk maksud benefaktif. Hal ini berbeza dengan frasa "membeli ikan". Frasa tersebut betul dan membawa maksud melakukan sesuatu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk awalan meN- dan apitan meN-...-kan.. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
Kata-kata yang menerima awalan “memper-” tidak perlu menerima akhiran “-kan”, kerana maksud “menjadikan”. Bagaimana pula dengan awalan "diper". Adalah awalan tersebut juga tidak menerima akhiran kan. Cth: diperluas atau diperluaskan. Mohon penjelasan. Sekian, terima kasih. | Terdapat dua pengertian khusus yang timbul melalui penggunaan apitan diper-...-kan dengan kata dasar, iaitu: i. membawa pengertian terjadi atau disebabkan, contohnya dipertemukan - dijadikan atau disebabkan bertemu, dipersatukan - dijadikan atau disebabkan bersatu. ii. membawa pengertian menyebabkan sesuatu perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja yang dilakukan oleh orang lain. Contonya diperdengarkan - menyebabkan sesuatu didengar oleh orang lain, diperlihatkan - menyebabkan sesuatu dilihat oleh orang lain. Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa dewan Edisi Ketiga, halaman 214. | Tatabahasa | 19.03.2015 |
Apitan meN...kan dalam frasa 'membuatkan Ahmad kopi' membawa maksud benafaktif. Mengapa frasa 'menghadiahkan Ahmad cincin" kurang tepat pula?Saya nampak binaan apitan meN...kan kedua-dua frasa adalan sama. Sila jelaskan | Pertanyaan tuan ini dibincangkan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 207 dalam menerangkan perbezaan apitan meN-...-i dan meN-...-kan. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kuasatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif. Contohnya: Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad dan Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. Penggunaan apitan meN-...-kan dalam dalam ayat ... membuatkan Ahmad kopi ... menandakan maksud benefaktif. Tuan perlu perbezaan fungsi apitan meN-...-kan tersebut bukan kepada persamaan bentuk apitan. | Tatabahasa | 09.09.2012 |